Connect with us

Terkini

Ugut batal lesen beras, bekas Naib Presiden MCA selar Ketua Pemuda UMNO

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, menyelar tindakan seorang EXCO Melaka kerana membuat ugutan membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ugut batal lesen beras, bekas Naib Presiden MCA selar Ketua Pemuda UMNO
Foto: Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh (kiri) & Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan).
  • Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, menyelar tindakan seorang EXCO Melaka kerana membuat ugutan membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.
  •  “Ini benar-benar jelek dan tidak wajar, ini bukan Little Napoleon tetapi mengingatkan saya kepada pegawai yang kejam pada zaman Maharaja feudal,” katanya.

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, menyelar tindakan seorang EXCO Melaka kerana membuat ugutan membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, Lian Ker menyifatkan tindakan dilakukan Dr Akmal Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sebagai sesuatu yang jelek dan tidak wajar.

“Ini benar-benar jelek dan tidak wajar, ini bukan Little Napoleon tetapi mengingatkan saya kepada pegawai yang kejam pada zaman Maharaja feudal,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi tiga minit 24 saat yang menunjukkan Ketua Pemuda UMNO itu menerjah operasi sebuah kilang beras dan memberi amaran kepada pihak pengilang yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan oleh kerajaan.

Akmal dilaporkan berkata, sekiranya pengilang itu masih enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket serta harga yang ditetapkan kerajaan, pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik lesen kilang terbabit.

Katanya, margin keuntungan yang kecil tidak boleh dijadikan alasan oleh pengilang untuk tidak mengeluarkan beras tempatan.

“Kalau you (awak) tak mahu buat you cakap, saya tarik you punya lesen. Kalau you cakap you rugi ini kerajaan punya arahan tahu RM26 (sepaket).

“Kalau you rugi, you cakap dengan saya (saya) sekarang, saya tarik you punya lesen kasi (beri) orang lain hantar (beras).

“Sekarang ini you punya lesen, you kata rugi tak mahu jual (beras tempatan), saya boleh panggil kerajaan tarik you punya lesen semua,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya semalam.

Sebelum ini, media melaporkan jurang harga begitu ketara antara beras tempatan dengan beras import menyebabkan segelintir pembekal dan peruncit tidak berminat memasarkan makanan ruji itu sehingga mencetuskan kekurangan bekalan yang sedang dialami di seluruh negara.

Pengerusi Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Zon Selatan, Khalil Ahmad dilaporkan berkata, ini kerana bagi sekampit beras tempatan dengan berat 10 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM26, mereka hanya memperoleh kadar keuntungan sekitar 50 sen.

Katanya, situasi itu membuatkan pemborong dan peruncit lebih berminat memasarkan beras import yang harganya jauh lebih tinggi pada waktu ini.

Sumber : Berita Harian

Author