Terkini
REE Kedah: Wujud elemen buruh paksa, pemerdagangan manusia – Saifuddin
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan wujud elemen pemerdagangan manusia dan buruh paksa susulan penahanan 52 individu terbabit aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah awal tahun ini.
- Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan wujud elemen pemerdagangan manusia dan buruh paksa susulan penahanan 52 individu terbabit aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah awal tahun ini.
- Saifuddin berkata siasatan polis mendapati pekerja asing dari Myanmar dan Nepal tidak dibayar gaji sekitar RM80 hingga RM100 oleh majikan mereka yang kini disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
- “Bila disiasat polis ternyata mereka bekerja tanpa upah…disuruh korek lubang, gali, keluarkan bijih itu kemudian tidak dibayar. Sekarang dalam siasatan dan pelaku sekarang ditahan di bawah Sosma,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023.
- Isu kecurian REE antara isu panas pada PRN Kedah bulan lalu menyaksikan Saifuddin dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor saling berbalas kenyataan menyalahkan satu sama lain.
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan wujud elemen pemerdagangan manusia dan buruh paksa susulan penahanan 52 individu terbabit aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah awal tahun ini.
Saifuddin berkata siasatan polis mendapati pekerja asing antaranya dari Myanmar dan Nepal itu tidak dibayar gaji sekitar RM80 hingga RM100 oleh majikan mereka yang kini disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Bila disiasat polis ternyata mereka bekerja tanpa upah…disuruh korek lubang, gali, keluarkan bijih itu kemudian tidak dibayar.
“Sekarang dalam siasatan dan pelaku sekarang ditahan di bawah Sosma,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023.
Saifuddin berkata ada juga yang ditahan Februari lalu kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.
Isu kecurian REE antara isu panas pada PRN Kedah bulan lalu menyaksikan Saifuddin dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor saling berbalas kenyataan menyalahkan satu sama lain.
Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengesahkan Sanusi akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan isu REE pada minggu ini atau minggu depan.
Terdahulu, SPRM memaklumkan mereka mendapat petunjuk baharu dan mungkin memanggil individu penting bagi membantu siasatan rasuah serta salah guna kuasa dalam perlombongan REE di Kedah.
Sebelum ini, SPRM menahan reman seorang ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan pengarah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan rasuah serta salah guna kuasa.
Dilaporkan aktiviti perlombongan REE dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat yang dikatakan mendapat perlindungan pihak berkuasa tertentu sejak 2020.
Hasil siasatan SPRM mendapati beberapa bayaran disyaki membabitkan rasuah lebih RM13 juta diberikan syarikat terbabit.
Sementara itu, Saifuddin berkata tindakan penganjur “Selamatkan Malaysia” mengadakan himpunan pada 16 Sept tidak menghormati sambutan Hari Malaysia.
Katanya, penganjur sepatutnya menghormati semangat perpaduan setiap lapisan masyarakat pada hari istimewa yang disambut seluruh negara.
Sumber: Free Malaysia Today