Connect with us

Antarabangsa

Masjid Al-Aqsa: Kebimbangan, kritikan masyarakat antarabangsa memuncak

Kebimbangan serta kritikan antarabangsa semakin memuncak berikutan tindakan polis rejim Zionis menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin sehingga turut mencetuskan serangan udara serta roket saling berbalas Semenanjung Gaza-Israel, semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Masjid Al-Aqsa: Kebimbangan, kritikan masyarakat antarabangsa memuncak
Foto: Polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa
  • Kebimbangan serta kritikan antarabangsa semakin memuncak berikutan tindakan polis rejim Zionis menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin sehingga turut mencetuskan serangan udara serta roket saling berbalas Semenanjung Gaza-Israel, semalam.
  • Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, terkejut melihat rakaman menunjukkan pasukan keselamatan Israel memukul jemaah di masjid itu, lebih-lebih lagi kejadian terbabit berlaku dalam bulan mulia sepatutnya tempoh aman.
  • Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby, berkata Amerika Syarikat (AS) amat bimbang dengan keganasan yang berterusan, sekali gus menggesa semua pihak supaya mengelak daripada memburukkan lagi ketegangan.
  • Semalam, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin. Seorang wartawan AFP juga melihat pasukan keselamatan rejim Zionis menyekat laluan ke masjid itu.

BAITULMAQDIS: Kebimbangan serta kritikan antarabangsa semakin memuncak berikutan tindakan polis rejim Zionis menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin sehingga turut mencetuskan serangan udara serta roket saling berbalas Semenanjung Gaza-Israel, semalam.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, begitu terkejut melihat rakaman yang menunjukkan pasukan keselamatan Israel memukul jemaah di masjid itu, lebih-lebih lagi kejadian terbabit berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya tempoh aman, kata jurucakapnya.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby, berkata Amerika Syarikat (AS) amat bimbang dengan keganasan yang berterusan, sekali gus menggesa semua pihak supaya mengelak daripada memburukkan lagi ketegangan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang negaranya menjalin semula hubungan diplomatik dengan Israel, menegaskan: “Menginjak Masjid Al-Aqsa adalah ‘garisan merah’ kami.”

Semalam, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin. Seorang wartawan AFP juga melihat pasukan keselamatan rejim Zionis menyekat laluan ke masjid itu.

Jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas, berkata Israel ‘mewujudkan keadaan yang semakin meruncing, tidak stabil dan tegang’, selain memaklumkan polis rejim Zionis sekali lagi menyerbu masjid terbabit serta menyerang jemaah pada malam tadi.

Saksi warga Palestin, Abdel Karim Ikraiem, 74, berkata polis Israel yang dilengkapi cota, peledak gas pemedih mata dan bom asap menyerbu Masjid Al-Aqsa menggunakan kekerasan serta ‘memukul lelaki dan perempuan’ yang sedang beribadah, awal pagi semalam.

Rakaman video yang tersebar luas menerusi media sosial memaparkan pasukan rejim Zionis memukul jemaah di atas lantai dalam masjid itu.

Palang Merah Palestin memaklumkan bahawa pihaknya merawat 37 orang, termasuk mereka yang dilepaskan daripada tahanan kemudian.

Kumpulan Hamas yang memerintah Gaza, menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat supaya ‘pergi beramai-ramai untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa.’

Menteri Hal Ehwal Awam Palestin, Hussein al-Sheikh, mengutuk tindakan polis Israel itu serta menegaskan ‘tahap kekejaman itu memerlukan tindakan masyarakat Palestin, Arab dan antarabangsa dengan segera.”

Liga Arab turut mengecam kejadian itu sebagai ‘serangan ke atas orang beriman’ serta mengadakan mesyuarat tergempar, manakala Jordan membidas serbuan berkenaan dan mendesak pasukan keselamatan Israel untuk meninggalkan kawasan masjid dengan serta-merta.

Qatar yang tidak mengiktiraf Israel pula memberi amaran bahawa tindakan rejim Israel ‘akan memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu, serta menjejaskan usaha memulihkan proses damai yang tergendala, jika masyarakat antarabangsa tidak bertindak dengan segera.’

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi yang menjalin hubungan dengan Israel pada 2020 hasil langkah perantaraan AS, juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis rejim Zionis itu, manakala Jerman menggesa kedua-dua pihak agar ‘melakukan segala yang terdaya untuk meredakan keadaan.’

Sebaliknya, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir pula menyuarakan sokongan penuh kepada polis rejim Zionis dan tindakan mereka yang disifatkannya sebagai ‘pantas serta nekad’ itu.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *