Antarabangsa
Universiti di China naikkan yuran pengajian hingga 54 peratus
Universiti di China menaikkan yuran pengajian secara drastik tahun ini, dengan beberapa membuat kenaikan pertama mereka dalam tempoh dua dekad, berikutan terjejas oleh bajet negara yang dikurangkan untuk pendidikan tinggi dan kewangan kerajaan tempatan yang ketat.
- Universiti di China menaikkan yuran pengajian secara drastik tahun ini, dengan beberapa membuat kenaikan pertama mereka dalam tempoh dua dekad, berikutan terjejas oleh bajet negara dikurangkan untuk pendidikan tinggi dan kewangan kerajaan tempatan yang ketat.
- Yuran lebih tinggi dikenakan di tengah-tengah masalah kewangan dalam kalangan kerajaan tempatan selepas tiga tahun dasar COVID-19 yang mengganggu, krisis hartanah dan ekonomi yang lembap.
- Universiti di China yang hampir kesemuanya institusi pengajian tinggi awam, sangat bergantung pada pembiayaan negara.
BEIJING: Universiti di China menaikkan yuran pengajian secara drastik tahun ini, dengan beberapa membuat kenaikan pertama mereka dalam tempoh dua dekad, berikutan terjejas oleh bajet negara yang dikurangkan untuk pendidikan tinggi dan kewangan kerajaan tempatan yang ketat.
Yuran lebih tinggi dikenakan di tengah-tengah masalah kewangan dalam kalangan kerajaan tempatan selepas tiga tahun dasar COVID-19 yang mengganggu, krisis hartanah dan ekonomi yang lembap.
Universiti di China yang hampir kesemuanya institusi pengajian tinggi awam, sangat bergantung pada pembiayaan negara.
Universiti Sains dan Teknologi China Timur yang berpangkalan di Shanghai menaikkan yuran pengajian sebanyak 54 peratus kepada 7,700 yuan (AS$1,082 bersamaan RM4,974) setiap tahun untuk pelajar baharu dalam jurusan sains, kejuruteraan dan pendidikan jasmani, dan sebanyak 30 peratus dalam seni liberal, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad .
Pengajian untuk sains dan kejuruteraan meningkat sebanyak 40 peratus di Universiti Shanghai Dianji, manakala pelajar jurusan pengurusan, ekonomi dan kesusasteraan perlu membayar 30 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, menurut notis pada Isnin.
Pada April, hab kewangan Shanghai memutuskan selepas pendengaran awam untuk menaikkan yurun pengajian yang tidak berubah selama lebih 20 tahun untuk tahun akademik bermula musim luruh ini.
Wilayah Sichuan di barat daya China dan timur laut Jilin yang berpenduduk padat juga menaikkan yurun pengajian untuk jurusan berbeza, dengan peningkatan maksimum sebanyak 41 peratus di Sichuan, menurut kenyataan kerajaan tempatan.
Anggaran perbelanjaan bajet Kementerian Pendidikan untuk pendidikan tinggi pada 2023 turun 3.7 peratus kepada 102.6 bilion yuan (RM66.41 bilion) daripada tahun sebelumnya, menurut laporan belanjawan daripada kementerian.
Pasukan penyelidik diketuai pakar pendidikan kanan bulan lalu juga menggesa peningkatan yuran yang meluas kepada pelajar antarabangsa, menurut kajian yang diketuai profesor Institut Teknologi Beijing, Liu Jin.
Kajian itu mencadangkan peningkatan yuran pengajian untuk pelajar antarabangsa kepada 110,000 yuan (RM71,199) setahun daripada kira-kira 20,000 yuan (RM12,945)
Sumber: Berita Harian