Connect with us

Terkini

Ketagihan vape dalam kalangan pelajar tahfiz dan pondok amat membimbangkan – Mudir

“Kekecewaan 30 tahun lalu berulang kembali beberapa hari lalu apabila menziarahi sebuah sekolah menempatkan lepasan tahfiz dan pondok bagi menyiapkan mereka mengambil SPM fast track. Dalam sebuah bilik asrama yang memuatkan 20 orang pelajar, 19 orang adalah penghisap vape!”

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

ketagihan-vape-dalam-kalangan-pelajar-tahfiz-dan-pondok-amat-membimbangkan-mudir
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kekecewaan 30 tahun lalu berulang kembali beberapa hari lalu apabila menziarahi sebuah sekolah menempatkan lepasan tahfiz dan pondok bagi menyiapkan mereka mengambil SPM fast track. Dalam sebuah bilik asrama yang memuatkan 20 orang pelajar, 19 orang adalah penghisap vape!”
  • Demikian kata Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais yang menyifatkan nisbah itu cukup menakutkan kerana sepatutnya pelajar penghafaz al-Quran menjaga akal mereka demi memelihara hafazan mereka. 
  • “Apa lagi yang mampu kita harapkan daripada generasi penagih ini untuk menjaga al-Quran dan agama Islam jika diri mereka pun tidak mampu dijaga”.
  • Pihak terbabit boleh bekerjasama dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bagi menangani pelajar-pelajar yang ketagihan melalui rawatan dan kaunseling bersesuaian atau  Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengadakan saringan air kencing bagi mengesan penagih dalam kalangan pelajar mahupun guru.

KUALA LUMPUR — “Kekecewaan 30 tahun lalu berulang kembali beberapa hari lalu apabila menziarahi sebuah sekolah menempatkan lepasan tahfiz dan pondok bagi menyiapkan mereka mengambil SPM fast track. Dalam sebuah bilik asrama yang memuatkan 20 orang pelajar, 19 orang adalah penghisap vape!”

Demikian luahan Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais dengan menyifatkan nisbah itu cukup menakutkan kerana sepatutnya pelajar penghafaz al-Quran menjaga akal mereka demi memelihara hafazan mereka. 

Katanya, mungkin ada beranggapan ia hanyalah vape, namun hakikatnya produk itu bukan hanya wap air dan asap tapi juga melibatkan dadah mengkhayalkan selain kesan berpanjangan kepada kesihatan penagih.

“Apa lagi yang mampu kita harapkan daripada generasi penagih ini untuk menjaga al-Quran dan agama Islam jika diri mereka pun tidak mampu dijaga.

Berapa ramai pelajar-pelajar tahfiz dan pondok telah menjadi penagih vape? Soalan yang sukar dijawab kerana belum ada kajian terperinci tentang perkara ini. 

“Namun secara umumnya, siapa yang terlibat dengan tahfiz dan pondok akan terpaksa mengakui masalah besar ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata tahun lalu seorang pelajar lepasan pondok dibuang sekolah kerana didapati membeli vape, bagaimanapun pelajar itu tidak sempat menggunakannya di asrama. 

Katanya, seorang guru tahfiz lepasan ma’had tahfiz yang menghisap vape di hadapan pelajar juga pernah dibuang beliau sebaik aduan perlakuan pelajar dan guru itu disampaikan kepadanya serta dibuktikan sahih.

Rohidzir Rais mengharapkan persatuan tahfiz dan pondok mengambil cakna akan perkara itu serta mengemukakan penyelesaian.

Beliau juga menggesa undang-undang diperketatkan dan pihak terkait tidak takut menghukum pelajar yang bermasalah hatta jika perlu membuang beberapa ‘barah’ demi selamatkan pelajar lain.

Katanya, pihak terbabit juga boleh bekerjasama dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bagi menangani pelajar-pelajar yang ketagihan melalui rawatan dan kaunseling bersesuaian atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengadakan saringan air kencing bagi mengesan penagih dalam kalangan pelajar mahupun guru.

“Hasilnya pasti mengejutkan tetapi ia tetap perlu dilakukan jika kita serius mahu menyelamatkan mereka. Harapnya tidak ada mudir yang tersangkut dengan ujian ini!

“Lebih dahsyat, mereka menghisap vape pada siang bulan ramadan kerana beranggapan menghisap wap sahaja tidak membatalkan puasa.

Kepada pengurusan sekolah dan tahfiz, teguran saya ini mungkin menimbulkan kemarahan kerana mendedahkan pekung di dada tetapi jika isu ini tidak dicermati, kita melahirkan lepasan agama Islam yang lemah, lembik dan tidak akan mampu berdaya saing dalam masyarakat,” katanya yang juga merupakan seorang penulis.

Rohidzir Rais juga mengingatkan ibu bapa bahawa pendedahan dibuat beliau adalah supaya mereka bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku sekiranya memilih menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz.

Sedarlah sekolah seperti ini tidak maksum dan menghafaz al-Quran semata-mata tidak menjadikan mereka kebal daripada pengaruh jahat seperti vape dan rokok, katanya yang kali ini menggunakan nama mudir anti vape dalam hantaran itu.

“Sebagaimana banyak pihak berusaha memberikan peluang mengambil SPM agar lepasan tahfiz dan pondok mempunyai masa hadapan dalam kejaya, demikian juga mereka perlu diselamatkan daripada pengaruh ketagihan vape dan rokok ini. 

“Kita sama sekali tidak bersedia berhadapan dengan gelombang asatizah dan pendakwah yang juga penagih vape!

“Masa hadapan agama Islam di Malaysia juga menjadi kelabu dengan asap vape ini,” kata Rohidzir Rais. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook Rohidzir Rais

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *