Agama
April Fool: Adakah Islam melarang umatnya bergurau?
APABILA masuk bulan April, masyarakat dunia sudah tidak asing dengan sambutan hari April Fool yang diraikan pada 1 April setiap tahun.
APABILA masuk bulan April, masyarakat dunia sudah tidak asing dengan sambutan hari April Fool yang diraikan pada 1 April setiap tahun.
Pada waktu inilah, kita akan nampak terdapat individu membuat konten ‘prank’ untuk mengejutkan orang lain dan mengatakan “April Fool” yang bertujuan untuk bergurau.
Menarik bagi penulis bawakan perbincangan yang telah dijelaskan dalam artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-566: Hukum Prank dalam Islam’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel itu menyatakan ‘hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima orang yang diajak bergurau’.
Kebenaran tersebut dapat dilihat daripada sirah Nabi Muhammad ﷺ apabila seorang wanita tua datang bertemu dengan baginda ﷺ lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga”.
Baginda menjawab: “Wahai Ummu Fulan, sesungguhnya syurga itu, tidak dimasuki oleh orang tua.” Wanita itu lantas berpaling dan menangis, lalu Baginda ﷺ bersabda: “Kamu sampaikanlah kepada wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan dia tua kerana sesungguhnya Allah ﷾ berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (Surah al-Waqi‘ah: 35-37).” (Ash-Shama’il Al-Muhammadiyah, No. 239)
Meskipun Islam membenarkan umatnya untuk bergurau senda, namun kita perlu berwaspada dalam bergurau supaya tidak melampaui batas.
Hari ini penulis ingin membawakan beberapa panduan untuk bergurau dalam Islam.
1. Tidak boleh berbohong atau berdusta walaupun niat bergurau.
“Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.” (Sunan Abu Dawud, No. 4990)
2. Tidak boleh mengambil barang orang lalu menyembunyikannya sebagai ‘prank’.
“Tidak boleh sama sekali kamu mengambil barang salah seorang daripada saudara kamu kerana gurauan atau serius.” (Sunan Abu Dawud, No. 5003)
3. Tidak boleh mengejutkan orang.
Para sahabat Nabi Muhammad ﷺ bermusafir bersama baginda. Salah seorang dari mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut, maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak halal bagi seorang muslim membuat saudara muslimnya terkejut. (Sunan Abu Dawud, No. 5004)
4. Tidak menyebarkan aib orang.
“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Sunan Tirmithis, No. 2032)
Pada zaman sekarang, wujud satu trend yang membahayakan iaitu pembuat konten cuba merakam video ‘prank’ lalu memuat naik video reaksi ‘mangsa’ yang di‘prank’ itu di media sosial sehingga menjatuhkan maruahnya.
Tindakan seperti itu tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia merupakan tindakan yang sengaja memalukan dan membuka aib ‘mangsa’ terbabit di muka awam yang jelas bercanggah dengan prinsip perlunya menutup aib saudara.
Tidak dinafikan bergurau antara satu sama lain adalah salah satu cara merapatkan hubungan silaturahim.
Namun, Islam sebagai agama yang komprehensif masih memberi panduan dalam setiap perkara hidup, termasuklah cara bergurau.
Sebaiknya, video-video atau konten sedemikian perlu digantikan dengan sesuatu yang lebih mendatangkan manfaat dan pengajaran kepada audiens. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.