Terkini
Mualaf wajar bebas keluar Islam jika berubah fikiran – Pastor
Seorang pastor di Malaysia berpandangan perlu ada kebebasan buat kelompok mualaf untuk keluar daripada Islam, terutama apabila mereka berubah fikiran atau tidak mengamalkan ibadat agama Islam.
- Pastor Albert Kok dari Vision Harvest Church berkata beliau percaya bukan Muslim takut memeluk agama Islam kerana apabila menjadi Muslim, mereka berdepan kesukaran untuk keluar darinya apabila berubah fikiran.
- Beliau berkata usaha untuk keluar dari agama Islam bagi kelompok mualaf hampir mustahil sekalipun melalui proses mahkamah syariah, mahkamah sivil dan yang lain-lainnya.
- “Perlu ada kebebasan untuk kembali atau keluar daripada Islam terutamanya jika mereka (mualaf) berubah fikiran atau tidak mengamalkan ibadat (agama) tersebut,” katanya kepada The Merdeka Times pada Jumaat ketika ditanya sama ada mana-mana agama di Malaysia boleh menyebarkan dakyah mereka kepada pelajar sekolah yang masih di bawah umur.
- Pastor Albert berkata persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sekiranya kanak-kanak bawah umur ingin menukar pegangan mereka kepada mana-mana agama.
- Mengulas lanjut, beliau berkata dalam isu itu tidak boleh ada sebarang paksaan, manipulasi dan seumpamanya yang boleh dilakukan ke atas kanak-kanak tersebut.
- “Semua rakyat terutamanya minor (kelompok bawah umur) harus bebas memilih, kerana kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” kata Pastor Albert.
KUALA LUMPUR — Seorang pastor di Malaysia berpandangan perlu ada kebebasan buat kelompok mualaf untuk keluar daripada Islam, terutama apabila mereka berubah fikiran atau tidak mengamalkan ibadat agama Islam.
Pastor Albert Kok dari Vision Harvest Church berkata beliau percaya bukan Muslim takut memeluk agama Islam kerana apabila menjadi Muslim, mereka berdepan kesukaran untuk keluar darinya apabila berubah fikiran.
Beliau berkata usaha untuk keluar dari agama Islam bagi kelompok mualaf hampir mustahil sekalipun melalui proses mahkamah syariah, mahkamah sivil dan yang lain-lainnya.
“Saya percaya bahawa orang takut untuk memeluk Islam kerana apabila mereka masuk dan menjadi Muslim, mereka menghadapi kesukaran untuk keluar sekiranya mereka berubah fikiran.
“Ia hampir mustahil melalui proses mahkamah syariah, mahkamah sivil dan lain-lain.
“(Saya tertanya-tanya negara Islam mana lagi yang memegang amalan ini) Perlu ada kebebasan untuk kembali atau keluar daripada Islam terutamanya jika mereka (mualaf) berubah fikiran atau tidak mengamalkan ibadat (agama) tersebut,” katanya kepada The Merdeka Times pada Jumaat ketika ditanya sama ada mana-mana agama di Malaysia boleh menyebarkan ajaran mereka kepada pelajar sekolah yang masih di bawah umur.
Pastor Albert berkata persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sekiranya kanak-kanak bawah umur ingin menukar pegangan mereka kepada mana-mana agama.
“Merujuk penukaran agama pelajar-pelajar kepada mana-mana agama, apakah undang-undang di Malaysia merujuk kepada umur di mana mereka boleh membuat keputusan itu tanpa kebenaran ibu bapa? Adakah ianya 18 tahun? Kena cari tentang perkara ini. Kebenaran kedua-dua ibu bapa seharusnya diberikan kepada minor (kanak-kanak bawah umur),” katanya.
Beliau berkata dalam isu itu tidak boleh ada sebarang paksaan, manipulasi dan seumpamanya yang boleh dilakukan ke atas kanak-kanak tersebut.
“Semua rakyat terutamanya minor (kelompok bawah umur) harus bebas memilih, kerana kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” kata Pastor Albert.
Mengulas lanjut, Pastor Albert berkata pelajar-pelajar seharusnya fokus pengajian mereka kepada subjek relevan seperti STEM yang akan berguna untuk mereka selepas tamat belajar.
“Guru-guru mempunyai pengaruh dan tanggungjawab besar untuk memastikan perkara itu,” katanya. – The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/