Terkini
Malaysia terdedah ancaman gempa bumi – NRECC
Malaysia juga mempunyai kebarangkalian berlaku gempa bumi, demikian menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan hari ini.
- Menerusi laman web rasmi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memaklumkan ini berdasarkan bukti empirikal yang mana kesan gempa bumi di sini berpunca daripada gempa bumi berjarak jauh dan tempatan.
- Kesan gegaran gempa bumi jarak jauh di Semenanjung Malaysia berpunca dari jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia, manakala di Sabah dan Sarawak berpunca jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia yang merupakan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik, katanya.
- NRECC melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada tahun 2019.
- Ia mencirikan zon-zon bahaya bencana seismik berdasarkan ‘Peak Ground Acceleration’ (PGA), yang dijadikan rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan tahan gegaran gempa bumi.
KUALA LUMPUR — Malaysia juga mempunyai kebarangkalian berlaku gempa bumi, demikian menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi laman web rasmi kementerian itu memaklumkan ini berdasarkan kepada bukti empirikal yang mana kesan gempa bumi di sini adalah berpunca daripada gempa bumi berjarak jauh dan tempatan.
Kesan gegaran gempa bumi jarak jauh di Semenanjung Malaysia adalah berpunca dari jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia, manakala di Sabah dan Sarawak berpunca daripada jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia yang merupakan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik, katanya.
Menurut NRECC, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung.
“Magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
NRECC juga memaklumkan Malaysia pernah mengalami gegaran gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada tahun 1923, 1958, 1976 dan 2015.
Rekod gegaran paling kuat di Sarawak adalah dengan kekuatan 5.3 skala Richter pada tahun 1994 manakala di Semenanjung Malaysia juga pernah mengalami beberapa kejadian gempa bumi dengan pusat gempa di Bukit Tinggi Pahang, Empangan Kenyir Terengganu, Kuala Pilah Negeri Sembilan dan Manjung serta Temenggor di Perak dengan julat kekuatan 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada tahun 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.
“Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan,” katanya.
Justeru, sebagai langkah mitigasi jangka panjang, NRECC melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada tahun 2019.
Ia mencirikan zon-zon bahaya bencana seismik berdasarkan ‘Peak Ground Acceleration’ (PGA), yang dijadikan rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan tahan gegaran gempa bumi.
Nilai-nilai PGA dalam peta bahaya seismik dimasukkan dalam Malaysian Standard MS EN 1998-1:2015 (National Annex:2017): Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance – Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings.
“Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi.
“Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia,” katanya. — The Merdeka Times
Sumber: Laman Web Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim