Kolumnis
Apa maksud sebenar Bak Kut Teh?
Makanan tradisi masyarakat Cina, Bak Kut Teh telah diiktiraf sebagai makanan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada bulan lalu.

Makanan tradisi masyarakat Cina, Bak Kut Teh telah diiktiraf sebagai makanan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada bulan lalu.
Namun, nama makanan Bak Kut Teh itu telah menimbulkan polemik bukan sahaja dalam kalangan ahli politik, malah ahli akademik juga memberi pandangan ilmiah tentang nama itu.
Pada 12 Mac lalu di akhbar Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata perkataan ‘Bak’ kebiasaannya merujuk kepada daging, namun dalam dialek Hokkien, ia merujuk kepada daging babi.
Profesor di Institut Kajian Etnik Universiti Malaya itu telah dikritik dan dihina oleh netizen sehingga ada netizen yang melabelkan Profesor Teo sebagai pengkhianat bangsa kerana mengesyorkan nama ‘Bak Kut Teh’ itu diganti kepada ‘Kut Teh’.
Sebenarnya, pandangan yang sama juga pernah dikemukakan oleh bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada tahun lalu yang berkata ‘Bak Kut Teh’ bermaksud ‘Sup Herba Tulang Babi’.
Jadi, apakah maksud sebenar ‘Bak’?
Menurut Kamus Hokkien Pulau Pinang, ‘Bak Kut Teh’ diterjemah sebagai sup herba rusuk babi (pork ribs herbal soup). Penggunaan perkataan bak iu (minyak daging) pula dirujuk sebagai lemak khinzir.

Foto: Carian Kamus Hokkien Pulau Pinang.
Senada dengan Kamus Hokkien Pulau Pinang, Kamus Bahasa Mandarin-Dialek Minnan (Hokkien Selatan), perkataan minyak babi (dī yiú) juga boleh disebut sebagai minyak daging (bbāh yiú)
Selain itu, perkataan ‘kulit babi’ (dī pé) juga boleh disebut sebagai ‘kulit daging’ (bbāh pé).

Foto: Carian Kamus Bahasa Mandarin-Dialek Minnan (Hokkien Selatan), muka surat 714.
Dalam Kamus Minnan Taiwan terbitan Kementerian Pendidikan Taiwan, tulang daging (bah kut) didefinisikan sebagai ‘tulang babi yang ada daging, biasanya dimakan’ manakala ‘kedai daging’ (bah tiam) ditakrifkan sebagai ‘kedai daging babi’.

Foto: Carian Kamus Minnan Taiwan terbitan Kementerian Pendidikan Taiwan.
Menurut laman sesawang rasmi Majlis Promosi Bahasa Mandarin Singapura, daging babi adalah sejenis daging yang selalu dimakan oleh masyarakat Cina.
“Apabila menyebut makanan yang berasaskan daging babi, masyarakat Cina akan merujuk kepada ‘daging’ sahaja, seperti roti bun daging, daging char siew, mi daging cincang.
Maka, sup tulang babi dinamakan Bak Kut Teh (sup tulang daging),” tulis Majlis Promosi Bahasa Mandarin Singapura.

Foto: Tangkap layar laman rasmi Majlis Promosi Bahasa Mandarin Singapura.
Berdasarkan maklumat dalam kamus dan penerangan daripada pakar, maka penulis berpendapat bahawa perkataan Bak membawa dua maksud dari segi literal dan kontekstual.
Maksud ‘Bak’ secara literal adalah daging. Namun, dalam penggunaan bahasa harian, masyarakat Cina sering merujuk babi sebagai ‘Bak’.
Maka apa yang telah disebut oleh Profesor Teo adalah tidak salah, kerana beliau mengambil kira cara penggunaan bahasa harian masyarakat Cina Hokkien. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
