Terkini
Tangani ancaman ideologi gender, SUHAKAM diminta adakan garis panduan hak kanak-kanak
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan mantan pemegang jawatan itu diminta mengadakan garis panduan atau pernyataan hak kanak-kanak di Malaysia berhubung ideologi gender yang kini meresahkan masyarakat.

- Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan mantan pemegang jawatan itu diminta mengadakan garis panduan atau pernyataan hak kanak-kanak di Malaysia berhubung ideologi gender yang kini meresahkan masyarakat.
- Merujuk kepada ideologi LGBTQ, Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, penyebaran ideologi gender itu kini meresahkan masyarakat, khususnya ibu bapa, di dalam dan luar negara.
- “Jika ideologi ini tidak “terkawal”, inilah yang akan berlaku. Ibu bapa di United Kingdom (UK) terpaksa memantau rapat silibus mereka, ibu bapa di Kanada mengadakan protes, ibu bapa di US mengadakan demonstrasi, mendesak kerajaan mengadakan undang-undang mengawal “gender clinic”,” kata Dr Rafidah dalam hantarannya di Facebook hari ini.
- Beliau mengulas klip video seorang individu difahamkan dari luar negara yang menyuarakan kekhuatiran dengan perkembangan ‘jarum halus’ Barat dalam menerapkan ideologi songsang LGBTQ kepada kanak-kanak menerusi pendidikan.
KUALA LUMPUR — Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan mantan pemegang jawatan itu diminta mengadakan garis panduan atau pernyataan hak kanak-kanak di Malaysia berhubung ideologi gender yang kini meresahkan masyarakat.
Merujuk kepada ideologi LGBTQ, Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, penyebaran ideologi gender itu kini meresahkan masyarakat, khususnya ibu bapa, di dalam dan luar negara.
Jesteru, pihak terbabit boleh menggunakan platform lain seperti Ahli Lembaga Pengarah IKIM atau Ahli Majlis Agama Islam Negeri bagi menyatakan pendirian mereka dalam isu ideologi gender itu sekiranya ada kekangan di platform SUHAKAM.
“Jika ideologi ini tidak “terkawal”, inilah yang akan berlaku. Ibu bapa di United Kingdom (UK) terpaksa memantau rapat silibus mereka, ibu bapa di Kanada mengadakan protes, ibu bapa di US mengadakan demonstrasi, mendesak kerajaan mengadakan undang-undang mengawal “gender clinic”.
“Kita? Ada sesetengah profesional Muslim sendiri “malu” untuk bercakap tentang topik ini takutkan “backlash” dan kecaman dari rakan antarabangsa, takut tidak lagi dijemput di pentas-pentas akademia antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas klip video seorang individu difahamkan dari luar negara yang menyuarakan kekhuatiran dengan perkembangan ‘jarum halus’ Barat dalam menerapkan ideologi songsang LGBTQ kepada kanak-kanak menerusi pendidikan.
Menurut individu lelaki itu, kanak-kanak sekolah di UK diajar mengenai ‘seks anal’ (liwat), kemuncak syahwat (orgasm) seawal usia 12 tahun selain turut diminta ‘melancap’ sebagai tugasan sekolah serta pelbagai lagi ‘pendidikan’ songsang diterapkan kepada kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Dr Rafidah berkata tidak wajar konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) menjadi rujukan tunggal tentang apa dibolehkan untuk kita berbicara mengenai hak kanak-kanak sedangkan Malaysia juga anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Katanya, baru-baru ini dokumen tematik kekeluargaan OIC-Independent Permanent Human Rights Commission (OIC-IPHRC) turut menegur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OHCHR, Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana melanggar mandat dengan menyokong ideologi gender.
“Kalau dulu, secara proaktif tanpa segan, kajian ‘Kebolehmungkinan Pengiktirafan Gender Ketiga di Malaysia’ diluluskan Pesuruhjaya SUHAKAM Muslim ketika itu (yang saya dimaklumkan dananya datang dari EU (Kesatuan Eropah).
“Kenapa tiada tindakan proaktif sekarang untuk SUHAKAM terutamanya OCC melihat/mengkaji implikasi gender ketiga terhadap hak kanak-kanak? Our own initiatives based on our own “acuan”? Kita berhak menentukan hak asasi acuan kita,” katanya.
Dr Rafidah berkata Malaysia juga berhak menyesuaikan konvensyen hak asasi dari luar agar tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.
Katanya, kita tidak perlu menolak dan mengubah agama untuk disesuaikan dengan konvensyen-konvensyen asing. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar
