Connect with us

Kolumnis

Sejarah hidangan Yee Sang ada unsur khurafat

PERAYAAN Tahun Baru Cina merupakan salah satu perayaan terbesar disambut meriah di Malaysia. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

PERAYAAN Tahun Baru Cina merupakan salah satu perayaan terbesar disambut meriah di Malaysia. 

Ini kerana perayaan tersebut mempunyai pelbagai tradisi dan upacara seperti pemberian Ang Pow, menyalakan mercun dan bunga api, hiasan merah, memberi limau mandarin, tarian singa dan naga, amalan tilik nasib berdasarkan zodiak, perayaan “Chap Goh Mei”, upacara Yee Sang dan lain-lain lagi.  

Walaupun perayaan masyarakat Cina, tetapi ia turut disambut dengan meriah dalam kalangan bangsa lain. 

Hal itu boleh dilihat sepanjang perayaan Tahun Baru Cina berlangsung pada enam hari lalu, diperhatikan banyak hantaran dimuat naik sebahagian Muslim yang beria-ria meraikan perayaan itu di ruangan media sosial sebagai tanda toleransi meraikan bersama sahabat Cina mereka.

Ironinya, ada sebahagian Muslim yang turut serta, namun tidak sedar bahawa ada beberapa tradisi dan upacara tidak boleh diraikan kerana jelas punyai unsur khurafat.

Terdahulu, artikel sebelum ini pernah membincangkan amalan ramalan zodiak yang dikatakan mampu mengubah nasib seseorang. Suatu kepercayaan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam malah syirik.  

Dalam artikel kali ini, kita ingin membincangkan tentang upacara hidangan Yee Sang yang merupakan upacara penting dalam perayaan Tahun Baru Cina.

Ada apa dengan Yee Sang? 

Sebagaimana yang tertera, hidangan Yee Sang mempunyai unsur khurafat yang berkait dengan agama kepercayaan Cina. 

Ramai yang menyangka bahawa ia sekadar hidangan biasa tetapi apabila kita menelusuri asal usulnya, ia memberi kesimpulan berbeza.

Ramai tidak tahu bahawa hidangan Yee Sang yang hanya boleh dijumpai pada Tahun Baru Cina terinspirasi daripada mitologi Cina. 

Ia berkaitan kisah penciptaan manusia pada hari ketujuh yang dikenali ‘rén rì’ (penciptaan manusia) atau ‘hari jadi manusia’. 

Mengikut legenda Cina yang masyhur, Dewi Nüwa, sang pencipta yang berkepala manusia dan berbadan ular itu ingin mencipta sesuatu daripada imejnya kerana merasakan dunia ini masih serba kekurangan yang memerlukan kemakmuran.  

Maka pada hari ketujuh pada tahun Baru, Dewi Nüwa mengambil lumpur lalu diciptakan patung daripada tanah liat yang menyerupai dirinya. Setelah itu, ia menghembuskan nafas kepada patung lumpur yang membuatkannya hidup bernyawa. 

Foto: Dewi Nüwa dikenali juga sebagai Dewi Pencipta dan Ibu Dewi

Digelarkan patung lumpur bernyawa itu sebagai ‘manusia’ yang diberikan unsur Yin (maskulin) dan Yang (feminin) kepada bentuk manusia itu.  

Dewi Nüwa sangat gembira dengan ciptaannya lantas ingin manusia memenuhi seluruh bumi. 

Lalu, ia menghasilkan manusia satu persatu menggunakan tangannya. Namun penghasilan ini membuatkan Nüwa tersangat penat. 

Jadi, ia menggunakan cara yang lebih pantas dengan mencelup tali ke dalam lumpur. Kemudian ia melibas tali tersebut sehingga lumpur bertaburan jatuh ke bumi yang akhirnya terbentuk beberapa manusia. 

Dikatakan begitulah bagaimana kepercayaan manusia diciptakan berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina. 

Malah, dianggapnya manusia yang diciptakan dengan tangan Dewi Nüwa adalah golongan bangsawan dan yang diciptakan melalui libasan tali lumpur adalah rakyat biasa. 

Simbolik hidangan Yee Sang dan Lo Hei  

Mengikut kepercayaan Cina, hari ketujuh pada setiap tahun baru dikatakan ‘hari jadi manusia’. 

