Terkini
Sarawak tolak penceramah tiada tauliah
Penceramah bebas yang tidak mempunyai latar belakang lengkap dalam bidang agama tidak dibenarkan untuk mengadakan ceramah agama di masjid dan surau di Sarawak.

- Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata ia termasuk mereka yang tidak diberi tauliah oleh JAKIM serta beberapa negeri lain di Semenanjung antaranya penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.
- Dr Abdul Rahman bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak, berkata langkah itu diambil bagi mengekang pelampau agama menyebarkan fahaman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
- “Sebelum ini pun ada beberapa orang penceramah yang tidak beri tauliah untuk berceramah di Sarawak kerana mereka tidak ada latar belakang yang lengkap dalam bidang agama dan pada yang sama ada juga beberapa orang yang tidak mendapat tauliah di Semenanjung, maka kita pun mengambil tindakan yang sama.”
- “JAIS memberi penekanan hanya kepada penceramah agama yang ada latar belakang lengkap untuk menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal Islam kepada masyarakat Islam di seluruh Sarawak,” katanya.
KUCHING : Penceramah bebas yang tidak mempunyai latar belakang lengkap dalam bidang agama tidak dibenarkan untuk mengadakan ceramah agama di masjid dan surau di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata ia termasuk mereka yang tidak diberi tauliah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta beberapa negeri lain di Semenanjung antaranya penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.
Dr Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak, berkata langkah itu diambil bagi mengekang pelampau agama menyebarkan fahaman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Sebelum ini pun ada beberapa orang penceramah yang tidak beri tauliah untuk berceramah di Sarawak kerana mereka tidak ada latar belakang yang lengkap dalam bidang agama dan pada yang sama ada juga beberapa orang yang tidak mendapat tauliah di Semenanjung, maka kita pun mengambil tindakan yang sama.
“Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) memberi penekanan hanya kepada penceramah agama yang ada latar belakang lengkap untuk menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal Islam kepada masyarakat Islam di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada masjid, surau dan tanah perkuburan di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Sejumlah RM1.56 juta diagihkan oleh Majlis Islam Sarawak kepada 1,562 masjid dan surau yang mempunyai jawatankuasa yang dilantik manakala 18 tanah perkuburan pula menerima sebanyak RM18,000.
Dr Abdul Rahman berkata, jika ada penceramah bebas khususnya dari Semenanjung yang berhasrat untuk menyampaikan ceramah, merekaharus menghubungi pihak JAIS secara peribadi.
“Ini bagi membolehkan pihak JAIS membuat penelitian kerana hanya mereka yang diberi tauliah yang dikeluar oleh Pengarah JAIS sahaja yang boleh menyampaikan ceremah,” katanya.
Sumber: Berita Harian
