Antarabangsa
Presiden Biden tersungkur di majlis graduasi
Presiden Joe Biden tersungkur selepas selesai menyerahkan skrol terakhir pada majlis konvokesyen graduan diploma di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), semalam.
- Presiden Joe Biden tersungkur selepas selesai menyerahkan skrol terakhir pada majlis konvokesyen graduan diploma di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), semalam.
- Biden, bagaimanapun segera bangun dan berjalan menuju ke kerusinya dan ia dipercayai berpunca akibat tersadung.
- Ketika kejadian, Biden sempat menahan dirinya menggunakan tangan, sebelum bangun dengan bantuan tiga pembantunya dan berjalan semula tanpa sebarang bantuan.
- Ia berlaku selepas ucapan perasmiannya yang memberi amaran kepada graduan mengenai situasi mereka bakal memulakan perkhidmatan dalam keadaan dunia semakin tidak stabil, memetik cabaran dari Russia dan China.
COLORADO SPRINGS: Presiden Joe Biden tersungkur selepas selesai menyerahkan skrol terakhir pada majlis konvokesyen graduan diploma di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), semalam.
Biden, 80, bagaimanapun segera bangun dan berjalan menuju ke kerusinya dan ia dipercayai berpunca akibat tersadung.
Ketika kejadian, Biden sempat menahan dirinya menggunakan tangan, sebelum bangun dengan bantuan tiga pembantunya dan berjalan semula tanpa sebarang bantuan.
Biden turut menunjukkan sesuatu kepada pembantunya, dipercayai puncanya tersadung, sebelum kembali tersenyum ketika berbual dengan pegawainya sambil mengangkat ibu jari, menandakan beliau dalam keadaan baik.
Ia berlaku selepas ucapan perasmiannya yang memberi amaran kepada graduan mengenai situasi mereka bakal memulakan perkhidmatan dalam keadaan dunia semakin tidak stabil, memetik cabaran dari Russia dan China.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Ben LaBolt menerusi ciapannya di Twitter berkata, Biden dalam keadaan baik, selain menjelaskan terdapat beg pasir di pentas ketika Presiden bersalaman.
Biden adalah pemimpin tertua menerajui Pejabat Oval, bertanding pada pemilihan semula tahun depan dengan tinjauan menunjukkan rakyat AS bimbang republik itu ditadbir presiden berusia 75 tahun ke atas.
Pesaingnya yang juga bekas Presiden, Donald Trump bakal memasuki usia 77 tahun, bulan ini.
Doktor memaklumkan Biden dalam keadaan sihat dan cergas untuk berkhidmat selepas melalui pemeriksaan fizikal, pada Februari lalu.
Beliau antara lain memaklumkan Presiden tidak akan mengambil minuman beralkohol atau produk tembakau, selain perlu bersenam ‘sekurang-kurangnya lima kali seminggu’.
Biden sebelum ini, dilaporkan terjatuh ketika menunggang basikal, berhampiran rumah pantainya di Delaware, namun tidak mengalami sebarang kecederaan, pada 19 Jun tahun lalu.
Sumber: Berita Harian