Maka, masyarakat Cina akan meraikan ‘hari jadi manusia’ dengan menyediakan makanan bertuah yang khusus pada perayaan Tahun Baru Cina sahaja iaitu hidangan Yee Sang atau Yu Sheng.

Makanan-makanan ini akan dipadankan dengan tujuh warna atau tujuh jenis bahan yang berlainan. Hidangan tersebut mesti memiliki tujuh warna dan tidak boleh dikurangkan atau ditambah kerana setiap warna memiliki maksud tertentu yang memberi simbolik kepada penceritaan Dewi Nüwa menciptakan manusia pada hari ketujuh. 

Walau bagaimanapun setiap masyarakat Cina memiliki cara tersendiri dalam menghidangkan Yee Sang mengikut tempat, namun makna dan simboliknya tetap sama iaitu simbolik hari ketujuh. 

Disebabkan itu, hidangan Yee Sang ini hanya boleh dijumpai pada Tahun Baru Cina sahaja dan tidak dijumpai sama sekali pada hari lain seolah-olah seperti simbolik perayaan Tahun Baru Cina. 

Tidaklah lengkap Yee Sang tanpa upacara ‘Lo Hei’ yang bermaksud ‘gaul naik’ atau ‘gaul lambung’.

Foto: Upacara ‘gaul lambung’ atau Lo Hei buat hidangan Yee Sang

Dalam upacara ‘Lo Hei’, masyarakat Cina akan menggaulkan dan  melambung hidangan Yee Sang itu, sambil itu mereka akan melaungkan perkataan ‘Heng ah! Huat ah! Ong ah!’, yang bermaksud “Makmur! Kaya! Tuah!”. 

Mengikut kepercayaan Cina, lambungan yang disertakan dengan laungan itu mempunyai simbolik tersendiri iaitu ‘Semakin tinggi dilambung, Semakin tinggi rezeki’.

Hal ini berbeza dengan konsep rezeki dalam Islam, rezeki seseorang itu bukan bergantung bagaimana tinggi lambungannya atau sekuat mana laungan suaranya. Tetapi rezeki seseorang itu datang daripada Allah Ar-Razzaq (Maha Kaya Pengurnia Rezeki). 

Penciptaan manusia dalam Islam

Berdasarkan mitos penciptaan manusia berkait dengan hidangan Yee Sang, maka adil untuk kita katakan bahawa hidangan itu ada kaitan dengan agama dan kepercayaan masyarakat Cina.  

Sedangkan proses penciptaan manusia menurut Islam tidak sebegitu, malah jauh sama sekali dengan kepercayaan masyarakat Cina. 

Al-Qur’an menyatakan penciptaan pasangan manusia pertama iaitu Adam dari tanah yang beragam bentuk, manakala Hawa diciptakan daripadanya. 

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) dan juga membiakkan dari keduanya -zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai.” [Surah An-Nisa’, 4:1] 

Daripada prototaip sepasang manusia terawal inilah, maka lahir bangsa manusia yang pelbagai bentuk, warna dan rupa di mana Al-Qur’an turut menjelaskan secara terperinci bagaimana proses kejadian manusia. 

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan ‘pati’ itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah itu menjadi seketul daging, kemudian kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” [Surah al-Mu’minun, 23:12-14]       

Jika diamati asal usul upacara Yee Sang, ia penuh dengan kepercayaan khurafat yang bercanggah dengan ajaran Islam. 

Walaupun ada yang mengatakan upacara itu telah berlaku perubahan daripada ritual keagamaan kepada amalan kebudayaan, bagi kita sebagai seorang Muslim harus bertanya kepada diri sendiri adakah wajar untuk terlibat pada perkara syubhat (samar-samar)?

Ingatlah hadis Rasulullah ﷺ yang bersabda: 

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” [Sahih Muslim, 1559a]  

Banyak cara lain untuk mempamerkan sikap toleransi dan promosi keharmonian dengan berlainan bangsa dan agama. Jangan kita sempitkan perkara yang luas kepada satu cara sahaja kerana dikhuatiri kita akan tergelincir dalam permasalahan akidah. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *