Antarabangsa
Netanyahu tolak tawaran Hamas, keluarga tebusan serbu Parlimen Israel
Keluarga dan saudara mara terdekat warga Israel yang menjadi tebusan Hamas di Gaza bertindak menyerbu sesi jawatankuasa Parlimen Israel di Baitulmaqdis pada Isnin.

Keluarga dan saudara mara terdekat warga Israel yang menjadi tebusan Hamas di Gaza bertindak menyerbu sesi jawatankuasa Parlimen Israel di Baitulmaqdis pada Isnin.
Mereka menuntut penggubal undang-undang Israel bertindak melakukan lebih banyak usaha bagi membebaskan ahli keluarga mereka yang menjadi tebusan Hamas, lapor Al Jazeera.
Tindakan sekitar 20 saudara-mara tebusan Israel itu menggambarkan meningkatnya kemarahan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menolak tawaran perjanjian diusulkan Hamas.
Seorang wanita dilihat memegang gambar tiga ahli keluarganya dalam kalangan 253 individu dibawa ke Gaza sebagai tebusan dalam rentasan sempadan Hamas 7 Oktober lalu.
Kira-kira 100 tebusan dibebaskan sewaktu gencatan senjata selama seminggu pada November lalu dengan anggaran 130 orang masih ditahan di Gaza.
“Hanya satu yang saya ingin dapatkan semula hidup-hidup, satu daripada tiga!,” kata penunjuk perasaan wanita yang menyerbu perbincangan Jawatankuasa Kewangan Knesset (Parlimen Israel).
Penunjuk perasaan lain dengan berpakaian kemeja-T hitam, mengangkat papan tanda bertulis: “Anda tidak akan duduk di sini sementara mereka mati di sana”.
“Lepaskan mereka sekarang, sekarang, sekarang!” kata kumpulan penunjuk perasaan itu.
Pada Ahad lalu, Netanyahu menolak syarat-syarat Hamas untuk menamatkan perang dan membebaskan tebusan, termasuk pengunduran penuh Israel dan terus membiarkan Hamas berkuasa di Gaza. – The Merdeka Times
