Terkini
Saranan Reformasi Pendidikan PMX, ‘Bagai kehadiran hujan setelah kemarau’ – Maszlee Malik
Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) segera melaksanakan proses reformasi pendidikan diibaratkan ‘bagai kehadiran hujan setelah kemarau yang sekian panjang melanda’.
- Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) segera melaksanakan proses reformasi pendidikan diibaratkan ‘bagai kehadiran hujan setelah kemarau yang sekian panjang melanda’.
- Menyifatkan perumpamaan itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kedua-dua kementerian berkenaan tidak boleh bertangguh lagi dan pada masa sama tidak perlu memulakannya daripada sifar.
- Katanya, usaha itu sebenarnya dimulakan pada 2018-2019 melalui laporan Jawatankuasa Pendidikan Dasar Negara dan Jawatankuasa Reformasi Pendidikan Tinggi Negara, namun terhenti akibat konflik politik.
- “Banyak penambahbaikan dan usaha inovatif selari dengan perkembangan semasa boleh dilakukan, tanpa perlu bermula dari titik permulaan. Bermula dari mana usaha sebelum ini berhenti. Hal itu lebih menjimatkan dan lebih progresif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
KUALA LUMPUR – Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) segera melaksanakan proses reformasi pendidikan diibaratkan ‘bagai kehadiran hujan setelah kemarau yang sekian panjang melanda’.
Menyifatkan perumpamaan itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kedua-dua kementerian berkenaan tidak boleh bertangguh lagi dan pada masa yang sama tidak perlu memulakannya daripada sifar.
Katanya, usaha itu sebenarnya dimulakan pada 2018-2019 melalui laporan Jawatankuasa Pendidikan Dasar Negara dan Jawatankuasa Reformasi Pendidikan Tinggi Negara.
Bagaimanapun, usaha reformasi politik itu terhenti disebabkan konflik politik pada ketika itu.
“KPM dan KPT boleh merujuk kepada usaha-usaha sebelum ini, malah saya juga ada mencoretkan pernyataan polisi di dalam dua buku saya, ‘CPR for Malaysian Education’ dan ‘Reformasi Universiti, Agenda Ternafi’.
“Banyak penambahbaikan dan usaha inovatif selari dengan perkembangan semasa boleh dilakukan, tanpa perlu bermula dari titik permulaan.
“Bermula dari mana usaha sebelum ini berhenti. Hal itu lebih menjimatkan dan lebih progresif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Anwar sebelum ini mengingatkan KPM dan KPT untuk meningkatkan mutu pendidikan negara bermula awal tahun depan.
Beliau juga menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berbincang bagaimana kaedah untuk menggalakkan ibu bapa memberikan tumpuan ke atas pendidikan anak-anak.
Dalam pada itu, Maszlee menambah yang beliau yakin Kerajaan Perpaduan berteraskan agenda Malaysia Madani akan berupaya memacu reformasi pendidikan yang mapan di bawah pimpinan Anwar.
Usaha reformasi pendidikan kita akan bermula segera tanpa tangguh dan akan membuahkan hasil yang diharapkan oleh warga nusa tercinta Malaysia, katanya. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Maszlee Malik