Terkini
Kenapa masih ada pelajar praktikal tidak diberi elaun? – Syed Saddiq
Kerajaan perlu menjelaskan kenapa masih ada pelajar yang menjalani latihan industri di agensi kerajaan dan kementerian tidak mendapat sebarang bayaran.
- Kerajaan perlu menjelaskan kenapa masih ada pelajar yang menjalani latihan industri di agensi kerajaan dan kementerian tidak mendapat sebarang bayaran, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
- Beliau menuntut penjelasan itu susulan keputusan Kabinet pada 2019 yang menetapkan dan mewajibkan semua agensi dan kementerian membayar pelajar latihan industri.
- Syed Saddiq berkata beliau menyuarakan perkara itu berikutan menerima banyak mesej (aduan) daripada pelajar yang memaklumkan perkara tersebut.
- “Persoalan saya mengapa masih ada kementerian dan agensi yang mengkhianati janji anak muda ini? Saya harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.
KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu menjelaskan kenapa masih ada pelajar yang menjalani latihan industri di agensi kerajaan dan kementerian tidak mendapat sebarang bayaran.
Penjelasan itu dituntut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan keputusan Kabinet pada 2019 yang menetapkan dan mewajibkan semua agensi dan kementerian membayar pelajar latihan industri.
Katanya, masih ada agensi dan kementerian tidak membayar pelajar sedangkan mengikut keputusan Kabinet, kadar purata bayaran ditetapkan bagi setiap pelajar latihan industri adalah RM850 hingga RM900.
“Hari ini saya telah pun mendapat banyak mesej daripada anak-anak muda yang melalui latihan amali ini di bawah kementerian dan agensi kerajaan yang berduit tetapi tidak dapat bayaran satu sen pun.
“Walhal keputusan kabinet itu adalah keputusan tertinggi dan telah ubah kerajaan, tidak ada pindaan keputusan kabinet dan ada pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak KSN (Ketua Setiausaha Negara) sendiri.
“Persoalan saya mengapa masih ada kementerian dan agensi yang mengkhianati janji anak muda ini? Saya harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.
Pada 2019, Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika itu memaklumkan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan akan dinaikkan dari RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.
Peningkatan kadar elaun lebih tiga kali ganda itu dilaporkan berkuat kuasa pada September 2019. – The Merdeka Times
Sumber: Twitter @SyedSaddiq