Antarabangsa
Everest saksi lebih dari sepuluh ‘nyawa terpisah dari badan’
Sekurang-kurangnya sepuluh pendaki maut ketika menjayakan misi menakluk puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest sepanjang musim bunga ini.
- Sekurang-kurangnya sepuluh pendaki maut ketika menjayakan misi menakluk puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest sepanjang musim bunga ini.
- Insiden terbaharu melibatkan seorang rakyat Malaysia yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, selepas dia terjatuh ketika melakukan pendakian pada Khamis lalu.
- Seorang lagi pendaki Malaysia, orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang berjaya menawan puncak Everest pada Khamis lalu pula dilaporkan hilang sehari selepas itu.
KATHMANDU: Sekurang-kurangnya sepuluh pendaki maut ketika menjayakan misi menakluk puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest sepanjang musim bunga ini.
Insiden terbaharu melibatkan seorang rakyat Malaysia yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, selepas dia terjatuh ketika melakukan pendakian pada Khamis lalu.
Awang askandar disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan ketika menerima rawatan kecemasan di Kem Empat.
Seorang lagi pendaki Malaysia, orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang berjaya menawan puncak Everest pada Khamis lalu pula dilaporkan hilang sehari selepas itu.
Laporan The Himalayan yang memetik Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, Awang Askandar yang tiba di puncak selatan tiba-tiba jatuh sakit dan tidak dapat meneruskan pendakian.
“Awang Askandar kemudiannya dibantu pasukan penyelamat untuk turun,” katanya.
Xuebin Chen, 52, dilaporkan meninggal dunia berhampiran puncak selatan ketika menuju ke puncak pada Khamis lalu.
Seorang pendaki wanita India yang jatuh sakit di kem induk Everest juga meninggal dunia di Lukla pada pagi Khamis lalu.
Suzanne Leopoldina Jesus dari Mumbai menghembuskan nafas terakhir ketika menjalani rawatan di hospital yang berpangkalan di Lukla pada pukul 5.13 pagi semalam.
Victor Brinza dari Moldova meinggal dunia selepas jatuh sakit di South Col pada 17 Mei.
Pendaki lain yang turut meninggal dunia adalah Phurba Sherpa, Jonathan Sugarman dari Amerika Syarikat, Dawa Tseri Sherpa, Pemba Tenzing Sherpa, Lakpa Rita Sherpa dan Jason Bernard Kennison. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia