Terkini
Rujuk semula perancangan Jawatankuasa Sivil dan Syara’ tangani isu pertindihan Syariah dan Sivil – Mujahid
Kerajaan digesa merujuk semula perancangan Jawatankuasa Sivil dan Syara’ di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menangani isu pertindihan di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

- Kerajaan digesa merujuk semula perancangan Jawatankuasa Sivil dan Syara’ di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menangani isu pertindihan di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
- “Fokus Jawatankuasa Sivil dan Syara’ ialah melihat pertembungan Sivil-Syariah secara struktural perundangan, menyeragamkan Undang-undang Jenayah Syariah Negeri-negeri yang didapati berbeza-beza hukuman walaupun dari perlakuan jenayah yang sama.
- “Penyeragaman Undang-undang Jenayah Syariah seluruh negeri akan menyelesaikan pertikaian hukuman yang berbeza antara negeri dari jenayah syariah yang sama.
- “Selain itu, Jawatankuasa ini turut memperkenalkan konsep rehabilitatif dalam perundangan Syariah yang tidak diperuntukan sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
- Mujahid berkata matlamat akhir jawatankuasa itu ialah menyediakan satu draf Undang-undang Jenayah Syariah secara menyeluruh dengan menutup segala kemungkinan kelompongan undang-undang yang berpotensi dicabar secara berperlembagaan.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa merujuk semula perancangan Jawatankuasa Sivil dan Syara’ di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menangani isu pertindihan di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Mujahid berkata dasar Gagasan Negara RAHMAH pada 2018-2020 sebelum ini turut memfokuskan isu perundangan dengan memperkukuhkan peranan jawatankuasa itu bagi mengharmonikan isu pertindihan antara Syariah dan Sivil.
Katanya, pelbagai inisiatif telah digerakkan dengan melibatkan pakar dari pelbagai disiplin perundangan untuk menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh.
“Fokus Jawatankuasa Sivil dan Syara’ ialah melihat pertembungan Sivil-Syariah secara struktural perundangan, menyeragamkan Undang-undang Jenayah Syariah Negeri-negeri yang didapati berbeza-beza hukuman walaupun dari perlakuan jenayah yang sama.
“Penyeragaman Undang-undang Jenayah Syariah seluruh negeri akan menyelesaikan pertikaian hukuman yang berbeza antara negeri dari jenayah syariah yang sama.
“Selain itu, Jawatankuasa ini turut memperkenalkan konsep rehabilitatif dalam perundangan Syariah yang tidak diperuntukan sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Mujahid berkata matlamat akhir jawatankuasa itu ialah menyediakan satu draf Undang-undang Jenayah Syariah secara menyeluruh dengan menutup segala kemungkinan kelompongan undang-undang yang berpotensi dicabar secara berperlembagaan.
“Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyediakan draf terakhir sebagai piawaian yang terpakai dirujuk oleh negeri-negeri untuk dipinda di Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya.
Pada 21 November lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang diperakui Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Penubuhan jawatankuasa khas ini berhubung notis petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Mujahid berkata penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti isu perundangan Sivil dan Syara’ amat dialu-alukan pihaknya, namun kerajaan diharapkan dapat merujuk kembali perancangan dibuat Jawatankuasa Sivil dan Syara’ bagi menyambung usaha sejak 2018-2020 yang terbantut kerana kemelut ‘Langkah Sheraton’ Februari 2020.
“Kita tak perlu mencipta “roda baharu” dalam menangani isu konflik perundangan Syariah dan Sivil dan dengan ini dapat membantu Kerajaan Madani hari ini mempercepatkan solusi konflik Syariah-Sivil.
“Selaku mantan Menteri Agama yang bertanggungjawab dalam isu ini, saya mengharapkan isu pertindihan ini dinoktahkan dan supaya tiada pihak yang boleh mengeksploitasikan isu pertindihan ini untuk mencapai kepentingan politik sempit mereka,” katanya. — The Merdeka Times
