Connect with us

Kolumnis

Apabila Islam dijadikan bahan politik

Negara Malaysia terkenal dengan rakyat berbilang bangsa dan agama yang menjadikan sistem raja berperlembagaan sebagai pasak pembentukan negara. Maka terdapat isu-isu sensitif 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja tidak boleh dimainkan demi menjaga keharmonian dan ketenteraman negara ini. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Apabila Islam dijadikan bahan politik
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Negara Malaysia terkenal dengan rakyat berbilang bangsa dan agama yang menjadikan sistem raja berperlembagaan sebagai pasak pembentukan negara. Maka terdapat isu-isu sensitif 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja tidak boleh dimainkan demi menjaga keharmonian dan ketenteraman negara ini. 

Oleh sebab itu, isu 3R juga adalah ground rules yang sepatutnya tidak boleh dicerobohi ahli politik dan konco-konconya. 

Namun, isu agama seringkali dimanipulasi menjadi bahan politik yang paling popular demi meraih tujuan parti, undi dan perhatian rakyat. 

Tidak dinafikan, ia sememangnya satu senjata yang ampuh.

Ini bagaikan satu trend apabila sesuatu isu dibangkitkan, ahli politik akan memanipulasi sentimen orang bukan Islam, menakut-nakutkan dan memberi kenyataan anti-Islam dengan niat menghasut. 

Akhirnya, salah faham itu mencetuskan kebencian dan diskriminasi terhadap umat Islam, lalu menjadikan Islam watak antagonis dalam isu terbabit. Ini satu kitaran jahat dan licik.  

Isu melibatkan subjek moral dan kesopanan adalah isu paling ketara memainkan sentimen sebegini. 

Sebagai contoh, dalam sebuah video propaganda penyokong Pakatan Harapan, mereka menyifatkan kerajaan yang dipimpin oleh Parti Islam se-Malaysia (PAS), iaitu negeri Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah melaksanakan dasar ekstremis di mana mereka melarang penjualan arak, menutup premis judi dan melarang penganjuran konsert.

Malahan, apabila dasar-dasar kerajaan digubal memiliki unsur-unsur sebegini, mereka mulai berkata kerajaan negeri ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam atau cubaan untuk ‘mengislamisasikan’ masyarakat awam. 

Ibarat knee-jerk reaction apabila isu-isu sebegini berbangkit, terus dilabelkan dengan sentimen agama Islam sebagai agama ekstremis, ‘Taliban’, ‘memaksa orang awam menerima nilai Islam’ dan mundur. 

Sentimen ini tidak pernah lekang dalam komentar-komentar para ahli politik. 

Oleh kerana sentimen ini kerap dimainkan, ia telah membina satu stigma negatif kepada Islam itu sendiri. 

Sedangkan apabila difikirkan secara rasional, perkara moral dan kesopanan itu hakikatnya adalah prinsip asasi dalam agama-agama lain juga. 

Namun disebabkan tiada ruang perbincangan rasional dibuka, isu-isu sebegini menjadi perdebatan yang tiada akhirnya. 

Berbeza dengan naratif Islamofobia di Barat yang lebih mengaitkan dengan unsur jihad dan keganasan, isu Islamofobia di Malaysia lebih kepada persepsi-persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap pelaksanaan dasar Islam yang dilihat seperti mengancam kelangsungan hidup mereka. 

Pada pandangan penulis, ini merupakan satu cabaran yang amat besar kepada umat Islam di Malaysia untuk memperbetulkan kesalahfahaman yang berlaku ini kerana minda sesuatu masyarakat itu dibentuk daripada suara pemerintahnya.  – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *