Terkini
Penguasaan wanita Malaysia dalam bidang politik tangga tercorot di ASEAN
Malaysia di tangga tercorot dalam kalangan negara ASEAN bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik, demikian pendedahan Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023).
- Malaysia di tangga tercorot dalam kalangan negara ASEAN bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik, demikian pendedahan Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023).
- Laporan itu juga menekankan sasaran mencapai 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya dianggap jauh berikutan 12 peratus calon wanita sahaja dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri 2023.
- Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Datuk Dr Madeline Berma berkata menerusi Indeks Jurang Gender Malaysia (IJGM) dilaporkan wanita di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding lelaki.
- “Peratusan wanita dalam Parlimen juga tidak pernah mengatasi 20 peratus,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
KUALA LUMPUR —- Malaysia di tangga tercorot dalam kalangan negara ASEAN bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik, demikian pendedahan Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023).
Laporan itu juga menekankan sasaran mencapai 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya dianggap jauh berikutan 12 peratus calon wanita sahaja dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri 2023.
Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Datuk Dr Madeline Berma berkata menerusi Indeks Jurang Gender Malaysia (IJGM) dilaporkan wanita di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding lelaki.
Beliau berkata sub-indeks penguasaan politik merekodkan skor terendah iaitu 0.102 pada 2022.
“Peratusan wanita dalam Parlimen juga tidak pernah mengatasi 20 peratus,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Madeline berkata kerajaan perlu menangani struktur menyebabkan berlaku kemiskinan, ketidaksetaraan, peminggiran dan kurangnya penyertaan wanita dalam membuat keputusan serta pengawalan sumber ekonomi, termasuk pelbagai bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.
Beliau menyarankan kerajaan mewujudkan sistem perlindungan sosial yang responsif jantina memandangkan wanita dan belia wanita mudah terancam dan jatuh miskin akibat kejutan luar seperti pandemik, bencana alam sekitar.
Katanya, selain pemerkasaan politik, jurang pendapatan antara wanita dan lelaki juga perlu dirapatkan.
Menurut Jabatan Statistik, jumlah anggaran pendapatan diperoleh pekerja wanita menerusi bancian hanya RM42,080 setiap tahun berbanding dengan RM63,117 bagi pekerja lelaki, kata Madeline.
“Pekerja wanita menerima gaji sebanyak RM66.67 bagi setiap RM100 gaji serta upah yang diterima.
“Malah, pembabitan wanita dalam peringkat membuat keputusan dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha (KSU) di sektor awam, Naib Canselor di universiti awam, C-SUITE di sektor swasta serta Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu ditambah,” katanya.
Penyertaan wanita dalam peringkat membuat keputusan tidak mungkin dicapai, jika dasar 30 peratus itu tidak dinyatakan sebagai dasar.
“Ini kerana Malaysia mempunyai pencapaian berbeza. Sebagai contoh, wanita yang memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam kini mencapai 38.8 peratus.
“Di sektor swasta, pencapaiannya lebih rendah, iaitu 30.6 peratus sebagai Lembaga Pengarah di 100 Syarikat Senaraian Awam (PLC) dan hampir 25.0 peratus di kesemua PLC di Bursa Malaysia,” katanya.
Madeline bagaimanapun berkata Malaysia masih mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan membabitkan wanita antaranya pelaksanaan reformasi undang-undang.
Ia termasuk penambahbaikan perundangan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia iaitu, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.— The Merdeka Times