Connect with us

Terkini

Beri peruntukan sama rata jika KPM nak kekang sumber dana tidak wajar – MCA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi peruntukan sama rata kepada semua sekolah sekiranya kementerian itu khuatir ada dana tertentu yang tidak wajar disalurkan kepada institusi tersebut.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi peruntukan sama rata kepada semua sekolah sekiranya kementerian itu khuatir ada dana tertentu yang tidak wajar disalurkan kepada institusi tersebut.
  • Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata mengehadkan sumber derma kepada sekolah vernakular adalah sama seperti mengekang peluang pembangunan institusi itu.
  • “Sekiranya KPM mahu mengehadkan sumber derma kepada sekolah rendah Cina, maka mereka harus memastikan sekolah-sekolah terbabit menerima peruntukan yang mencukupi supaya pihak pentadbiran tidak lagi perlu memikirkan program mencari dana,” katanya dipetik Malaysiakini pada Isnin.
  • Beliau berkata demikian susulan KPM semalam mengatakan pihaknya sedang menyiasat isu penganjuran program konsert amal di sebuah sekolah Cina yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras baru-baru ini.
  • Terdahulu, Public Health Malaysia (PHM) mendapati kajian menunjukkan pemasaran alkohol sering menjangkau kelompok muda, termasuk pelajar sekolah.
  • PHM dilaporkan berkata syarikat alkohol menggunakan pelbagai saluran pemasaran seperti televisyen, internet dan media sosial, termasuk menyalurkan tajaan kepada institusi pendidikan atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi peruntukan sama rata kepada semua sekolah sekiranya kementerian itu khuatir ada dana tertentu yang tidak wajar disalurkan kepada institusi tersebut.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata mengehadkan sumber derma kepada sekolah vernakular adalah sama seperti mengekang peluang pembangunan institusi itu.

Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata kesan daripada tindakan itu adalah persekitaran pembelajaran dan kualiti pendidikan akan terjejas. 

“Sekiranya KPM mahu mengehadkan sumber derma kepada sekolah rendah Cina, maka mereka harus memastikan sekolah-sekolah terbabit menerima peruntukan yang mencukupi supaya pihak pentadbiran tidak lagi perlu memikirkan program mencari dana,” katanya dipetik Malaysiakini pada Isnin.

Beliau berkata demikian susulan KPM semalam mengatakan pihaknya sedang menyiasat isu penganjuran program konsert amal di sebuah sekolah Cina yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras baru-baru ini.

KPM menjelaskan sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah dilarang berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

Isu itu turut mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar yang mendakwa penajaan syarikat gergasi minuman keras tersebut secara terang-terangan adalah cubaan menormalisasi arak di sekolah. 

Mohamed juga mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang disifatkan tidak sensitif terhadap perkara itu.

Jeck Seng berkata KPM tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak tarian pihak tertentu yang membangkitkan isu tersebut.

“Jika KPM benar-benar mengambil berat tentang pendidikan, ia harus memastikan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dapat terus menjadi tonggak memupuk kemajuan negara masa depan tanpa sebarang sekatan terhadap sumber derma mereka,” katanya.

Mengulas isu sama, Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng turut mempersoalkan mengapa ketika ini penajaan syarikat arak untuk sekolah Cina menjadi isu.

Teik Cheng berkata syarikat berkenaan berdaftar secara sah dan seperti syarikat lain, mereka memperuntukkan sebahagian dana bagi memenuhi program tanggungjawab sosial korporat, termasuk menaja persembahan amal untuk mengumpul dana sekolah Cina.

“Lebih-lebih lagi penajaan ini tidak ada kena-mengena dengan mempromosikan minuman keras. Mereka hanya membantu pembangunan dan pembinaan pendidikan dan sekolah Cina.

“Dengan mengumpul dana untuk menambah baik kemudahan fizikal, mereka juga mengurangkan beban kerajaan, serta menyediakan pelajar dengan persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Public Health Malaysia (PHM) mendapati kajian menunjukkan pemasaran alkohol sering menjangkau kelompok muda, termasuk pelajar sekolah.

PHM dilaporkan berkata syarikat alkohol menggunakan pelbagai saluran pemasaran seperti televisyen, internet dan media sosial, termasuk menyalurkan tajaan kepada institusi pendidikan atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR). — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *