Terkini
Penempatan rizab Orang Asli di bawah ‘Sultanate Land’ lindungi khazanah, elak eksploitasi – JAKOA
Meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di Johor di bawah ‘Sultanate Land’ dilihat dapat melindungi serta memelihara khazanah negara sekali gus mengelakkan tanah berkenaan dieksploitasi oleh mana-mana pihak.
- Meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di Johor di bawah ‘Sultanate Land’ dilihat dapat melindungi serta memelihara khazanah negara sekali gus mengelakkan tanah berkenaan dieksploitasi oleh mana-mana pihak.
- Langkah itu juga dapat pastikan komuniti itu terus menikmati pembangunan bukan sahaja secara fizikal malah juga sosioekonomi lebih komprehensif. – Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor Faisal Long
- Sambil mengakui menerima pelbagai aduan mengenai penyalahgunaan tanah masyarakat Orang Asli sebelum ini, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjaga tanah rizab itu setelah diletakkan di bawah ‘Sultanate Land’.
- “Apabila dapat dijaga oleh pihak berkuasa negeri, langkah ini juga mampu memastikan tiada mana-mana pihak menceroboh dan mengeksploitasi hak-hak masyarakat Orang Asli terutamanya di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Khamis.
JOHOR BAHRU: Meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di Johor di bawah ‘Sultanate Land’ dilihat dapat melindungi serta memelihara khazanah negara sekali gus mengelakkan tanah berkenaan dieksploitasi oleh mana-mana pihak.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor Faisal Long berkata langkah itu juga dapat memastikan komuniti itu terus menikmati pembangunan bukan sahaja secara fizikal malah juga sosioekonomi yang lebih komprehensif.
Sambil mengakui telah menerima pelbagai aduan mengenai penyalahgunaan tanah masyarakat Orang Asli sebelum ini, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjaga tanah rizab itu setelah diletakkan di bawah ‘Sultanate Land’.
“Apabila dapat dijaga oleh pihak berkuasa negeri, langkah ini juga mampu memastikan tiada mana-mana pihak menceroboh dan mengeksploitasi hak-hak masyarakat Orang Asli terutamanya di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Khamis.
Faisal berkata selain aduan mengenai pencerobohan dan eksploitasi, terdapat juga individu luar dan syarikat didapati melakukan pertanian secara haram dengan membuka ladang sawit dan getah secara besar-besaran demi kepentingan peribadi.
Selain itu, terdapat juga pihak yang menggunakan Orang Asli dengan mengupah mereka untuk mengambil kayu gaharu dalam skala besar, mengorek pasir, mencari logam bernilai dan memburu haiwan dilindungi untuk tujuan komersial, kata beliau.
“Perbincangan khas bersama Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan Tok Batin telah pun dibuat pada tahun lepas, memang ada haiwan yang boleh diburu tetapi bukanlah untuk komersial, sebaliknya untuk dimakan mereka.
“Tetapi rupa-rupanya ada dalam kalangan mereka diupah untuk mencari dan memburu hidupan liar seperti haiwan eksotik untuk dijual kepada orang yang tidak bertanggungjawab, ini menjadikan mereka dieksploitasi. Semua ini perlu dihentikan segera,” katanya.
Menurut Faisal setakat ini, terdapat 18,845 Orang Asli di Johor dengan 60 kampung yang diiktiraf dan berdaftar dengan JAKOA.
Beliau berkata pihaknya pada masa sama telah menasihati komuniti berkenaan selain mengadakan pertemuan dengan kesemua Tok Batin pada Selasa lepas bagi membincangkan dan memberi penerangan mengenai peletakan penempatan dan rizab Orang Asli di Johor di bawah ‘Sultanate Land’.
“Kita harap mereka akur dengan titah Sultan Ibrahim dan memberikan kerjasama dengan apa yang akan dibuat kerajaan negeri, semuanya untuk kebaikan mereka. Hendak buat apa jua pembangunan dan mahu menanam apa-apa silakan, tidak menjadi masalah, tetapi kena mohon dahulu termasuk jika mahu perluasan tanah mereka,” katanya.
Faisal pada masa sama menasihati Orang Asli untuk membuat permohonan menerusi JAKOA atau Pejabat Tanah Galian (PTG) sekiranya mahu kawasan tanah atau rizab mereka diperluaskan.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, Sari Achu berkata dia menyokong titah Sultan Johor dan tindakan dibuat kerajaan negeri bagi melindungi tanah komuniti itu daripada diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab.
“Demi kesejahteraan masyarakat Orang Asli, saya sangat bersetuju dengan langkah tersebut. Pada masa sama, Orang Asli yang mempunyai hak ke atasnya masih boleh meneruskan kerja-kerja bercucuk tanam dan sebagainya seperti biasa,” katanya.
Pada Rabu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata kerajaan negeri menjunjung dan menyokong sepenuhnya titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di negeri ini di bawah ‘Sultanate Land’ supaya tidak ada pihak boleh berbuat sesuka hati.
Onn Hafiz dipetik berkata untuk terus melindungi dan menjaga hak Orang Asli di negeri ini, undang-undang sedia ada akan terus digunakan seperti Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966.
Pada 16 Mac lepas, dalam titah perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.
Sumber: Astro Awani