Connect with us

Terkini

Jawatankuasa khas diberi setahun kemuka cadangan kepada MKI – Sultan Selangor

Jawatankuasa khas mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam diberikan tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan bagi mengemukakan sebarang cadangan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  • Jawatankuasa khas mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam diberikan tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan bagi mengemukakan sebarang cadangan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.
  • Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua pihak, termasuk pakar perundangan, supaya membantu memberikan cadangan berilmiah, bernas dan praktikal bagi memudahkan jawatankuasa khas itu melaksanakan tugas mereka.
  • Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah semua pihak, terutama umat Islam, supaya bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan daripada jawatankuasa khas berkenaan.
  • Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 yang dikongsikan menerusi Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

KUALA LUMPUR — Jawatankuasa khas mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam diberikan tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan bagi mengemukakan sebarang cadangan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua pihak, termasuk pakar perundangan, supaya membantu memberikan cadangan berilmiah, bernas dan praktikal bagi memudahkan jawatankuasa khas itu melaksanakan tugas mereka.

Baginda selaku Pengerusi MKI bertitah semua pihak, terutama umat Islam, supaya bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan daripada jawatankuasa khas berkenaan.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat perlu dipikul Jawatankuasa Khas ini. 

“Namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah SWT satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini,” titah baginda sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 yang dikongsikan menerusi Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Dalam titah diedarkan itu, baginda memulakannya dengan mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang perlu sentiasa didokong rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, termasuk bagi kesalahan liwat, gangguan seksual, menawarkan atau menyediakan khidmat maksiat dan memusnahkan atau mencemar rumah ibadat adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel itu dilaporkan sebagai berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Sultan Sharafuddin juga sudah disembah maklum berkenaan jawatankuasa khas yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos tahun lalu sedang meneliti persoalan berbangkit.

Antaranya, melaksanakan kajian terhadap isu-isu berkaitan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci; 

“…dan mencadangkan serta membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” titah baginda. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *