Connect with us

Kolumnis

PERKARA 11(4): Pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam – Adakah suatu hak?

Assalamu’alaikum wbt.. selamat bertemu kembali. Sudah agak lama saya tidak menulis di laman ini kerana kelemahan saya mengurus masa. Walau apa pun moga tulisan kali ini memberikan manfaat kepada semua.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz

Published

on

PERKARA 11(4): Pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam – Adakah suatu hak?
Foto: Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Assalamu’alaikum wbt.. selamat bertemu kembali. Sudah agak lama saya tidak menulis di laman ini kerana kelemahan saya mengurus masa. Walau apa pun moga tulisan kali ini memberikan manfaat kepada semua.

Mutakhir saya dengar perbincangan tentang Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan agak rancak. Bukan niat mencurah minyak, saya cuma berhasrat untuk membawa para pembaca kepada sejarah kewujudan Perkara 11(4). Saya merujuk kepada beberapa dokumen sejarah Perlembagaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan pembaca mengetahui hasrat atau semangat yang membawa kepada zahirnya klausa (4) Perkara 11.

Saya mulakan paparan ini dengan memetik  peruntukan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan secara harfiah bagi memudahkan kita membaca dan seterusnya memahami intipatinya secara menyeluruh walaupun fokus tulisan ini adalah hanya kepada Perkara 11(4).

KEBEBASAN BERAGAMA

11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan

(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Jelasnya, Perkara 11 ini dikenali sebagai peruntukan yang menjamin kebebasan beragama dalam kerangka yang disebut di dalamnya.

Undang-Undang Mengawal atau Menyekat Pemgembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama dalam Kalangan Umat Islam.

Secara umum, Perkara 11(1) menjamin kebebasan setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agama. Setiap orang juga mempunyai kebebasan untuk mengembangkan agamanya. Namun hak untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang.

Dalam hal ini Perkara 11(4) menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam. Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang bagi tujuan tersebut.

Persoalan yang saya ingin jawab dalam tulisan ini ialah kenapa Perlembagaan membenarkan atau kenapa Perlembagaan membolehkan undang-undang dibuat bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam?

Saya tidak menemui jawapan kepada persoalan ini dalam dua dokumen pertama yang saya rujuk iaitu Laporan Suruhanjaya Perlembagaan atau Suruhanjaya Reid 1956 dan Constitutional Proposals atau Kertas Putih yang disediakan oleh Jawatankuasa Kerja 1956/1957.

Namun begitu, penyelidikan saya mendapat hasil apabila saya merujuk kepada Proposals of Their Highnesses the Rulers Made to The Constitutional Commission atau saya ringkaskan sebagai “Memorandum Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid”. Saya mendapat dokumen ini daripada Arkib Negara Malaysia semasa saya membuat kajian tentang sejarah gubalan Perlembagaan (2008 – 2013/2014). (CO889/8 XC22193). Saya juga mendapat bantuan daripada pegawai Arkib Negara Malaysia. Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada Arkib Negara Malaysia.

Semasa Suruhanjaya Reid memulakan tugas menyediakan draf cadangan Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya telah mengundang pihak-pihak untuk menyampaikan pandangan mereka berkenaan kandungan Perlembagaan yang akan dirangka. Pelbagai pihak telah menyerahkan cadangan mereka dalam bentuk Memorandum kepada Suruhanjaya. Hasilnya, seperti yang dinyatakan dalam Laporannya, Suruhanjaya telah menerima 131 memorandum. Antara Memorandum diterima ialah daripada Raja-Raja Melayu.

Memorandum Raja-Raja Melayu yang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Reid bertarikh 12 September 1956. Ia mengandungi 21 seksyen, yang mana Seksyen 19 adalah berkaitan dengan isu atau perkara yang kita sedang bincangkan ini.

Seksyen 19 Memorandum Raja-Raja Melayu ini bertajuk “The Position of the Muslim Faith”.

Kandungan Seksyen 19 adalah seperti dalam gambar di bawah.

Foto: Cadangan Raja-Raja Melayu mengenai Muslim Faith dalam Memorandum baginda kepada Suruhanjaya Reid.

Secara ringkasnya, berkaitan pengembangan doktrin atau kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam dapat difahami dari ayat yang digunakan, “….whilst Their Highnesses in principle are not opposed to religious toleration subject to considerations of public safety, they must express the view that any interference with the present constitutional established position of Muslim Faith would, at the present time, be fraught with danger to the internal security of the Federation and to the success of the campaign against subversive elements.” (Saya kekalkan dalam teks asal Bahasa Inggeris kerana saya tidak mahu ada kesilapan dalam terjemahan).

Setelah Memorandum Raja-Raja ini diserahkan, Suruhanjaya Reid memutuskan untuk menjalankan satu sesi “Hearing” bersama wakil-wakil Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Sesi ini dilakukan keraba Suruhanjaya berpendapat, adalah penting untuk mendapatkan pandangan Raja-Raja kerana baginda semua adalah pihak berkepentingan bagi kewujudan negara ini.

HEARING OF COUNSEL

Justeru itu, sesi yang dinamakan sebagai Hearing of Counsel on Behalf of Their Royal Highnesses the Rulers (saya ringkaskan sebagai “Perbicaraan”) telah berlangsung pada 14hb dan 15hb September 1956. Kesemua ahli Suruhanjaya hadir pada perbicaraan tersebut dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pula diwakili oleh dua orang peguam terpelajar, iaitu Mr Neil Lawson, QC. Beberapa orang lain juga hadir sebagai wakil kepada raja-raja. Semua seksyen dalam Memorandum Raja-Raja dibicarakan. Maksud “bicara” di sini adalah perbincangan mendalam tentang apa dinyatakan dalam Memorandum.

Sekali lagi, bagi tujuan tulisan ini, saya cuma berikan perhatian kepada perbicaraan tentang pengembangan doktrin dan kepercayaan agama dalam kalangan mereka yang menganut agama Islam.

Saya petik perbincangan yang dicatatkan secara verbatim pada halaman 91 (103) Laporan Perbicaraan. Ia merujuk kepada kenyataan Mr Lawson sebagai peguam bijaksana yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Mr Lawson: May I be permitted to refer to the existing common form provided in Part I of all the new Constitutions (of the states). It is clause V of Part I of the Constitution of the States “The Religion of the State shall be the Muslim Religion as heretofore professed and practised in the State: Provided that all other religions may be practices in peace and harmony by the persons professing them in any part of the State”. That is the present position under the State Constitutions. Their Highnesses WOULD NOT BE PREPARED, and I have to state this emphatically, to concede the right to propagate religions other than the Muslim religion within their States.

Chairman: And then there is the question that practice is hardly sufficient to cover education in religious institutions which may be carried on. I do not know whether it is intended that the word “practice” should cover all recognised forms of religious activities other than proselytising.

Mr Lawson: The position is this in practice. Supposing a teaching order, in broad sense, wants to establish an educational establishment in the States – well, no difficulty in the past has been pit for practical reasons in the way of their doing so, and they are encouraged by grants of land to come and do it but the understanding is that YOU MUST NOT TRY AND CONVERT MUSLIMS.* With all the others you can do what you like. Their Highnesses do feel that they would find it UNACCEPTABLE if it were suggested that they should depart from the principle that there should be propagation as a matter of right of other religions than the Muslim religion. THEIR HIGHNESSES DO NOT FEEL THEY WOULD BE ABLE TO ACCEPT ANY QUALIFICATION OF THE PRESENT SITUATION IN THAT RESPECT…”*

*Tulisan berhuruf besar menunjukkan penekanan kepada frasa berkaitan

RUMUSAN

Dari petikan di atas, adalah jelas difahami bahawa, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja adalah pihak yang bertegas untuk tidak menjadikan pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam sebagai sebagai suatu hak yang sama dengan hak untuk menganut dan mengamalkan agama.

Dari petikan di atas juga saya rumuskan juga bahawa ada bahaya di sebalik pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam. Antaranya ialah bahaya dari segi ketenteraman awam dan juga bahaya kepada akidah umat Islam.

Justeru itu, dapat saya ringkaskan bahawa, pada pemerhatian saya, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja adalah pencadang kepada peruntukan dalam Perkara 11(4). Hal ini adalah bersesuaian dengan kedudukan baginda semua sebagai Ketua Agama Islam. Sebagai Ketua Agama Islam, baginda menanggung amanah yang maha besar, iaitu menjaga akidah umat Islam supaya umat Islam di negara ini sentiasa terjaga dan bebas daripada dakyah kepada agama selain Islam.

Bagi menjawab persoalan di dalam tajuk tulisan ini, atas huraian dan pandangan yang saya kemukakan, pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam adalah BUKAN suatu hak yang boleh dituntut untuk sama rata atau sama kedudukan dengan hak untuk menganut dan mengamalkan agama.

PERKARA 11(4) DAN SABAH DAN SARAWAK

Bagi Sabah dan Sarawak, mereka mempunyai persyaratan semasa membentuk Malaysia bahawa Perkara 11(4) hanya boleh digunakan di Sabah dan Sarawak sekiranya undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 11(4) ini diluluskan dengan special majority pada bacaan kedua dan ketiga. Hal ini dinyatakan pada perenggan 65 Annex A, Malaysia Bill dan telah dimasukkan ke dalam Perkara 161D Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, Perkara 161D telah dimansuhkan pada tahun 1976 oleh A354, seksyen 46 dan mula berkuatkuasa pada 7.08.1976. – The Merdeka Times

Sumber: Facebook Shamrahayu Aziz

Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz adalah Pakar Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *