Terkini
Halangan bertakbir ikut budi bicara penganjur, bukan pendirian kerajaan – Saifuddin
Himpunan ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka pada Ahad lalu yang dikecam kerana melarang pesertanya melaungkan takbir serta menayang sepanduk memaparkan imej kecaman kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah tindakan budi bicara penganjur dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan.
- Himpunan ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka pada Ahad lalu yang dikecam kerana melarang pesertanya melaungkan takbir serta menayang sepanduk memaparkan imej kecaman kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah tindakan budi bicara penganjur dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan.
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu dibuat penganjur dengan tujuannya untuk membangkitkan semangat solidariti dalam kalangan peserta pelbagai kaum dan agama.
- “Soal dibenar atau tak dibenarkan takbir saya tak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir ertinya melaungkan kebesaran Allah. Tiada khilaf di antara kita.
- “Hal ini adalah bagaimana penganjur (himpunan) itu mengikut budi bicara mereka dan kefahaman mereka. Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) boleh anjurkan 20,000 atau 30,000 esok, takbirlah. Kalau saya ada masa akan turut serta dan takbir sekuat-kuatnya,” katanya.
- Saifuddin berkata, kerajaan sehingga kini kekal dengan pendirian untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kerjasama negara dengan Israel.
KUALA LUMPUR: Himpunan ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka pada Ahad lalu yang dikecam kerana melarang pesertanya melaungkan takbir serta menayang sepanduk memaparkan imej kecaman kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah tindakan budi bicara penganjur dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu dibuat penganjur dengan tujuannya untuk membangkitkan semangat solidariti dalam kalangan peserta pelbagai kaum dan agama.
“Soal dibenar atau tak dibenarkan takbir saya tak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir ertinya melaungkan kebesaran Allah. Tiada khilaf di antara kita.
“Hal ini adalah bagaimana penganjur (himpunan) itu mengikut budi bicara mereka dan kefahaman mereka. Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) boleh anjurkan 20,000 atau 30,000 esok, takbirlah. Kalau saya ada masa akan turut serta dan takbir sekuat-kuatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) yang bertanyakan sama ada kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada menetapkan sebarang garis panduan melarang peserta himpunan untuk melaungkan takbir.
Saifuddin berkata, kerajaan sehingga kini kekal dengan pendirian untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kerjasama negara dengan Israel.
“Soal boleh atau tidak mengecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita juga jelas. Hakikatnya kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan (kepada Netanyahu).
“Tapi kalau di sana himpunan dihadiri 300, 400 orang dianjurkan oleh satu pertubuhan dan kemudiannya kalau dia mengenakan apa-apa sekatan, ‘do and don’t’, itu harus dilihat secara fakta kejadian pada waktu itu.
“Ia tidak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini dan umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian,” katanya.
Semalam, penganjur himpunan itu yang juga Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin tampil memohon maaf berikutan penganjuran himpunan aman itu yang menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak.
Katanya, beliau amat memahami terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara penganjuran perhimpunan itu.
Kelmarin, peserta himpunan berkenaan mengecam tindakan penganjur yang didakwa melarang mereka melaungkan takbir selain meminta menurunkan sepanduk yang memaparkan imej kecaman kepada Netanyahu.
Sumber: Berita Harian