Connect with us

Antarabangsa

Google perkenal Bard sebagai saingan kepada ChatGPT

Google semalam memperkenalkan perisian baharu dikenali sebagai Bard, sebagai saingan kepada ChatGPT yang disokong Microsoft, kepada 180 negara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Google perkenal Bard sebagai saingan kepada ChatGPT
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Google semalam memperkenalkan perisian baharu dikenali sebagai Bard, sebagai saingan kepada ChatGPT yang disokong Microsoft, kepada 180 negara.
  • Ia bermatlamat meluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentasi semua pentas enjin cariannya, yang akan merangkumi 40 bahasa secara berperingkat.
  • Kumpulan eksekutif yang hadir pada persidangan tahunan pembangun Google di Lembah Silikon berkata, AI generatif juga akan digunakan untuk memastikan enjin carian terkemuka gergasi teknologi itu bergerak lebih pantas.
  • Google mengambil langkah itu bagi mengejar pesaingnya, Microsoft, yang bergerak pantas dengan mengintegrasikan perisiannya seperti ChatGPT dalam pelbagai produk keluaran mereka termasuk enjin carian Bing.

MOUNTAIN VIEW: Google semalam memperkenalkan perisian baharu dikenali sebagai Bard, sebagai saingan kepada ChatGPT yang disokong Microsoft, kepada 180 negara.

Ia bermatlamat meluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentasi semua pentas enjin cariannya, yang akan merangkumi 40 bahasa secara berperingkat.

Kumpulan eksekutif yang hadir pada persidangan tahunan pembangun Google di Lembah Silikon berkata, AI generatif juga akan digunakan untuk memastikan enjin carian terkemuka gergasi teknologi itu bergerak lebih pantas.

“Kami sudah menggunakan AI untuk seketika, dengan AI generatif iaitu keupayaan merumuskan tindakan lanjut berdasarkan arahan awal ini, kami menuju ke langkah seterusnya.

“Kami sedang meneliti semula semua produk teras yang dikeluarkan termasuk enjin carian,” kata Ketua Eksekutif Google, Sundar Pichai, kepada ribuan pembangun Google yang hadir pada acara itu.

Google mengambil langkah itu bagi mengejar pesaingnya, Microsoft, yang bergerak pantas dengan mengintegrasikan perisiannya seperti ChatGPT dalam pelbagai produk keluaran mereka termasuk enjin carian Bing.

Penyertaan Microsoft ke dalam AI dibuat walaupun terdapat kebimbangan mengenai potensi ancaman teknologi kepada masyarakat, termasuk kesannya terhadap penyebaran maklumat yang salah dan sama ada ia boleh menggantikan keseluruhan kategori pekerjaan tertentu.

Jurutera perisian Carian Google, Cathy Edwards, berkata pengalaman baharu itu akan menyamai pengalaman carian yang dijana bot perbualan.

Eksekutif Google yang lain membentangkan cara AI generatif dimasukkan ke dalam Gmail, suntingan foto, peralatan kerja dalam talian dan sebagainya.

Pengarah produk, Jack Krawczyk, ketika taklimat itu berkata, usaha AI syarikat itu akan dijalankan dengan cara yang ‘berani dan bertanggungjawab’.

Pengembangan Google bermakna ia mengalihkan senarai menunggu untuk Bard, membenarkan pengguna di seluruh dunia menggunakannya dalam bahasa Inggeris selepas berbulan-bulan perisian itu diuji di Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Menurut Krawczyk, Bard akan diubah suai untuk menyokong 40 bahasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kami teruja untuk memastikan Bard digunakan lebih ramai orang, kami juga agak bersemangat mengenai hala tuju Bard,” katanya.

Google juga mengumumkan tambahan sistem carian yang merangkumi aplikasi dan perkhidmatan seperti Gmail dan pemetaan dengan ciri-ciri AI.

Teknologi Bard akan membolehkan pengisian teks ketika menyiapkan deraf e-mel dan mengesyorkan cadangan bagi kerja berasaskan seni dengan meneliti bekalan yang yang ada.

Google juga akan membenarkan rakan kongsinya menambah baik perkakasan termasuk daripada Adobe, yang membolehkan pengguna menghasilkan imej, kata Krawczyk.

Gergasi teknologi itu turut memperkenalkan peranti Pixel baharu termasuk telefon pintar boleh lipat, Fold, berharga AS$1,799 (RM8,000) dengan skrin yang boleh dibuka kepada saiz komputer tablet.

Naib Presiden Kanan Peranti Google, Rick Osterloh, berkata Fold memenuhi dua fungsi sekali gus iaitu sebagai telefon bimbit berkuasa tinggi dan komputer tablet berkeupayaan tinggi.

Google juga memperkenalkan komputer tablet baharu pada harga lebih rendah, yang ditawarkan di bawah jenama telefon pintarnya, Pixel. – AFP

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *