Connect with us

Terkini

Cubaan bunuh diri isu kesihatan awam, bukan kesalahan jenayah – Ramkarpal Singh

Kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan beberapa rang undang-undang (RUU) dalam usaha menyahjenayah kesalahan percubaan membunuh diri.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Cubaan bunuh diri isu kesihatan awam, bukan kesalahan jenayah - Ramkarpal Singh
Foto: Ramkarpal Singh.
  • Kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan beberapa rang undang-undang (RUU) dalam usaha menyahjenayah kesalahan percubaan bunuh diri.
  • Perkara ini susulan kajian dijalankan Jabatan Peguam Negara berkaitan kesalahan percubaan membunuh diri mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan cadangan pemansuhannya. – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh
  • Beliau berkata, kajian itu sudah meneliti pendekatan yang diambil di beberapa negara bagi menilai justifikasi dan implikasi pelaksanaannya dari segi perundangan, katanya pada sesi soal jawab, hari ini  menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai perkembangan pengumuman kerajaan untuk meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayah percubaan membunuh diri bagi menangani isu peningkatan cubaan bunuh diri.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan beberapa rang undang-undang (RUU) dalam usaha menyahjenayah kesalahan percubaan membunuh diri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata perkara ini susulan kajian dijalankan Jabatan Peguam Negara berkaitan kesalahan percubaan membunuh diri mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan cadangan pemansuhannya.

Beliau berkata, kajian itu sudah meneliti pendekatan yang diambil di beberapa negara bagi menilai justifikasi dan implikasi pelaksanaannya dari segi perundangan.

“Sejak Disember 2022, saya mempengerusikan 10 sesi libat urus dan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Singapura bagi meneliti serta menyelesaikan semua perkara perundangan berbangkit dalam usaha ini.

“Sebagai langkah seterusnya, satu Memorandum Jemaah Menteri berkenaan usaha ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk kelulusan dan semua RUU berkenaan akan dibentang di Parlimen untuk perbahasan serta kelulusan,” katanya pada sesi soal jawab, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai perkembangan pengumuman kerajaan untuk meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayah percubaan membunuh diri bagi menangani isu peningkatan cubaan bunuh diri.

Ramkarpal berkata, pihaknya menjangka RUU itu akan dibentang dalam persidangan kali ini.

Beliau berkata, isu cubaan membunuh diri ini perlu dikendalikan sebagai isu kesihatan awam dan bukannya sebagai satu kesalahan jenayah memandangkan kajian menunjukkan individu mengalami kemurungan mempunyai risiko 20 kali ganda tingkah laku bunuh diri dan mengalami kematian akibat bunuh diri.

“Pendekatan ini juga selaras dengan kedudukan antarabangsa iaitu menurut Pengelasan Penyakit Antarabangsa (ICD) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), percubaan bunuh diri diklasifikasikan sebagai satu penyakit dan dikodkan sebagai ICD 11 – MB23.R.

“Percubaan bunuh diri iaitu seperti keterangannya adalah satu episod tingkah laku mencederakan diri yang dilakukan dengan niat yang penuh kesedaran untuk mengakhiri nyawa individu itu sendiri,” katanya.

Ramkarpal berkata, individu yang cuba membunuh diri perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan penilaian lanjut dan diberi rawatan sewajarnya dan tidak seharusnya disabit dengan jenayah kerana mereka berada dalam keadaan mental tidak stabil. 

Author