Antarabangsa
(VIDEO) Pasukan tentera antarabangsa perlu masuk Gaza untuk gencatan senjata – Wartawan Israel
Pasukan tentera antarabangsa perlu masuk ke Gaza supaya gencatan senjata boleh direalisasikan di wilayah konflik itu, kata wartawan dan penulis Israel, Gideon Levy.
![](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2023/12/UP-S-Pasukan-tentera-antarabangsa-perlu-masuk-Gaza-untuk-gencatan-senjata-%E2%80%93-Wartawan-Israel-01.jpg)
Pasukan tentera antarabangsa perlu masuk ke Gaza supaya gencatan senjata boleh direalisasikan di wilayah konflik itu, kata wartawan dan penulis Israel, Gideon Levy.
Levy berkata penglibatan pasukan antarabangsa itu adalah untuk mengawal dan menghentikan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu.
“Saya rasa perlunya ada gencatan senjata secepat mungkin, perlunya ada pasukan ketenteraan antarabangsa memasuki Gaza, sekurang-kurangnya untuk beberapa tempoh tertentu, dan yang penting sekali, sekatan terhadap Gaza mesti dihentikan,” katanya dalam video temu bual agensi berita Anadolu di Forum Dunia TRT 2023 di Istanbul, Turkiye, semalam.
Mengecam tindakan warga Israel yang tidak menghiraukan kekejaman di Gaza, Levy menyeru seluruh dunia untuk membuka mata terhadap apa yang sedang berlaku.
“Semua orang harus lihat apa yang berlaku di Gaza sekarang. Perkara itu seolah-olah tanggungjawab semua orang di seluruh dunia, untuk melihat anak-anak yang cedera, untuk melihat manusia tanpa tempat tinggal, untuk melihat (kesan pada) tubuh mereka, untuk melihat hospital-hospital.
“Orang Israel tidak melihat apa-apa kerana mereka tidak mahu melihat satu apa pun,” kata Levy.
Membiarkan 2.3 juta warga Gaza di dalam situasi menyedihkan di wilayah konflik itu juga menurut Levy, sesuatu yang perlu dihentikan.
“Ia mustahil untuk menempatkan 2.3 juta manusia di dalam sangkar, dah 16 tahun ia berlaku, ini mesti dihentikan.
“Secara peribadi, saya tidak terjejas secara peribadi, mereka yang benar-benar terjejas adalah penduduk Gaza,” kata Levy yang mengambil pendekatan berbeza dari dasar Israel sehingga beliau perlu menggunakan khidmat pengawal keselamatan peribadi.
Al Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 18,608 warga Gaza terbunuh dalam serangan zionis Israel sejak 7 Oktober lalu, manakala angka semakan semula kematian di Israel berjumlah 1,147 maut. – The Merdeka Times
![](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2022/10/tmt-new-logo-black.png)