Terkini
Kerajaan akan tetap had masa pelarian Rohingya berada di negara ini
Kerajaan akan menetapkan suatu had bagi tempoh masa keberadaan pelarian dan pemohon suaka bagi etnik Rohingya di dalam negara.
- Kerajaan akan menetapkan suatu had bagi tempoh masa keberadaan pelarian dan pemohon suaka bagi etnik Rohingya di dalam negara.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan melalui platform pasukan petugas bersama Malaysia-Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sudah meminta untuk mempercepatkan proses penempatan pelarian ke negara ketiga atau pulang ke negara asal yang membolehkan pelarian pulang.
- “Pada masa sama, kerajaan secara prinsipnya tidak menghalang mana-mana orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta mana-mana organisasi tempatan dan antarabangsa untuk melaksanakan bantuan kebajikan kepada pelarian dengan dimaklum serta diselaraskan oleh agensi kerajaan berkaitan.
- “Malah, Program Bantuan Kemanusiaan kepada Pelarian dengan menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) sumbangan Kerajaan Qatar, membolehkan mereka mendapat rawatan di lima klinik statik yang terletak di Sungai Petani, Ampang, Kajang, Selayang dan Kota Tinggi,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menetapkan suatu had bagi tempoh masa keberadaan pelarian dan pemohon suaka bagi etnik Rohingya di dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan melalui platform pasukan petugas bersama Malaysia-Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sudah meminta untuk mempercepatkan proses penempatan pelarian ke negara ketiga atau pulang ke negara asal yang membolehkan pelarian pulang.
Justeru, katanya, pihak UNHCR dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) digesa memberikan lebih kerjasama dan mempertingkatkan komitmen serta usaha mereka dalam mempertingkatkan kadar penempatan semula golongan ini ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.
“Pada masa sama, kerajaan secara prinsipnya tidak menghalang mana-mana orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta mana-mana organisasi tempatan dan antarabangsa untuk melaksanakan bantuan kebajikan kepada pelarian dengan dimaklum serta diselaraskan oleh agensi kerajaan berkaitan.
“Malah, Program Bantuan Kemanusiaan kepada Pelarian dengan menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) sumbangan Kerajaan Qatar, membolehkan mereka mendapat rawatan di lima klinik statik yang terletak di Sungai Petani, Ampang, Kajang, Selayang dan Kota Tinggi,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN- Kepala Batas) yang ingin mengetahui dasar kerajaan terhadap pelarian Rohingya dan tempoh kependudukan pelarian yang mempunyai kad UNHCR.
Beliau berkata, dasar kerajaan ke atas pelarian yang memegang kad UNHCR adalah mereka bebas bergerak dan tidak ditahan, melainkan terbabit dengan aktiviti melanggar undang-undang negara.
Bagaimanapun, katanya, pelarian berkenaan hanya dibenarkan berada di Semenanjung saja.
“Ini kerana kad UNHCR bukanlah dokumen perjalanan yang sah dan ia bukan dokumen keluar masuk ke luar negeri.
“Akses kepada perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan juga ditanggung kerajaan sebanyak 50 peratus daripada kadar dikenakan ke atas warganegara asing dan juga akses kepada klinik di bawah dana QFFD,” katanya.
Bagaimanapun, Armizan berkata, dasar kerajaan terhadap golongan itu bukan suatu hak mutlak.
Katanya, kerajaan sudah menetapkan pendirian untuk tidak menjadi negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.
“Justeru, sebarang bantuan diberi adalah bersifat kemanusiaan dan berdasarkan kes selaras dengan perundangan, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa,” katanya.
Sumber: Berita Harian