Connect with us

Terkini

‘Bank pun tidak tuntut hutang dengan waris!’

Masyarakat tidak setuju hutang cukai tertunggak si mati perlu dibayar oleh waris malah majoriti di antara mereka tidak peka kewujudan peruntukan undang-undang berkenaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

‘Bank pun tidak tuntut hutang dengan waris!’
Foto: Gambar sekadar hiasan
  • Orang ramai berpendirian tidak wajar hutang cukai tertunggak si mati perlu dibayar oleh waris malah majoriti di antara mereka tidak peka akan wujudnya peruntukan undang-undang mengenainya.
  • Tinjauan The Merdeka Times di sekitar Kuala Lumpur mendapati rata-rata orang awam menyifatkan undang-undang itu membebankan waris tambahan lagi bagi mereka tidak berkemampuan dan sedia ada berdepan kekangan hidup.
  • “Tapi kalau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) saya rasa tak patutlah, sebab bank pun tak tuntut hutang dekat waris melainkan waris itu guarantor,” kata ahli perniagaan, Jaldeen Ali, 55, semasa ditemu bual pada Isnin.
  • “Saya fikir dia agak menjadi beban kepada ahli waris untuk menjelaskan hutang tersebut jika si mati itu tidak meninggalkan apa-apa harta kerana keadaan itu akan menyebabkan waris berhadapan satu hutang baharu yang perlu ditanggung sepanjang hidup dia yang perlu dijelaskan hutang tertunggak tersebut,” kata orang awam, Mohd Zaidi Senapi.

KUALA LUMPUR — Masyarakat tidak setuju hutang cukai tertunggak si mati perlu dibayar oleh waris malah majoriti di antara mereka tidak peka kewujudan peruntukan undang-undang berkenaan.

Tinjauan The Merdeka Times di sekitar Kuala Lumpur mendapati rata-rata orang awam yang ditemu bual menyifatkan undang-undang itu sebagai membebankan waris lebih-lebih lagi mereka yang tidak berkemampuan dan sedang berdepan kesempitan hidup.

Malah ada di antara mereka membandingkan situasi ini dengan bank di mana waris tidak perlu menanggung hutang si mati melainkan waris itu adalah penjamin.

“Cuba selesaikan (hutang) yes. Itu saya agree. Kalau kita sebagai anak pun bapa kita dah meninggal kita akan cakap kalau ada hutang sila jumpa dan selesaikan. 

“Tapi kalau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) saya rasa tak patutlah, sebab bank pun tak tuntut hutang dekat waris melainkan waris itu guarantor

“Bagi saya tidak wajar kerana waris akan terbeban hutang selepas itu, amount yang ditinggalkan si mati pun kita tidak tahu,” kata ahli perniagaan, Jaldeen Ali, 55, semasa ditemu bual pada Isnin.

Pandangan sama turut disuarakan orang awam, Mohd Zaidi Senapi, 48, yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak wajar dan membebankan ahli waris untuk membayar hutang tertunggak tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan hutang itu perlu dibayar sebagaimana dituntut namun dalam isu ini beliau melihat ia akan menyusahkan ahli waris si mati.

“Saya fikir dia agak menjadi beban kepada ahli waris untuk menjelaskan hutang tersebut jika si mati itu tidak meninggalkan apa-apa harta kerana keadaan itu akan menyebabkan waris berhadapan satu hutang baharu yang perlu ditanggung sepanjang hidup dia yang perlu dijelaskan hutang tertunggak tersebut.

“Jadi keadaan itu boleh menyebabkan orang ramai berasa bimbang dan takutlah sekiranya diburu oleh LHDN,” kata Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi yang bekerja sendiri turut mengakui tidak tahu  kewujudan peraturan sedemikian.

Beliau mengharapkan undang-undang atau peraturan itu dikaji semula sekali gus menyediakan penyelesaian lain yang tidak membebankan orang ramai.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dilapor berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan.— The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *