Connect with us

Terkini

Malaysia perlu bersedia hadapi migrasi akibat iklim, bencana alam

Malaysia perlu bersedia hadapi migrasi akibat iklim, bencana alam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Malaysia perlu bersedia hadapi migrasi akibat iklim, bencana alam
Foto: Malaysia perlu bersedia hadapi migrasi akibat iklim, bencana alam.
  • Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) menganggarkan 1.2 billion penduduk dunia boleh hilang tempat tinggal menjelang 2050 akibat bencana alam, justeru penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia, menurut badan pemikir global itu.
  • Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Kendra Rinas berkata, memandangkan Asia Tenggara dianggap sebagai antara wilayah yang paling terdedah kepada bencana alam, lebih ramai  migran akan datang ke Malaysia mencari perlindungan daripada kesan perubahan iklim.
  • Lebih ramai rakyat Malaysia dijangka berhijrah di dalam dan ke luar negara akibat kesan perubahan iklim, menimbulkan kebimbangan sama ada Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan cabaran ini.
  • Ketika dihubungi Bernama, Rinas berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melancarkan dua pelan tindakan nasional mengenai Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang, serta komited terhadap Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia.

KUALA LUMPUR — Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) menganggarkan 1.2 billion penduduk dunia boleh hilang tempat tinggal menjelang 2050 akibat bencana alam, justeru penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia, menurut badan pemikir global itu.

Dalam seminar mengenai migrasi di Universiti Malaya baru-baru ini, Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Kendra Rinas berkata memandangkan Asia Tenggara dianggap sebagai antara wilayah yang paling terdedah kepada bencana alam, lebih ramai  migran akan datang ke Malaysia mencari perlindungan daripada kesan perubahan iklim.

Di samping itu, lebih ramai rakyat Malaysia dijangka berhijrah di dalam dan ke luar negara akibat kesan perubahan iklim, menimbulkan kebimbangan sama ada Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan cabaran ini.

Ketika dihubungi Bernama, Rinas berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melancarkan dua pelan tindakan nasional mengenai Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang, serta komited terhadap Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia.

Beliau menganggap ini sebagai langkah awal yang baik, dan jika dilaksanakan dengan jitu, ia dijangka dapat memperkasakan tadbir urus migrasi dan perlindungan migran.

Dalam konteks migrasi iklim khususnya, beliau berkata terdapat peluang untuk menterjemahkan prinsip dan komitmen dasar global dengan lebih baik kepada aktiviti yang boleh dilakukan di lapangan, terutamanya di peringkat nasional dan tempatan.

“Sesetengah negara telah pun membangunkan dasar dan rangka kerja untuk menangani cabaran yang dikaitkan dengan kesan buruk perubahan iklim terhadap migrasi, tetapi usaha sedemikian secara keseluruhannya masih terhad.

“Adalah penting untuk mengintegrasikan perubahan iklim dan isu mobiliti manusia dalam dasar dan rangka kerja, seperti melalui Pelan Penyesuaian Nasional dengan lebih giat,” katanya.

Memandangkan kebanyakan penghijrahan dan perpindahan berkaitan iklim pada masa ini berlaku di dalam negara, beliau mencadangkan kerajaan mengguna pakai pendekatan komprehensif yang menghimpunkan respons secara luaran, termasuk dasar seperti pengurusan sempadan, visa, kemasukan dan penginapan serta penglibatan diaspora, dengan respons tertumpu kepada pengurangan risiko bencana, penyesuaian perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Rinas mengetengahkan lapan bidang untuk diberi tumpuan dalam menguruskan migrasi iklim – memperkukuh daya tahan dan penyesuaian; mewujudkan rangka kerja undang-undang; membina kapasiti dan infrastruktur; memupuk integrasi sosial; kerjasama serantau; menangani punca; kesedaran dan pendidikan awam; dan penglibatan belia.

Bagi meningkatkan daya tahan dan penyesuaian dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dalam negara, beliau berkata kerajaan disaran melabur dalam infrastruktur, sistem amaran awal dan kesiapsiagaan bencana untuk meminimumkan kesan bencana alam.

Beliau juga menyarankan rangka kerja undang-undang melibatkan pengemaskinian undang-undang imigresen sedia ada dengan prosedur kemanusiaan untuk menyediakan perlindungan undang-undang dan bantuan kepada pendatang iklim, terutamanya wanita, kanak-kanak dan warga tua.

Mengenai pembinaan kapasiti dan infrastruktur, Rinas berkata agensi kerajaan yang berkaitan, seperti imigresen, badan kebajikan, pengurusan bencana dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya mampu menangani potensi peningkatan mobiliti manusia, termasuk di Malaysia.

Bagi memupuk integrasi sosial antara migran dan masyarakat tempatan, beliau berkata ini boleh dicapai dengan menggalakkan program pertukaran budaya, kelas bahasa, dan inisiatif komuniti untuk memudahkan pemahaman dan penerimaan.

“Libatkan pertubuhan masyarakat sivil, NGO dan organisasi berasaskan komuniti untuk menyokong kesan integrasi dan mewujudkan persekitaran yang inklusif,” katanya.

Rinas berkata kerjasama serantau dan perkongsian maklumat dengan negara jiran juga penting untuk membantu menangani cabaran secara kolektif, berkongsi amalan terbaik dan mewujudkan mekanisme untuk perkongsian beban dan sokongan.

Menurutnya usaha menangani punca perubahan iklim juga penting, sambil menambah bahawa Malaysia boleh mengambil bahagian secara aktif dalam perjanjian perubahan iklim antarabangsa dan menyokong langkah-langkah mitigasi yang berkesan di peringkat global, sambil turut memberi tumpuan kepada usaha penyesuaian perubahan iklim di dalam negara.

Mengenai kesedaran dan pendidikan, beliau berkata orang ramai mesti dimaklumkan tentang kepentingan penyesuaian, pembinaan daya tahan, dan keperluan untuk menyokong, mengintegrasikan dan menerima migran iklim.

Sementara itu, Rinas berkata generasi muda perlu mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang migrasi, populasi migran, dan perhubungan migrasi dan perubahan iklim.

“Adalah penting bagi belia untuk terlibat dalam perbincangan dan membuat keputusan,” katanya sambil menambah bahawa dengan memupuk sifat belas kasihan dan persefahaman, belia boleh membantu menangani stereotaip dan menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif. — BERNAMA

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *