Terkini
KEMAS sasar 4,000 kelas Tabika Pra Tahfiz tahun hadapan
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mensasarkan 4,000 kelas di bawah Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS pada tahun hadapan sebagai usaha awal melahirkan huffaz cilik.
- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mensasarkan 4,000 kelas di bawah Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS pada tahun hadapan sebagai usaha awal melahirkan huffaz cilik.
- Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, sebagai permulaan, 100 kelas di seluruh negara dilaksanakan sebagai projek perintis tahun ini.
- “Terdapat 10,840 kelas Tabika KEMAS di seluruh negara, kita sasar 9,000 sahaja sebab ada kelas (anak-anak) bukan Islam di Sabah Sarawak, begitu juga di Semenanjung, ada juga kelas di kawasan perkampungan Orang Asli.
- “Tetapi untuk (anak-anak) yang bukan beragama Islam juga ada modul pendidikan kerohanian, khusus untuk mereka,” katanya.
- Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Hari Potensi Tabika KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail, di sini semalam.
Shah Alam: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mensasarkan 4,000 kelas di bawah Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS pada tahun hadapan sebagai usaha awal melahirkan huffaz cilik.
Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, sebagai permulaan, 100 kelas di seluruh negara dilaksanakan sebagai projek perintis tahun ini.
“Kita melaksanakan 100 kelas tahun ini sebagai projek perintis yang mana kita sudah melatih guru kita yang terbabit dalam projek perintis ini.
“Insya-Allah, tahun depan program ini akan diperluaskan ke (Tabika KEMAS) seluruh negara membabitkan 4,000 kelas… tahun 2025 juga 4,000 kelas dan seterusnya.
“Terdapat 10,840 kelas Tabika KEMAS di seluruh negara, kita sasar 9,000 sahaja sebab ada kelas (anak-anak) bukan Islam di Sabah Sarawak, begitu juga di Semenanjung, ada juga kelas di kawasan perkampungan Orang Asli.
“Tetapi untuk (anak-anak) yang bukan beragama Islam juga ada modul pendidikan kerohanian, khusus untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Hari Potensi Tabika KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail, di sini semalam.
Ahmad Kamal Idris berkata, KEMAS akan bekerjasama dengan Yayasan Pahang, Yayasan Pintar juga UPSI bagi melatih guru Tabika KEMAS yang terbabit dengan program ini.
“KEMAS menerima khusus latihan dari Yayasan Pahang, mereka menjadi tenaga pengajar untuk guru kita dan juga dari segi mengajar modul anak-anak lima dan enam tahun.
“Dalam program ini, kita fokus kepada surah dalam juzu’ Amma dan juzu’ 30… lebih kurang 18 ayat yang kita laksanakan penghafalan. Ini sebagai usaha menghasilkan Huffaz Cilik yang menguasai hafazan Al-Quran.
“Program ini bertujuan menyemai cintakan Al-Quran di awal usia sebagaimana yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara KEMAS dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS akan diadakan pada 7 November 2023 di Pusat Kegiatan Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kg Sri Batu, Kuala Lumpur yang akan disaksikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas mengenai Hari Potensi Tabika KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang berakhir semalam katanya, dengan tema Mencorak Sahsiah Generasi Era Digital Merentas Seni’, program kali ini memberi fokus kepada membentuk perwatakan kanak-kanak era digital berakhlak berdasarkan prinsip kekuatan moral dan berintegriti selari dengan keperluan kemahiran abad ke-21.
Di samping itu katanya, tahun ini, acara Digital Hero adalah acara baharu yang diperkenalkan bagi mencungkil bakat digital kanak-kanak selari dengan hala tuju transformasi digital pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS.
“Ini ke arah melahirkan kanak-kanak fasih digital yang mampu berdaya saing dalam memenuhi keperluan era digital.
“Secara keseluruhannya, kontinjen Hari POTENSI TABIKA KEMAS Peringkat Kebangsaan Kali Ke-18 adalah seramai 588 orang yang terdiri daripada penyertaan kanak-kanak, guru pengiring, ketua kontinjen serta ahli jawatankuasa peringkat negeri yang mewakili negeri masing-masing,” katanya.
Sumber: Harian Metro