Antarabangsa
Puak bertelagah di Sudan tolak gencatan senjata
Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan komited untuk melindungi orang awam dan menggerakkan bantuan kemanusiaan, namun tidak bersetuju terhadap cadangan gencatan senjata, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) hari ini.
- Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan komited untuk melindungi orang awam dan menggerakkan bantuan kemanusiaan, namun tidak bersetuju terhadap cadangan gencatan senjata, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) hari ini.
- Selepas seminggu rundingan dijalankan di pelabuhan Arab Saudi di Jeddah, Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) hanya menandatangani deklarasi akan berusaha ke arah perbincangan lanjut bagi gencatan senjata jangka pendek.
- “Kedua-dua pihak semakin jauh antara satu sama lain,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan namanya disiarkan.
- Menurutnya, perunding yang bekerjasama dengan pengantara Arab Saudi dan AS menetapkan matlamat untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dalam masa 10 hari.
KHARTOUM: Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan komited untuk melindungi orang awam dan menggerakkan bantuan kemanusiaan, namun tidak bersetuju terhadap cadangan gencatan senjata, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Selepas seminggu rundingan dijalankan di pelabuhan Arab Saudi di Jeddah, Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) hanya menandatangani deklarasi akan berusaha ke arah perbincangan lanjut bagi gencatan senjata jangka pendek.
“Kedua-dua pihak semakin jauh antara satu sama lain,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan namanya disiarkan.
Menurutnya, perunding yang bekerjasama dengan pengantara Arab Saudi dan AS menetapkan matlamat untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dalam masa 10 hari.
Dalam pada itu, pertempuran baharu menggegarkan Halfaya, pintu masuk ke ibu negara Khartoum semalam apabila penduduk mendengar pesawat pejuang mengelilingi Khartoum dan bandar bersebelahannya Bahri dan Omdurman.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak menunjukkan mereka bersedia untuk menamatkan konflik yang meletus secara tiba-tiba bulan lalu dan mengancam untuk mengheret Sudan ke kancah perang saudara, membunuh ratusan orang serta mencetuskan krisis kemanusiaan.
Sebelum ini, berulang kali perjanjian gencatan senjata dilanggar, menyebabkan orang awam hidup dalam keadaan huru-hara.
Ia mengakibatkan penduduk terputus bekalan elektrik, air dan bekalan makanan selain menyebabkan sistem kesihatan awam terjejas.
Pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, deklarasi yang ditandatangani hari ini bertujuan meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan dan memulakan pemulihan perkhidmatan air dan elektrik.
Katanya, pengantara bagi kedua-dua pihak bertelagah berharap mampu mengatur pengunduran anggota tentera dari hospital dan klinik serta dapat menguruskan pengebumian penduduk yang terkorban akibat peperangan itu secara terhormat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lebih 600 orang terbunuh dan lebih 5,000 orang cedera dalam pertempuran setakat ini.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 450 orang terbunuh di wilayah barat Darfur.
Untuk rekod, Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.
Disember lalu, tentera dan kuasa politik Sudan menandatangani perjanjian rangka kerja untuk menyelesaikan krisis selama berbulan-bulan, namun pertempuran bulan lalu membantutkan sebarang usaha lanjut.
Sebahagian besar penduduk sudah meninggalkan Khartoum dan Darfur, menyebabkan 700,000 menjadi pelarian di negara sendiri selain 150,000 melarikan diri ke negara jiran, mengikut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Negara Barat mengutuk kedua-dua pihak yang bertelagah di Sudan ketika perjumpaan khusus membincangkan isu terbabit di Geneva, susulan laporan mengenai kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk.
Bagaimanapun wakil dari Sudan mendakwa konflik terbabit adalah isu dalaman dan tidak perlu dicampuri negara luar.
Sumber: Berita Harian