Terkini
Hanya 50 hingga 100 kampit beras tempatan sahaja diterima Mydin – Ameer Ali
Isu kekurangan bekalan beras tempatan terus meruncing, kali ini di pasar raya besar Mydin turut menerima kesan yang sama.
- Isu kekurangan bekalan beras tempatan terus meruncing, kali ini di pasar raya besar Mydin turut menerima kesan sama.
- Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, jika sebelum ini bekalan yang diterima 1,000 hingga 2,000 kampit beras tempatan sehari, namun kini hanya 50 hingga 100 kampit beras tempatan yang diterima pihaknya.
- Isu itu bukan hanya memberi kesan kepada peniaga, malah rakyat terutama golongan B40 paling menerima impaknya.
- Ada juga pelanggan, jelas Ameer Ali, yang menyalahkan peniaga kerana mendakwa menyorok stok bekalan beras, sedangkan sebaliknya, bekalan yang diterima peniaga juga sedikit berbanding kebiasaan.
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan bekalan beras tempatan terus meruncing, kali ini di pasar raya besar Mydin turut menerima kesan yang sama.
Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, jika sebelum ini bekalan yang diterima 1,000 hingga 2,000 kampit beras tempatan sehari, namun kini hanya 50 hingga 100 kampit beras tempatan yang diterima pihaknya.
Bekalan beras tempatan kurang
“Ini bukan cerita baru, walaupun sekarang dah jadi terdesak betul. Memang dah kosong (tiada) dah. Maknanya kalau pergi pasar raya mana pun, kalau pergi pagi-pagi Insya-Allah dapat lah 50 hingga 100 kampit, tapi dalam masa satu jam dah habis.
“Macam saya datang sekarang jam 2 petang tadi (Sabtu) satu kampit pun tak ada beras SST 5 peratus. Maknanya keperluan satu pasar raya.
“Katalah di Mydin USJ Subang ini, kita memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 atau 2,000 kampit beras satu hari, tapi kita dapat lebih kurang 50 atau 100 kampit dua tiga hari sekali. Ada juga pembekal-pembekal yang tidak hantar. Dah seminggu pun tak hantar,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pasaraya Mydin USJ di sini pada Sabtu.
Ujarnya, isu itu bukan hanya memberi kesan kepada peniaga, malah rakyat terutama golongan B40 paling menerima impaknya.
Pelanggan mula marah
Ada juga pelanggan, jelas Ameer Ali, yang menyalahkan peniaga kerana mendakwa menyorok stok bekalan beras, sedangkan sebaliknya, bekalan yang diterima peniaga juga sedikit berbanding kebiasaan.
“Kita di lapangan ini ada masalah. Kita jumpa pelanggan, mereka kata kita sorok di belakang, sebab kita tak ada barang.
“Pelanggan kata menteri kata ‘ada barang’, takkan menteri tak tahu, takkan Ketua Pengarah pun tak tahu. Jadi kita (peniaga) pula dipersalahkan.
“Pelanggan ingat kita menipu walhal kita tiada barang. Bila kita tengok di belakang ini, kalau beras SST bungkusannya warna ungu, tapi tak ada. Semuanya warna beras-beras import sahaja,” katanya lagi.
Perlu mekanisme lebih realistik
Ujarnya lagi, mekanisme yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini perlu lebih realistik dan berkesan.
Jika tidak, lebih ramai rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat.
“Harga beras import naik, ini realiti. Apa kita patut buat, kerajaan patut buat? (Soal) harga ini fenomena global dan kita tak boleh salahkan kerajaan. Salah satu kita kena jaga rakyat golongan B40 dan M40.
“Bagi bantuan kewangan melalui baucar ke apa. Kedua naikkan gaji, paras gaji RM1,500 rendah sangat. Saya pun bayar kepada pekerja RM1,500 juga tapi itu pasarannya.
“Naikkan paras gaji, harga barang akan naik sikit tapi sekurangnya orang dapat duit lebih sikit untuk berbelanja,” katanya lagi.
Persoalannya, jika kedai runcit sehingga pasar raya besar keadaannya sama, kurang bekalan beras tempatan, apa pula pilihan rakyat? Terutama golongan B40 yang hanya meraih pendapatan isi rumah di takuk lama?
Tekanan kos sara hidup meningkat
Bagi Mohd Razali Hashim, 42, keadaan ketika ini amat merisaukan dan memberi tekanan kepadanya.
“Sekiranya berterusan memang risau lah makin lama harga makin tinggi. Sebab beras ni memang rutin, setiap hari kita makan, bila dah lama-lama memang terasalah.
“Memang sakit, terpaksa teruskan hidup. Terpaksa kurangkan membeli barangan lain dan utamakan makanan yang utama,” katanya.
Suri rumah dari Desa Petaling ini pula, Norihan Ibrahim, 53, terpaksa memilih membeli beras import lima kilogram berbanding 10 kilogram beras tempatan.
Lebih memeritkan, kata Norihan, pertambahan perbelanjaan bulanan meningkat, namun tiada pilihan buatnya.
Terpaksa bertukar ke beras import
“Itulah tiada beras tempatan, terpaksa kena beli beras import. Tapi lima kilogram sahaja, harga naik sekarang, kan. Terpaksa ambil beras lima kilogram sebab mahal sangat.
“Kalau nak ikutkan memang risau, sebab saya tak bekerja dan hanya suri rumah. Daripada 10 kilogram, kita terpaksa kurangkan pembelian kepada lima kilogram sebab kita nak hidup, nak makan juga.
“Kita tak tahu beras tempatan masih ada atau tidak. Kalau boleh, biarlah kerajaan turunkan harga beras import. Terpaksa ambil beras import,” katanya.
Luahan sama disuarakan Said Hanifah Said Kasim, 50, penyelia gudang di Lembah Kelang.
Setiap bulan, dua kampit beras tempatan digunakan untuk kelangsungan hidup. Namun kini terpaksa bertukar ke beras import pada harga yang tinggi.
“Kalau rumah saya sekurang-kurangnya dua kampit beras tempatan lebih kurang 25 kilogram sebulan. Harga beras import sekarang memang melampau.
“Kalau bekalan beras tempatan ini kerajaan dapat kawal, ringan sikit beban kami. Beras import tak boleh cakap apa,” ujarnya.
Perbelanjaan meningkat, pendapatan mendatar
Berkongsi cerita lagi kata Said Hanifah, mungkin beliau masih mampu membeli beras import. Namun, bagaimana pula golongan B40, soalnya.
“Kesannya satu beban, kita terpaksa belanja duit lebih untuk beras sahaja… belum barangan lain.
“Barangan lain naik harga, tak ada yang turun. Masalahnya bila harga barang naik, dia susah nak turun. Gaji di takuk yang sama, tapi barang naik jadi tak cukup lah untuk sara hidup,” keluhnya lagi.
Sumber: Astro Awani