Connect with us

Terkini

CUEPACS kemuka cadangan gaji minimum RM1,800 bagi penjawat awam lantikan baharu

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengemukakan cadangan mengenai gaji minimum penjawat awam bagi lantikan baharu ditetapkan pada RM1,800 sebulan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

CUEPACS kemuka cadangan gaji minimum RM1,800 bagi penjawat awam lantikan baharu
Foto: Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat.
  • Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengemukakan cadangan mengenai gaji minimum penjawat awam bagi lantikan baharu ditetapkan pada RM1,800 sebulan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata antara perkara yang dibangkitkan ialah sistem saraan baharu untuk penjawat awam memandangkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedang diguna pakai telah dilaksana sejak 1 Nov 2002.
  • “Dalam hal ini, Cuepacs menyambut baik pengumuman Perdana Menteri pada 7 Julai lepas untuk mengkaji skim gaji perkhidmatan awam namun memohon agar pelaksanaan skim baharu ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira saranan daripada Cuepacs,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
  • Adnan berkata turut dicadangkan ialah kerajaan meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan dan imbuhan tetap khidmat awam masing-masing sebanyak RM100.

KUALA LUMPUR — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengemukakan cadangan mengenai gaji minimum penjawat awam bagi lantikan baharu ditetapkan pada RM1,800 sebulan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata perkara itu dimaklumkan kepada Anwar semasa sesi kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya semalam.

Beliau berkata antara perkara yang dibangkitkan ialah sistem saraan baharu untuk penjawat awam memandangkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedang diguna pakai telah dilaksana sejak 1 Nov 2002.

“Dalam hal ini, Cuepacs menyambut baik pengumuman Perdana Menteri pada 7 Julai lepas untuk mengkaji skim gaji perkhidmatan awam namun memohon agar pelaksanaan skim baharu ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira saranan daripada Cuepacs,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Adnan berkata turut dicadangkan ialah kerajaan meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan dan imbuhan tetap khidmat awam masing-masing sebanyak RM100.

Beliau berkata bagi kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) pula, Cuepacs meminta supaya ia dibayar sepenuhnya bagi penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan kerana ketika ini, mereka dibayar 50 peratus daripada kadar COLA yang sepatutnya diterima.

“Dalam hal melibatkan kuarters kerajaan yang tidak diduduki serta kosong, Cuepacs mengesyorkan agar kuarters tersebut dipanjangkan penggunaannya kepada agensi perkhidmatan awam lain dan diselia oleh satu agensi khas,” katanya.

Adnan berkata Cuepacs juga menyentuh perkara berkaitan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam seperti memendekkan tempoh kenaikan pangkat secara berasaskan masa, laluan kerjaya sehingga gred DG56 kepada pengetua sekolah menengah dan mewujudkan jawatan warden asrama yang bukan dalam kalangan pendidik.

“Cuepacs yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri sentiasa terbuka kepada setiap pandangan dan cadangan daripada penjawat awam serta Cuepacs,” katanya sambil menambah Cuepacs bersedia untuk terlibat sama sebagai pihak berkepentingan dalam merealisasikan skim perkhidmatan baharu bagi penjawat awam. — BERNAMA

Sumber: Bernama

Author