Antarabangsa
Kepercayaan Muslim, perasaan keagamaan harus dihormati, kata China
Kementerian Luar China menolak tindakan Islamofobia dan mengutuk tindakan ekstremis yang menyasarkan kepercayaan agama dan menghasut pertembungan antara tamadun.

- Kementerian Luar China menolak tindakan Islamofobia dan mengutuk tindakan ekstremis yang menyasarkan kepercayaan agama dan menghasut pertembungan antara tamadun.
- “Apa yang dipanggil ‘kebebasan bersuara’ tidak seharusnya menjadi alasan untuk mencetuskan konflik dan permusuhan antara tamadun,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning kepada pemberita di Beijing, semalam.
- Menurut laporan AAJ, kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau menjawab pertanyaan berkaitan penghinaan ke atas kitab suci umat Islam, al-Quran di Sweden pada bulan lalu.
Kementerian Luar China menolak tindakan Islamofobia dan mengutuk tindakan ekstremis yang menyasarkan kepercayaan agama dan menghasut pertembungan antara tamadun.
“Apa yang dipanggil ‘kebebasan bersuara’ tidak seharusnya menjadi alasan untuk mencetuskan konflik dan permusuhan antara tamadun,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning kepada pemberita di Beijing, semalam.
Menurut laporan AAJ, kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau menjawab pertanyaan berkaitan penghinaan ke atas kitab suci umat Islam, al-Quran di Sweden pada bulan lalu.
Mao bermula dengan pendirian China bahawa negara itu ‘sentiasa’ menjunjung rasa hormat, keterangkuman dan pembelajaran bersama antara tamadun.
Katanya, Beijing menentang tindakan ekstremis yang menyerang kepercayaan agama yang berbeza dan menghasut pertembungan tamadun dan semua bentuk Islamofobia.
“Tamadun Islam memberi sumbangan penting kepada tamadun dunia,” katanya, menegaskan kepercayaan dan perasaan umat Islam harus dihormati.
Sebelum ini, seorang lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Iraq ‘mencemarkan’ al-Quran di luar masjid Stockholm ketika berada di bawah pengawasan polis Sweden pada 28 Jun lalu.
Insiden itu mencetuskan kecaman meluas dari seluruh dunia Islam, termasuk di Türkiye, Jordan, Palestin, Arab Saudi, Maghribi, Iraq, Iran, Pakistan, Senegal, Maghribi dan Mauritania.
Dalam pada itu, AlJazeera melaporkan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung insiden itu atas permintaan Pakistan.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva, yang bermesyuarat dalam sesi sehingga 14 Julai depan akan menukar agendanya untuk mengadakan perbahasan segera mengenai permintaan Pakistan itu.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga menggesa langkah kolektif oleh negara-negara Islam untuk mencegah kejadian seperti itu pada masa hadapan.
Sumber: AAJ
