Antarabangsa
Setiap hari India dicemari ucapan anti-Muslim, menjelang pilihan raya
Satu kajian mendedahkan setiap hari India dicemari purata lebih satu ucapan kebencian anti-Muslim dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menjelangnya pilihan raya di negara itu.
- Satu kajian mendedahkan setiap hari India dicemari purata lebih satu ucapan kebencian anti-Muslim dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menjelangnya pilihan raya di negara itu.
- Menurut penemuan badan kaji selidik berpangkalan di Washington yang memantau serangan ke atas kaum minoriti, Hindutva Watch, ucapan kebencian itu kebanyakannya digunakan di negeri yang berdepan pilihan raya.
- Menurut laporan itu, terdapat 255 insiden membabitkan perhimpunan ucapan kebencian yang direkodkan dengan menyasarkan umat Islam dalam tempoh itu.
- “Kebanyakan acara ucapan kebencian mengandungi mesej berhubung teori konspirasi dan menggalakkan keganasan serta boikot sosio-ekonomi terhadap umat Islam.”
- “Kira-kira 80 peratus daripada acara itu berlaku di kawasan yang ditadbir Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang dijangka memenangi pilihan raya umum pada tahun depan,” katanya.
WASHINGTON: Satu kajian mendedahkan setiap hari India dicemari purata lebih satu ucapan kebencian anti-Muslim dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menjelangnya pilihan raya di negara itu.
Menurut penemuan badan kaji selidik berpangkalan di Washington yang memantau serangan ke atas kaum minoriti, Hindutva Watch, ucapan kebencian itu kebanyakannya digunakan di negeri yang berdepan pilihan raya.
Menurut laporan itu, terdapat 255 insiden membabitkan perhimpunan ucapan kebencian yang direkodkan dengan menyasarkan umat Islam dalam tempoh itu.
“Kira-kira 70 peratus daripada insiden itu berlaku di negeri yang dijangka mengadakan pilihan raya pada tahun ini dan 2024.
“Namun, tiada data perbandingan bagi tahun sebelumnya,” katanya.
Berdasarkan definisi ucapan kebencian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia membabitkan ‘sebarang bentuk komunikasi, yang menggunakan bahasa prejudis atau diskriminasi terhadap individu atau kumpulan menyentuh isu seperti agama, etnik, kewarganegaraan, bangsa, warna kulit, keturunan, jantina, atau faktor identiti lain’.
Pada masa sama, menurut laporan itu, negeri Maharashtra, Karnataka, Madhya Pradesh, Rajasthan, dan Gujarat menyaksikan jumlah tertinggi membabitkan perhimpunan yang dicemari dengan ucapan kebencian.
Katanya, Maharashtra menyumbang sebanyak 29 peratus daripada keseluruhan insiden terbabit.
“Kebanyakan acara ucapan kebencian mengandungi mesej berhubung teori konspirasi dan menggalakkan keganasan serta boikot sosio-ekonomi terhadap umat Islam.
“Kira-kira 80 peratus daripada acara itu berlaku di kawasan yang ditadbir Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang dijangka memenangi pilihan raya umum pada tahun depan,” katanya.
Menurut Hindutva Watch, pengumpulan data itu adalah dari video ucapan kebencian yang dikesan di media sosial, selain insiden terpencil yang dilaporkan media.
Sementara itu, kerajaan pimpinan Narendra menafikan wujudnya penindasan terhadap kaum minoriti di India.
Kedutaan India di Washington pula enggan memberikan sebarang komen.
Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia mendakwa berlakunya penganiayaan terhadap orang Islam sepanjang berada di bawah pentadbiran Narendra, yang menjadi Perdana Menteri pada 2014.
Mereka merujuk kepada undang-undang kewarganegaraan pada 2019 yang disifatkan ‘pada asasnya adalah diskriminasi’ oleh pejabat hak asasi manusia PBB kerana mengecualikan pendatang Islam.
Ia juga membabitkan undang-undang antipenukaran yang mencabar hak kebebasan beragama dilindungi oleh Perlembagaan, dan pembatalan status istimewa Kashmir yang majoritinya Muslim.
Selain itu, turut dilaporkan kejadian perobohan hartanah milik Muslim atas nama menghapuskan pembinaan haram dan larangan memakai tudung di dalam kelas di Karnataka, iaitu ketika BJP berkuasa di negeri berkenaan.
Sumber: Berita Harian