Terkini
Malaysia perlu bersedia hadapi migrasi akibat iklim, bencana alam
Malaysia perlu bersedia hadapi migrasi akibat iklim, bencana alam

- Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) menganggarkan 1.2 billion penduduk dunia boleh hilang tempat tinggal menjelang 2050 akibat bencana alam, justeru penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia, menurut badan pemikir global itu.
- Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Kendra Rinas berkata, memandangkan Asia Tenggara dianggap sebagai antara wilayah yang paling terdedah kepada bencana alam, lebih ramai migran akan datang ke Malaysia mencari perlindungan daripada kesan perubahan iklim.
- Lebih ramai rakyat Malaysia dijangka berhijrah di dalam dan ke luar negara akibat kesan perubahan iklim, menimbulkan kebimbangan sama ada Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan cabaran ini.
- Ketika dihubungi Bernama, Rinas berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melancarkan dua pelan tindakan nasional mengenai Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang, serta komited terhadap Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia.
KUALA LUMPUR — Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) menganggarkan 1.2 billion penduduk dunia boleh hilang tempat tinggal menjelang 2050 akibat bencana alam, justeru penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia, menurut badan pemikir global itu.
Dalam seminar mengenai migrasi di Universiti Malaya baru-baru ini, Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Kendra Rinas berkata memandangkan Asia Tenggara dianggap sebagai antara wilayah yang paling terdedah kepada bencana alam, lebih ramai migran akan datang ke Malaysia mencari perlindungan daripada kesan perubahan iklim.
Di samping itu, lebih ramai rakyat Malaysia dijangka berhijrah di dalam dan ke luar negara akibat kesan perubahan iklim, menimbulkan kebimbangan sama ada Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan cabaran ini.
Ketika dihubungi Bernama, Rinas berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melancarkan dua pelan tindakan nasional mengenai Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang, serta komited terhadap Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia.
Beliau menganggap ini sebagai langkah awal yang baik, dan jika dilaksanakan dengan jitu, ia dijangka dapat memperkasakan tadbir urus migrasi dan perlindungan migran.
Dalam konteks migrasi iklim khususnya, beliau berkata terdapat peluang untuk menterjemahkan prinsip dan komitmen dasar global dengan lebih baik kepada aktiviti yang boleh dilakukan di lapangan, terutamanya di peringkat nasional dan tempatan.
“Sesetengah negara telah pun membangunkan dasar dan rangka kerja untuk menangani cabaran yang dikaitkan dengan kesan buruk perubahan iklim terhadap migrasi, tetapi usaha sedemikian secara keseluruhannya masih terhad.
“Adalah penting untuk mengintegrasikan perubahan iklim dan isu mobiliti manusia dalam dasar dan rangka kerja, seperti melalui Pelan Penyesuaian Nasional dengan lebih giat,” katanya.
Memandangkan kebanyakan penghijrahan dan perpindahan berkaitan iklim pada masa ini berlaku di dalam negara, beliau mencadangkan kerajaan mengguna pakai pendekatan komprehensif yang menghimpunkan respons secara luaran, termasuk dasar seperti pengurusan sempadan, visa, kemasukan dan penginapan serta penglibatan diaspora, dengan respons tertumpu kepada pengurangan risiko bencana, penyesuaian perubahan iklim dan pembangunan mampan.
Rinas mengetengahkan lapan bidang untuk diberi tumpuan dalam menguruskan migrasi iklim – memperkukuh daya tahan dan penyesuaian; mewujudkan rangka kerja undang-undang; membina kapasiti dan infrastruktur; memupuk integrasi sosial; kerjasama serantau; menangani punca; kesedaran dan pendidikan awam; dan penglibatan belia.
Bagi meningkatkan daya tahan dan penyesuaian dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dalam negara, beliau berkata kerajaan disaran melabur dalam infrastruktur, sistem amaran awal dan kesiapsiagaan bencana untuk meminimumkan kesan bencana alam.
Beliau juga menyarankan rangka kerja undang-undang melibatkan pengemaskinian undang-undang imigresen sedia ada dengan prosedur kemanusiaan untuk menyediakan perlindungan undang-undang dan bantuan kepada pendatang iklim, terutamanya wanita, kanak-kanak dan warga tua.
Mengenai pembinaan kapasiti dan infrastruktur, Rinas berkata agensi kerajaan yang berkaitan, seperti imigresen, badan kebajikan, pengurusan bencana dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya mampu menangani potensi peningkatan mobiliti manusia, termasuk di Malaysia.
Bagi memupuk integrasi sosial antara migran dan masyarakat tempatan, beliau berkata ini boleh dicapai dengan menggalakkan program pertukaran budaya, kelas bahasa, dan inisiatif komuniti untuk memudahkan pemahaman dan penerimaan.
“Libatkan pertubuhan masyarakat sivil, NGO dan organisasi berasaskan komuniti untuk menyokong kesan integrasi dan mewujudkan persekitaran yang inklusif,” katanya.
Rinas berkata kerjasama serantau dan perkongsian maklumat dengan negara jiran juga penting untuk membantu menangani cabaran secara kolektif, berkongsi amalan terbaik dan mewujudkan mekanisme untuk perkongsian beban dan sokongan.
Menurutnya usaha menangani punca perubahan iklim juga penting, sambil menambah bahawa Malaysia boleh mengambil bahagian secara aktif dalam perjanjian perubahan iklim antarabangsa dan menyokong langkah-langkah mitigasi yang berkesan di peringkat global, sambil turut memberi tumpuan kepada usaha penyesuaian perubahan iklim di dalam negara.
Mengenai kesedaran dan pendidikan, beliau berkata orang ramai mesti dimaklumkan tentang kepentingan penyesuaian, pembinaan daya tahan, dan keperluan untuk menyokong, mengintegrasikan dan menerima migran iklim.
Sementara itu, Rinas berkata generasi muda perlu mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang migrasi, populasi migran, dan perhubungan migrasi dan perubahan iklim.
“Adalah penting bagi belia untuk terlibat dalam perbincangan dan membuat keputusan,” katanya sambil menambah bahawa dengan memupuk sifat belas kasihan dan persefahaman, belia boleh membantu menangani stereotaip dan menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Antarabangsa
(VIDEO) Tentera rejim zionis rogol kanak-kanak lelaki Palestin di Penjara Israel – Bekas pegawai kanan AS
Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.
Perkara itu disebutnya dalam temu ramah dengan Christiane Amanpour di CNN hari ini ketika diajukan kenyataan mengenai sifat kemanusiaan di Gaza kini pada tahap yang tidak sepatutnya boleh diterima.
“Kamu menyebut tentang keganasan seksual, saya (merupakan) sebahagian dari proses pemeriksaan hak asasi manusia, menapis persenjataan diberikan kepada Israel.
“Organisasi kebajikan dengan nama Pertahanan Antarabangsa Kanak-kanak Palestin (DCIP) menarik perhatian kami, berkenaan satu serangan seksual atau sebenarnya satu (kes) rogol kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang berlaku di penjara Israel di Moscovia di Jerusalem (Baitulmaqdis).
“Kami menyiasat dakwaan ini, kami dapati ia boleh dipercayai dan kami mempertanggungjawabkan perkara itu ke atas kerajaan Israel,” katanya.
Paul turut menceritakan tindakan tentera zionis Israel pada keesokan harinya menyerbu organisasi yang menyimpan maklumat kanak-kanak Palestin dalam tahanan rejim Israel itu.
“Kamu tahu apa yang berlaku keesokan harinya?, IDF (tentera rejim zionis Israel) memasuki pejabat pegawai DCIP, rampas komputer mereka, dan isytiharkan mereka sebagai sebuah entiti pengganas,” katanya kepada Amanpour.
Paul berkata kekejaman tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa pun, samada kekejaman pencabulan seksual atau apa sahaja pencabulan melampau hak asasi manusia.
Statistik DCIP menunjukkan, setakat hari ini, 156 kanak-kanak ditahan atas sebab “keselamatan”, 23 kanak-kanak ditahan atas sebab undang-undang dengan catatan kemas kini terakhir pada September lalu.
Manakala jumlah kematian kanak-kanak pada 2023 disebabkan peluru hidup dilaporkan DCIP adalah 92 mangsa dengan kemas kini terakhir pada bulan ini. – The Merdeka Times
Sumber: Youtube – CNN, Defence for Children International Palestine
View this post on Instagram
-
Terkini2 days ago
Kredit e-Madani dilarang pindah atau tebus tunai, akaun boleh disekat
-
Terkini24 hours ago
(VIDEO) Tular rakyat Malaysia gesa Kedutaan Israel dibuka di negara ini
-
Terkini2 days ago
Warganegara Malaysia wajib fasih Bahasa Melayu, tiada kompromi – Menteri KDN
-
Terkini2 days ago
DBKL tarik balik larangan jual arak