Connect with us

Kolumnis

Hari Valentine tidaklah seindah disangka

APABILA masuk sahaja bulan Februari, ramai orang di seluruh dunia pasti ternanti-nantikan hari meraikan cinta yang jatuh pada 14 Februari iaitu hari Valentine.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

APABILA masuk sahaja bulan Februari, ramai orang di seluruh dunia pasti ternanti-nantikan hari meraikan cinta yang jatuh pada 14 Februari iaitu hari Valentine. 

Hari yang sinonim dengan keraian cinta dan kasih sayang seseorang terhadap pasangan atau orang yang dicintainya.

Maka pemberian hadiah seperti coklat atau bunga dijadikan sebagai tanda penghargaan serta bukti cinta sehingga ia menjadi satu festival yang disambut secara besar-besaran di seluruh dunia.

Namun, berapa ramai antara kita sedar bahawa hari Valentine bukanlah sekadar satu festival biasa tetapi ada sejarah gelap yang terpendam pada hari itu.

Ramai beranggapan hari Valentine berasal daripada sejarah perjuangan St. Valentine menentang kerajaan Rom yang melarang lelaki dari berkahwin. Hakikatnya, sejarah telah merekodkan asal usulnya tiada kaitan dengan perjuangan tersebut. 

Ada apa di sebalik hari Valentine

Asal usul hari Valentine berakar daripada satu festival kepercayaan masyarakat pagan Rom purba sejak ribuan tahun dahulu. Ia dikenali sebagai Festival Lupercalia. 

Suatu festival tahunan yang diraikan untuk menyambut musim bunga. Bagi mereka, musim bunga dianggap sebagai satu simbolik kepada kehidupan baru, pemurnian diri dan juga kesuburan. 

Meskipun tampak indah, namun festival tahunan ini tidaklah seindah yang disangka. Festival ini terkenal dengan nilai yang tidak bermoral dan pengorbanan darah sehingga mereka sendiri pada ketika itu melarang kanak-kanak untuk menyertai festival tersebut.

Masyarakat pagan Rom mempercayai demi mendapatkan satu kehidupan baru, pemurnian diri dan kesuburan pada tahun itu, mereka perlu membuat upacara pengorbanan kepada dewa kesuburan, Dewa Lupercus sebagai satu bentuk penyembahan dan penghormatan. 

Foto: Festival Lupercalia, festival yang dikatakan asal usul pensejarahan Valentine’s Day

Maka, pada hari tersebut, Luperci, sekumpulan paderi Rom dalam keadaan bertelanjang akan mengorbankan anjing-anjing dan kambing-kambing di atas altar gua Lupercal.

Ini kerana menurut kepercayaan Rom purba, kambing dianggap sebagai simbolik kesuburan, malah simbol seksual.

Setelah mengorbankan haiwan-haiwan itu, dua orang paderi akan mendekati altar dan paderi lain pula akan melumurkan pisau berdarah itu di dahi paderi tersebut.

Lalu mereka membersihkan darah-darah dengan kapas bersalut susu kambing. Korban haiwan itu pula diberi kepada penduduk sebagai jamahan kenduri.

 Bukan itu sahaja, kulit-kulit haiwan yang dikorbankan itu disagat dan dijadikan tali-tali untuk membaluti kemaluan paderi dan juga memukul wanita. 

Lalu, paderi-paderi itu akan berlari anak sambil menyebat dan memukul kaum wanita yang mereka nampak sepanjang perjalanan dari kawasan gua Lupercal sehingga ke Comitium, sebuah dewan terbuka Rom.

Menurut kepercayaan Rom purba, sebatan rotan tali pada tubuh wanita ini dikatakan mampu membuatkan mereka bertambah subur dan memudahkan untuk bersalin.

Disebabkan itu, ada sesetengah wanita sanggup tidak berpakaian semata-mata untuk menerima sebatan tersebut di kulit mereka. Ini kerana setiap sebatan akan membuatkan mereka merasa ghairah sehingga mereka sanggup meluahkan keghairahan tersebut dengan melakukan seks bebas secara terbuka. 

Sejarawan Barat, Kresimir Vukovic yang juga pakar dalam agama mitologi Yunani dan Rom menyatakan ritual sebatan merupakan tumpuan utama dan hiburan dalam festival ini yang mengetengahkan nilai sadisme.

Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM V), sadisme merujuk kepada seseorang yang mendapat kepuasan seksual ketika mempermalukan atau melakukan kekerasan terhadap pasangannya.  

Walaupun begitu, sejarah seakan kembali berulang apabila makin tibanya hari Valentine, makin banyak iklan yang mempromosi nilai sadisme dan perilaku yang tidak bermoral itu di media sosial seolah-olah ianya sudah sebati.  

Sebagai contoh, Iklan Kotex mempromosi jualan kotak ‘period sex’ sempena hari Valentine. Kotak itu mengandungi coklat dan tuala wanita bertujuan menormalisasikan masyarakat berkaitan dengan hubungan seks ketika haid. 

Foto: Iklan Kotex yang mempromosi kempen ‘Let’s Have Period Sex’ di Instagram pada beberapa minggu lalu

Agama mana yang membenarkan seks bebas? 

Tiada satupun agama-agama dunia yang mengiktiraf dan membenarkan perilaku seks bebas dalam kalangan penganut mereka dan perkara ini bukan hanya terpakai pada Islam.

Sebagai contoh, agama Kristian. Terdapat beberapa ayat yang jelas mengharamkan perilaku seks bebas malah menyuruh penganutnya menjauhkan diri daripada segala jenis bentuk maksiat seperti mana yang dinyatakan dalam Matius 5:27-28

“Inilah kehendak Tuhan bagi kamu. Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Tuhan dan manusia, serta tidak mengikut hawa nafsu seperti orang yang tidak mengenal Tuhan.” [1 Tesalonika 4:3-5]

Malah menurut Paul Washer yang juga seorang evangelis Kristian, perbuatan yang tidak selari dengan kefahaman alkitabiah tiada bezanya dengan segala perbuatan jahat yang lain. 

“Ini termasuk dengan perkara-perkara fizikal seperti zina, pelacuran, pornografi, homoseksual dan apa-apa perbuatan dan pemikiran yang bercanggah dengan firman Tuhan,” ulasnya dalam satu video berkait perilaku seksual mengikut agama Kristian.   

Manakala, agama Hindu turut berpandangan yang sama bahawa perilaku seks bebas mahupun berzina adalah perbuatan dosa yang dilarang dan boleh dihukum. 

Banyak hukuman dan larangan kepada pelaku zina jelas disebut dalam kitab Manusmriti seperti hukuman mati dalam Manusmriti 8.364, 372 dan 359, hukuman sebat dalam Manusmriti 8.369, hukuman kurung di rumah dalam Manusmriti 8.365 dan hukuman memotong dua jari dan membayar 600 ‘panas’ dalam Manusmriti 8.367.   

Menariknya, kitab itu juga menceritakan bagaimana perbuatan seseorang yang boleh menjurus kepada zina:

“(Seseorang lelaki) Menawarkan hadiah (untuk wanita), gembira-ria (dengan dia), menyentuh perhiasan dan pakaian beliau, duduk dengan dia di atas katil, semua (perbuatan ini) adalah dianggap perbuatan zina (samgrahana)” [Manusmriti 8.357]

Sama seperti agama-agama lain, agama Buddha juga bertegas bahawa penganut Buddha dilarang berzina yang juga merupakan larangan ketiga dalam Pancasila. 

 Agamawan Buddha, Yuttadhammo Bhikku berpendapat keinginan seksual adalah sesuatu yang jahat dan punca penderitaan manusia.

“Orang yang lengah dan berzina akan menerima empat ganjaran, iaitu : pertama, ia akan menerima akibat buruk; kedua, ia tidak dapat tidur dengan tenang; ketiga, namanya tercela; dan keempat, ia akan masuk ke alam neraka.” [Dhammapada: Niraya Vagga:309]

Maka ini terbukti tiada agama yang pernah sekali-kali membenarkan penganutnya berzina, apatah lagi melakukan seks bebas di luar pernikahan. 

Ini termasuk dalam agama Islam yang secara jelas melarang perbuatan zina malah mendekatinya sahaja sudah dilarang. 

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” [Surah al-Isra’ 17:32]  

Adalah sangat tidak wajar bagi seseorang Muslim terlibat meraikan hari Valentine dan menganggap ia seperti suatu festival biasa tanpa meragui sedikitpun. Ingatlah kita kepada sabda Rasulullah ﷺ:

“Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu tetap akan mengikut mereka” [Sahih Muslim, 2669a] 

Islam tidak pernah menidakkan perasaan cinta tetapi ia perlu disalurkan dengan cara yang tidak bercanggah dengan syariat agama. Bukan dengan cara pergaulan bebas tanpa batas. 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasan-Nya, Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya itu mengandungi keterangan-keterangan untuk orang yang berfikir” [Surah Ar-Rum 30:21] –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *