Terkini
Anak Najib desak kerajaan atasi ‘kepincangan’ sistem kehakiman disuarakan bekas hakim
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar mendesak kerajaan memandang serius dan mengambil tindakan dalam mengatasi ‘kepincangan’ sistem kehakiman yang disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer terhadap kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
- Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar mendesak kerajaan memandang serius dan ambil tindakan dalam mengatasi ‘kepincangan’ sistem kehakiman yang disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer terhadap kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
- Menurut Mohamad Nizar, Hamid Sultan menyatakan perbicaraan ayahnya menimbulkan pelbagai kontroversi yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku di bawah sistem perundangan Malaysia.
- Katanya, antaranya berkaitan pelantikan hakim ‘junior’ berbanding menurunkan hakim lebih kanan dan berpengalaman mengendalikan kes berprofil tinggi serta isu-isu berkaitan seorang hakim jelas terpalit dengan konflik kepentingan ekoran laporan media mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
- Tambah Mohamad Nizar, Hamid Sultan membuat kesimpulan para peguam dan hakim dalam Malaysia mestilah terdiri daripada mereka yang nilai etika mulia di samping mempunyai ilmu undang-undang mendalam.
- Katanya, ia bagi memastikan hak semua rakyat Malaysia membela diri dalam Perlembagaan Malaysia adalah terjamin dan tuntas.
PETALING JAYA: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar mendesak kerajaan memandang serius dan mengambil tindakan dalam mengatasi ‘kepincangan’ sistem kehakiman yang disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer terhadap kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Menurut Mohamad Nizar, Hamid Sultan menyatakan bahawa perbicaraan ayahnya menimbulkan pelbagai kontroversi yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku di bawah sistem perundangan Malaysia.
Katanya, antaranya berkaitan pelantikan hakim ‘junior’ berbanding menurunkan hakim yang lebih kanan dan berpengalaman untuk mengendalikan kes berprofil tinggi serta isu-isu berkaitan seorang hakim yang jelas terpalit dengan konflik kepentingan ekoran laporan media mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ketiga, tindakan pendaftar Mahkamah Persekutuan yang menetapkan tarikh pendengaran rayuan kes Najib sebelum permohonannya untuk diwakili oleh Peguam Diraja United Kingdom (UK) didengar. Malah, permohonan untuk memasukkan bukti tambahan tidak dibenarkan sama sekali. Ini menafikan hak universal Najib untuk mendapat pembelaan yang diinginkan.
“Keempat, tekanan serta kecaman dilemparkan terhadap peguam utama Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang merupakan seorang peguam mempunyai reputasi yang baik dan sangat berpengalaman dalam mengendalikan kes jenayah. Akhirnya, ayahanda Najib dibiarkan dalam keadaan tiada peguam untuk mewakilinya, sekali gus menafikan hak perlembagaannya untuk dibela.
“Kelima, draf alasan penghakiman telah ‘viral’ dan disebarkan sebelum perayu didengar sepenuhnya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 92 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan sebelum proses rayuan selesai. Seakan-akan keputusan sudah dibuat dan tiada makna hujah pembelaan diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Persekutuan Putrajaya sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Tambah Mohamad Nizar, Hamid Sultan membuat kesimpulan bahawa para peguam dan hakim dalam Malaysia mestilah terdiri daripada mereka yang nilai etika yang mulia di samping mempunyai ilmu undang-undang yang mendalam.
Katanya, ia bagi memastikan hak semua rakyat Malaysia untuk membela diri dalam Perlembagaan Malaysia adalah terjamin dan tuntas.
“Kepincangan dan kebobrokan dalam sistem kehakiman wajib diperbetulkan dan dirombak semula supaya rakyat Malaysia tidak kiralah mantan Perdana Menteri atau tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya tanpa campur tangan mana-mana pihak atau menjadi mangsa komplot pihak berdendam.
“Kini, sudah lebih setahun ayahanda Najib Razak dipenjarakan. Saya tidak berhenti berdoa ketika negara sedang sambut tahun kemerdekaan yang ke-66, ayahanda saya akan bebas, dimerdekakan daripada sebarang kezaliman, penganiayaan dan komplot yang dahsyat,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia