Connect with us

Terkini

Menteri akui terbabit insiden kekecohan, dakwa bongkar rasuah di KLIA

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tindakan beliau membabitkan insiden seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Menteri akui terbabit insiden kekecohan, dakwa bongkar rasuah di KLIA
Foto: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
  • Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tindakan beliau membabitkan insiden seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.
  • Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
  • King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.
  • Menurutnya, pelancong asing itu ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab dia ditahan dan masalah timbul apabila kedua-dua iaitu pihak pegawai imigresen dan pelancong terbabit mempunyai masalah komunikasi.

Kuala Lumpur: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tindakan beliau membabitkan insiden seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

“Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

“Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.

“Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi saya, maka ini penjelasannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, beliau menerima pautan berita bertajuk ‘EKSKLUSIF: Menteri buat ‘kecoh’ di KLIA tuntut pelawat China ditahan imigresen dibebaskan’.

“Apa yang lebih mengejutkan, artikel itu turut menyatakan saya memasuki ruang ketibaan tanpa memohon pas sedangkan saya memiliki pas sah untuk memasuki kawasan itu.

“Jadi mengapa perlu memperbesarkan isu ini dengan memberi persepsi yang salah?” soalnya.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduhnya melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen.

Katanya, beliau tiada kuasa untuk itu dan hanya merosakkan reputasi sendiri jika berbuat demikian.

“Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Apa guna saya sebagai Menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?

“Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan. Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka?” soalnya.

Menurutnya, pelancong asing itu ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab dia ditahan dan masalah timbul apabila kedua-dua iaitu pihak pegawai imigresen dan pelancong terbabit mempunyai masalah komunikasi.

Katanya, dimaklumkan bahawa pelancong itu sudah lengkap segala dokumentasi, namun kegagalan komunikasi kedua-dua pihak menggagalkan pihak imigresen mendapatkan dokumen diperlukan dari pihaknya.

“Inilah sebabnya saya membangkitkan isu komunikasi ini sejak bulan Mac lagi menerusi inisiatif menyediakan penterjemah bagi pelancong asing dari kawasan Timur Tengah, China dan India di pintu masuk negara bertujuan memudahkan urusan dan proses semasa ketibaan mereka supaya kecekapan pengurusan negara kita dapat dijamin serta dipuji.

“Timbul persoalan, kenapa mereka menolak penterjemah yang sudah disediakan oleh pihak Malaysia Airports Holding Berhad (MAB)?” soalnya.

Dalam lawatan ke KLIA itu, beliau turut membawa pegawai siasatan dari unit integriti di bawah Motac.

“Saya merasakan sudah tiba masanya pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke KLIA secara besar-besaran untuk menyiasat apa yang berlaku di pintu masuk utama negara ini.

“Terdapat juga isu mengenai pelancong asing yang tiba di sini dirampas telefon bimbit mereka tanpa dijelaskan kenapa mereka ditahan.

“Adakah ia mengikut prosedur dan piawaian dalam undang-undang? Saya juga mendapat maklumat bahawa adanya pegawai yang mengubah akta termaktub dalam perundangan mereka sesuka hati ketika di lapangan.

“Malah, wanita yang ditahan itu juga tidak diberikan makanan sewajarnya ketika ditahan dan ini jelas melanggar undang-undang.

“Saya difahamkan wanita berkenaan diberi makan hanya sekali sahaja dalam tempoh 15 jam sepanjang ditahan,” katanya.

Katanya, gambar tular ini juga jelas daripada pihak dalaman agensi sendiri dan beliau mempertikaikan mengapa gambar itu ditularkan dengan persepsi tidak tepat dan berita berunsur fitnah.

“Saya menekankan sekali bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti menyiasat pegawai dalaman yang menularkan dan fitnah terhadap gambar serta maklumat itu.

“Walaupun niat mereka tidak diketahui, maka berkemungkinan mereka terkejut dengan penyertaan SPRM dan bimbang bahawa ‘sumber pendapatan’ mereka akan terputus atau terancam.

“Mungkin juga mereka ingin melindungi rakan-rakannya dengan sengaja membocorkan maklumat, membuat tuduhan tanpa asas dan menyebarkan laporan palsu,” katanya.

Beliau turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara,” katanya.

Beliau juga akan membangkitkan perkara itu ke Kabinet termasuk cadangan memansuhkan ejen mengendalikan pelancong asing yang ditolak kemasukan (NTL – Not To Land) kerana dilihat semakin kronik dengan isu ketidaktelusan serta penyalahgunaan kuasa yang memburukkan imej negara di mata dunia.

“Kita sepatutnya membatalkan pihak ketiga dalam menguruskan tiket penerbangan bagi tahanan imigresen di Malaysia dipulangkan ke tanah air.

“Saya ingin mencadangkan supaya perkara ini boleh ditangani oleh syarikat penerbangan bagi mengelakkan kejadian negatif seperti ini berulang berlaku.

“Selain itu, saya menyeru dan memohon orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum disebarkan.

“Saya yakin kita dapat membersihkan segala ketirisan yang mencemarkan imej negara sekiranya kita semua berganding bahu,” katanya.

Menurutnya, beliau dan Motac akan terus bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membanteras rasuah serta penyelewengan kuasa di negara ini walau apa jua cabaran mendatang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM, semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu.

Sumber: Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *