Connect with us

Terkini

Pertubuhan Islam Sabah bantah pembinaan patung Mazu berdekatan masjid

Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) kekal dengan pendirian membantah sebarang usaha untuk membina patung Mazu di lokasi yang berhampiran dengan Masjid Daerah Kudat di utara Sabah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pertubuhan Islam Sabah bantah pembinaan patung Mazu berdekatan masjid
Foto: Datuk Sapawi Ahmad.
  • Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) kekal dengan pendirian membantah sebarang usaha untuk membina patung Mazu di lokasi berhampiran dengan Masjid Daerah Kudat di utara Sabah.
  • Ketetapan itu konsisten dengan pendirian USIA sebelum ini yang membantah keras pembinaan Patung Mazu di tapak cadangan asalnya ketika mula-mula dikemukakan pada 2005. – Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) , Datuk Sapawi Ahmad
  • Kewujudan Patung Mazu berhampiran masjid berkenaan boleh mengganggu kekhusyukan umat Islam beribadah, selain mengambil kira sensitiviti agama dan bantahan masyarakat Islam setempat.
  • “Bukanlah niat USIA untuk menghalang usaha kerajaan negeri untuk menarik kemasukan pelancong ke Sabah termasuk ke daerah Kudat tetapi yang mesti diberi keutamaan ialah sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) kekal dengan pendirian membantah sebarang usaha untuk membina patung Mazu di lokasi yang berhampiran dengan Masjid Daerah Kudat di utara Sabah.

Yang Dipertuanya, Datuk Sapawi Ahmad, berkata ketetapan itu konsisten dengan pendirian USIA sebelum ini yang membantah keras pembinaan Patung Mazu di tapak cadangan asalnya ketika mula-mula dikemukakan pada 2005.

Katanya, kewujudan Patung Mazu berhampiran masjid berkenaan boleh mengganggu kekhusyukan umat Islam yang beribadah, selain mengambil kira sensitiviti agama dan bantahan masyarakat Islam setempat.

“Bukanlah niat USIA untuk menghalang usaha kerajaan negeri untuk menarik kemasukan pelancong ke Sabah termasuk ke daerah Kudat tetapi yang mesti diberi keutamaan ialah sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap rancangan terbaharu untuk meneruskan pembinaan patung Mazu itu di Kudat seperti disuarakan beberapa pemimpin negeri termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, beberapa hari lalu.

Mereka berkata, cadangan menghidupkan semula rancangan membina patung berkenaan adalah untuk tarikan pelancongan di kawasan utara Sabah.

Sapawi berkata, USIA tidak dapat menerima apapun alasan pihak yang mahu menghidupkan semula usaha membina patung berkenaan di tapak asal yang dicadangkan sebelum ini kerana ia menerima bantahan sejak dari awal cadangannya hampir 20 tahun lalu.

“Difahamkan kerajaan negeri pada ketika isu patung Mazu heboh dipertikaikan sebelum ini sudah menyediakan tapak yang sesuai untuk patung itu tetapi tiada usaha untuk menyahut tawaran berkenaan.

“Kini, ada pihak yang cuba mengetengahkan semula pembinaan patung Mazu dengan pelbagai alasan.

Justeru, sekali lagi USIA menyatakan pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya pembinaan patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan,” katanya.

Cadangan pembinaan patung Mazu atau dewi laut mengikut kepercayaan masyarakat Cina itu di tapak asal milik sebuah persatuan dekat bandar Kudat dikemukakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat pada 2005.

Pembinaan patung berkenaan yang berketinggian 32 meter pada mulanya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) pada awal 2006, namun kerja-kerja tapak yang sudah bermula diarah dihentikan pada Mei tahun yang sama berikutan bantahan masyarakat Islam setempat.

Berikutan pemberhentian itu dan pembatalan kebenaran daripada PBT, Kah Kiat kemudian menyaman Ketua Menteri pada masa itu, Tan Sri Musa Aman dan tiga yang lain pada Disember 2008, namun keputusan akhir Mahkamah Persekutuan pada 2010 menolak rayuan Kah Kiat berhubung keputusan kerajaan negeri mengubah kelulusan pembinaan patung berkenaan.

Pada 2011, kerajaan negeri kemudian menawarkan lokasi baharu yang lebih sesuai untuk pembinaan patung itu di Kudat namun tidak diterima.

Pada 2018, Christina yang ketika itu adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang turut memegang portfolio pelancongan di bawah kerajaan negeri WARISAN Plus kemudian mengemukakan cadangan untuk meneruskan pembinaan patung itu namun tidak kesampaian berikutan kejatuhan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada September 2020.

Christina yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah kemudian dilantik semula sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dalam rombakan Kabinet Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari lalu sebelum menyuarakan semula cadangan pembinaan patung Mazu ketika lawatan ke Kudat akhir bulan lalu.

Sumber: Berita Harian

Author