Antarabangsa
Bluesky pesaing baharu platform X
Satu aplikasi baharu dikenali sebagai Bluesky, dikatakan mampu menjadi pesaing hebat kepada X selepas platform itu berjaya meraih jumlah pendaftaran yang memecahkan rekod.
- Satu aplikasi baharu dikenali sebagai Bluesky, dikatakan menjadi pesaing hebat X selepas platform berjaya meraih jumlah pendaftaran memecahkan rekod.
- Jumlah diperoleh setelah hartawan, Elon Musk mendedahkan pihaknya merancang mengenakan bayaran kepada semua pengguna yang mengakses platform media sosial X miliknya.
- Lapor Daily Mail, data dikumpul BlueskyStats mendedahkan lebih 53,500 pengguna mendaftar aplikasi Bluesky dalam tempoh 24 jam.
- Jumlah pengguna di laman itu dianggarkan sekitar 1.1 juta orang, rendah berbanding aplikasi X.
- Pakar keselamatan siber di ESET, Jake Moore menyifatkan peningkatan populariti Bluesky sudah dijangkakan dan tidak dapat dielakkan.
WASHINGTON: Satu aplikasi baharu dikenali sebagai Bluesky, dikatakan mampu menjadi pesaing hebat kepada X selepas platform itu berjaya meraih jumlah pendaftaran yang memecahkan rekod.
Jumlah itu diperoleh setelah hartawan, Elon Musk mendedahkan pihaknya sedang merancang untuk mengenakan bayaran kepada semua pengguna yang ingin mengakses platform media sosial X miliknya.
Lapor Daily Mail, data dikumpul oleh BlueskyStats mendedahkan lebih 53,500 pengguna mendaftar aplikasi Bluesky dalam tempoh 24 jam.
Jumlah itu menunjukkan hampir 40,000 orang melebihi purata.
Bagaimanapun, jumlah pengguna di laman itu dianggarkan sekitar 1.1 juta orang, masih rendah berbanding aplikasi X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Terdahulu, Musk mendedahkan laman media sosialnya pada ketika ini mempunyai kira-kira 550 juta pengguna bulanan meskipun mengalami siri perubahan drastik sejak pengambilalihan tahun lalu termasuk pengewangan sistem pengesahan tanda biru.
Sementara itu, pakar keselamatan siber di ESET, Jake Moore menyifatkan peningkatan populariti Bluesky sudah dijangkakan dan tidak dapat dielakkan.
Bluesky dilancarkan pada Android dan iOS pada awal tahun ini.
Aplikasi itu disokong oleh pengasas bersama Twitter dan bekas ketua pegawai eksekutif, Jack Dorsey.
Ia merupakan aplikasi media sosial jemputan, dengan pengguna sedia ada boleh memberikan kod jemputan kepada sesiapa yang berminat untuk mendaftar.
Sumber: Utusan Malaysia