Terkini
KWSP: Saranan PM tidak betul tentang cagaran, merugikan pencarum
Keputusan kerajaan membenarkan pencarum-pencarum berkelayakan untuk mengeluarkan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui cagaran bank bermula 7 April lalu dilihat sebagai pilihan yang merugikan.
- Keputusan pengeluaran Akaun 2 KWSP melalui cagaran bank bermula 7 April lalu dilihat sebagai pilihan yang merugikan.
- Malah saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cagaran itu juga disifatkan tidak betul.
- “Kita memahami kekangan yang ada.. cuma apa yang kerajaan jelaskan.. tempoh hari dalam parlimen tidak memuaskan para pencarum mengeluarkan KWSP”. – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
- Kaedah moratorium dicadangkan bagi menggantikan cagaran Akaun 2 KWSP.
- “Rakyat sekarang ini susah sebab hutang. Jadi mereka nak duit lebih, cash dalam tangan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan membenarkan pencarum-pencarum berkelayakan untuk mengeluarkan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui cagaran bank bermula 7 April lalu dilihat sebagai pilihan yang merugikan.
Malah saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cagaran itu juga disifatkan tidak betul oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Ahmad Fayhsal berkata keputusan kerajaan hari ini tidak memberikan penyelesaian dan jalan keluar kepada rakyat yang susah.
“Saranan yang dibuat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Menteri Kewangan itu tidak betul tentang cagaran itu. Malah merugikan pencarum.
“Saya rasa perkara ini perlu diperbahaskan lagi dengan lebih panjang. Kita memahami kekangan yang ada dalam soal pengeluaran bersasar ini.
“Cuma apa yang kerajaan jelaskan dalam Dewan Rakyat kepada saya tempoh hari dalam Parlimen tidak memuaskan para pencarum mengeluarkan KWSP,” katanya kepada The Merdeka Times di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat.
Beliau turut mempersoalkan bantuan kerajaan itu sebagai tidak mencapai apa yang diharapkan untuk meringankan beban hutang rakyat yang terdesak.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan kaedah moratorium bagi menggantikan cagaran Akaun 2 KWSP.
“Kenapa kerajaan tidak boleh mendesak bank-bank yang mendapat keuntungan begitu tinggi tahun lalu untuk take a hair cut potongan kepada hutang-hutang yang ditanggung oleh rakyat kita seperti pencarum KWSP ini.
“Kalau rakyat boleh terima saya rasa rakyat tidak akan marah. But you must give a proper solution yang rakyat nak.
“Rakyat sekarang ini susah sebab hutang. Jadi mereka nak duit lebih, cash dalam tangan,” katanya.
Beliau berkata rakyat mahukan pengeluaran KWSP untuk membayar hutang sekiranya kerajaan boleh mengarahkan bank-bank untuk memberi moratorium.
Selain itu, diskaun terhadap hutang-hutang dalam kalangan pencarum KWSP yang benar susah.
“Rumah nak kena lelong, kehilangan pekerjaan. Sakit ke kita tidak tahu. Jadi itu yang kita harap kerajaan patut berikan jawapan balas tetapi tidak ada. Ini yang rakyat marah,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini berkata, kerajaan Anwar terbukti menolak desakan rakyat agar membenarkan pengeluaran wang dari KWSP secara bersasar.
Ini selepas ketua Pakatan Harapan (PH) itu memberi syarat pengeluaran Akaun 2 KWSP sebagai cagaran kepada bank yang dikatakan berbeza ketika kerajaan di bawah pimpinan parti Perikatan Nasional (PN).
Wan Ahmad Fayhsal turut mendesak kerajaan mengkaji semula keputusannya demi memastikan rakyat, terutama golongan B40 dapat mengeluarkan simpanan mereka secara bersasar. – The Merdeka Times.