Terkini
Isu beras tempatan : Pengurusan KPKM jarang turun ke lapangan – Bekas Timbalan Menteri
Kurang koordinasi antara pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan pihak pembekal, pengeluar dan pesawah didakwa antara faktor kekurangan beras putih tempatan (BPT).
- Kurang koordinasi antara pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan pihak pembekal, pengeluar dan pesawah didakwa antara faktor kekurangan beras putih tempatan (BPT).
- Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata beliau mendapat laporan daripada petani dan pesawah yang mendakwa pengurusan KPKM jarang turun ke lapangan.
- Masalah kekurangan bekalan tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia adalah pengeluar 67 peratus BPT, selain negara memiliki stok penimbal bekalan itu di lapan lokasi di seluruh negara yang boleh menampung untuk tempoh empat hingga lima bulan.
PUTRAJAYA: Kurang koordinasi antara pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan pihak pembekal, pengeluar dan pesawah didakwa antara faktor kekurangan beras putih tempatan (BPT).
Pengurusan tertinggi KPKM juga didakwa kurang berinteraksi dengan peringkat bawahan rantaian pengeluar makanan sehingga wujud masalah bekalan berkenaan.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata beliau mendapat laporan daripada petani dan pesawah yang mendakwa pengurusan KPKM jarang turun ke lapangan.
“Kalau kita jarang turun ke lapangan, ambil tahu proses di bawah, kita tidak akan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebab itu saya nasihatkan pengurusan tertinggi kementerian, turunlah ke bawah, pusing satu negara, itu yang paling penting.
“Apabila kita tak jaga dia (penanam, pengeluar), dia tak jaga kitalah. Makna jaga itu ialah kita ambil tahu apa masalah mereka,” katanya.
Ahmad berkata, masalah kekurangan bekalan tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia adalah pengeluar 67 peratus BPT, selain negara memiliki stok penimbal bekalan itu di lapan lokasi di seluruh negara yang boleh menampung untuk tempoh empat hingga lima bulan.
Katanya, beliau terkejut dengan isu kekurangan bekalan beras di Malaysia kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Saya terperanjat selama ini tak pernah berlaku dan sepatutnya kementerian kena buat pemeriksaan dan audit semua tempat pengeluaran beras.
“Maknanya pengeluaran kita tak putus, dengan jumlah pengeluaran 67 peratus cukup untuk memberi kepada orang tempatan kerana mereka yang mewah selalunya beli beras import dan tak pernah bekalan kurang,” katanya.
Ditanya sama ada wujud pembabitan dalang atau kartel yang menyebabkan isu itu berlaku, Ahmad berkata, tidak pernah timbul isu berkenaan ketika beliau berada di kementerian terbabit.
“Kami buat pemantauan, maknanya kalau ada kekurangan, kita sudah tahu lebih awal dan kita atasi segera, rakyat pun tak tahu (berlaku kekurangan),” katanya.
Masalah dalaman
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zainal Azman Abu Seman, pula berkata isu dalaman yang tidak diselesaikan secara tuntas antara faktor memberi kesan kepada pengeluaran padi serta beras tempatan.
Katanya, masalah dalaman itu antaranya membabitkan isu petani tua, mekanisasi, pengairan, penggunaan benih padi serta infrastruktur.
Beliau berkata, masalah itu sudah dikesan sejak lima tahun lalu yang memerlukan penyelesaian jangka panjang untuk memastikan pengeluaran padi tempatan tidak terjejas.
Katanya, masalah dalaman itu tidak terasa sejak ia mula wujud, tetapi kesannya dirasai pada masa ini apabila sesetengah negara mengurangkan eksport beras.
Selain itu, Zainal Azman berkata, pertukaran jelapang padi kepada penanaman beras pulut turut memberi kesan kepada BPT.
Katanya, sebagai contoh di Langkawi, ada beberapa kawasan padi ditukarkan kepada penanaman beras pulut.
“Kita faham petani boleh meraih pendapatan lebih tinggi dengan menanam beras pulut berbanding padi, namun saya melihat ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pengeluaran padi tempatan,” katanya.
Jelasnya, kementerian tidak perlu bimbang berbelanja lebih besar bagi memastikan segala infrastruktur diperlukan untuk kawasan jelapang padi negara disediakan dengan sempurna.
“Kerajaan juga perlu mempelbagaikan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kalau dulu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bertanggungjawab dalam menghasilkan benih padi baharu, namun kini mereka sudah senyap sebaliknya tugas itu diambil alih oleh pihak universiti,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya kartel yang mendalangi isu beras, Zainal Azman berkata, beras kini hanya dimonopoli oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
“Jadi di mana nak kata wujud kartel sebab sukar untuk mengatakan adanya kartel buat masa ini dan saya rasa tidak adil untuk menunding jari kepada BERNAS sahaja.
“Kita sudah ada satu monopoli, iaitu BERNAS, jadi di mana peranan kartel itu?” soalnya.
Sumber: Berita Harian