Terkini
Tidak wajar Fadhlina semberono tolak saranan guna sistem satu bahasa pengantar di sekolah – Peguam
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak wajar menepis secara semberono akan saranan penggunaan sistem satu bahasa pengantar di sekolah demi pengukuhan perpaduan negara, demikian kata peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla.
- “Bagaimanakah secara sembrono jika saya boleh menggunakan perkataan itu, hari ini menteri pendidikan mengatakan mereka kerajaan akan kekal dengan pendirian mengekalkan sekolah vernakular tanpa langsung merujuk kenyataan baginda tuanku?” kata Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla
- “Kita tidak boleh nafikan perpaduan rakyat dari hari ke hari semakin rapuh ke tahap retak.
- “Baginda tuanku meminta menyeru kerajaan membuat dasar untuk perpaduan dan sejak daripada titah baginda tuanku 26 Februari 2024 terdapat pelbagai pihak tampil memberi pendapat agar satu isu yang boleh membantu menyelesaikan isu perpaduan dari tahap kanak-kanak adalah pengadaan semula satu sistem aliran pembelajaran sekolah rendah dan pemberhentian sekolah vernakular dari masa ke semasa,” katanya menerusi klip video di Facebook hari ini.
- “Untuk pengetahuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang saya hormati, laporan-laporan pendidikan sejak sebelum merdeka yakni Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, sejak daripada itu iaitu sejak sekolah vernakular wujud sekalipun, laporan-laporan itu dengan tegas mengatakan satu-satunya cara memupuk perpaduan negara adalah dengan satu sekolah, satu aliran iaitu aliran bahasa Melayu ataupun bahasa kebangsaan yang dirujuk di situ.”
- Haniff berkata sekiranya sekolah vernakular dilihat bukan satu faktor utama punca kerapuhan dan keretakan perpaduan negara selama ini, maka Fadhlina dan kerajaan wajar secara serta-merta membuktikan apakah faktor selain daripada itu.
KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak wajar menepis secara semberono akan saranan penggunaan sistem satu bahasa pengantar di sekolah demi pengukuhan perpaduan negara, demikian kata peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla.
Haniff berkata ini kerana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa pembukaan rasmi Parlimen mengesyorkan kerajaan mengadakan satu dasar yang boleh memupuk perpaduan dan hubungan baik secara harmoni dalam kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk.
Katanya, baginda juga memetik peribahasa, kalau hendak melentur buluh biar dari rebungnya dan merujuk frasa itu kepada penggubahan dasar dari tahap kanak-kanak.
“Bukankah menjadi tanggungjawab kerajaan dan menteri pendidikan untuk meneliti perenggan 10 dan 11 titah tuanku tersebut?
“Bagaimanakah secara sembrono jika saya boleh menggunakan perkataan itu, hari ini menteri pendidikan mengatakan mereka kerajaan akan kekal dengan pendirian mengekalkan sekolah vernakular tanpa langsung merujuk kenyataan baginda tuanku?
“Kita tidak boleh nafikan perpaduan rakyat dari hari ke hari semakin rapuh ke tahap retak.
“Baginda tuanku meminta menyeru kerajaan membuat dasar untuk perpaduan dan sejak titah baginda tuanku pada 26 Februari 2024 terdapat pelbagai pihak tampil memberi pendapat agar satu isu yang boleh membantu menyelesaikan isu perpaduan dari tahap kanak-kanak adalah pengadaan semula satu sistem aliran pembelajaran sekolah rendah dan pemberhentian sekolah vernakular dari masa ke semasa,” katanya menerusi klip video di Facebook hari ini.
Hanif menyifatkan cadangan itu adalah bernas di mana ada daripadanya berpandukan kajian pendapat pakar pengajian dan mereka yang terlibat dalam bidang pengajaran dan pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan artikel sebuah portal berita bertajuk, “Sekolah vernakular akan diteruskan, kata menteri pendidikan” yang diterbitkan pagi tadi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kerajaan mengambil pendirian untuk terus mengekalkan sekolah vernakular yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan.
“Untuk pengetahuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang saya hormati, laporan-laporan pendidikan sejak sebelum merdeka yakni Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, sejak daripada itu iaitu sejak sekolah vernakular wujud sekalipun, laporan-laporan itu dengan tegas mengatakan satu-satunya cara memupuk perpaduan negara adalah dengan satu sekolah, satu aliran iaitu aliran bahasa Melayu ataupun bahasa kebangsaan yang dirujuk di situ.
“Adakah kita nak ketepikan laporan-laporan tersebut? Laporan Razak satu tahun sebelum merdeka, tahun ini kita akan menyambut kemerdekaan ke 67.
“Di manakah dia hasrat dan visi Laporan Razak, Laporan Rahman Talib dan harapan menyatupadukan negara melalui satu sistem pembelajaran pengajaran rendah? Adakah kerajaan sekarang mengatakan mereka tidak berhasrat mencapai apa dinyatakan dalam laporan-laporan pendidikan tersebut?” kata Haniff.
Justeru, beliau mengesyorkan Fadhlina dan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa lengkap untuk meneliti kesemua saranan dalam laporan-laporan itu termasuk laporan lain berkaitan pendidikan seperti laporan Hussein Onn dan laporan Mahathir Mohamad.
Katanya, menerusi jawatankuasa itu satu dasar perlu digubal bagi menentukan penerapan serta-merta ke arah pengajaran satu bahasa pengantaraan iaitu bahasa kebangsaan.
“Walaupun bahasa pengantaraan adalah bahasa Melayu, wajib BM kita juga boleh mewajibkan untuk tahun pertama dan kedua pembelajaran bahasa Tamil sebagai contoh untuk semua anak-anak Malaysia, tahun ketiga tahun keempat satu dialek utama bahasa Cina dan pada tahun kelima dan keenam bahasa Arab untuk semua rakyat Malaysia.
“Pihak meminta satu aliran bahasa pengantaraan bukannya meminta menghapuskan penggunaan bahasa Cina ataupun Tamil langsung tapi tidak boleh kita terima pengajaran bahasa Cina mahupun Tamil sebagai bahasa pengantaraan untuk pembelajaran silibus di sekolah-sekolah kita, itu membawa kepada keretakan perpaduan.
“Bukankah ia satu fakta apabila anak-anak kita masuk sekolah menengah mereka sukar bergaul sebab mereka tidak pernah bergaul dengan mesra di sekolah rendah dengan adanya sekolah vernakular.
“Fikir-fikirlah tapi jangan menolak secara sekaligus, itu bukan tindakan yang matang dan sopan oleh mana-mana kerajaan,” katanya.
Haniff berkata sekiranya sekolah vernakular dilihat bukan satu faktor utama punca kerapuhan dan keretakan perpaduan negara selama ini, maka Fadhlina dan kerajaan wajar secara serta-merta membuktikan apakah faktor selain daripada itu.
Katanya, bagaimanapun kita tidak boleh lari daripada hakikat ini dan perlu menghadapi permasalahan berkenaan secara bersama. — The Merdeka Times