Connect with us

Antarabangsa

Taliban haramkan pil perancang, labelkannya konspirasi Barat

Pejuang Taliban mengharamkan penjualan pil perancang kehamilan di dua bandar utama dengan mendakwa pil itu adalah konspirasi barat untuk mengawal populasi Muslim.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Taliban haramkan pil perancang, labelkannya konspirasi Barat
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Taliban mengharamkan penjualan pil perancang kehamilan di dua bandar utama dengan mendakwa pil itu adalah konspirasi barat untuk mengawal populasi Muslim.
  • The Guardian dalam lapotannya mengatakan pejuang Taliban pergi dari pintu ke pintu, mengancam bidan dan mengarah semua farmasi untuk tidak menjual apa-apa ubatan atau peranti kontraseptif.
  • “Produk seperti pil perancang kehamilan dan suntikan Depo-Provera tidak dibenarkan untuk dijual di farmasi sejak awal bulan ini, dan kami takut untuk jual stok yang masih ada”. – pemilik kedai.
  • Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan dakwaan larangan pil perancang itu dan wakil Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) juga tidak memberi sebarang komen.

AFGHANISTAN – Pejuang Taliban mengharamkan penjualan pil perancang kehamilan di dua bandar utama dengan mendakwa pil itu adalah konspirasi barat untuk mengawal populasi Muslim.

Dua bandar terbabit adalah di Kabul dan Mazar-i-Sharif.

The Guardian melaporkan pihaknya mendapat maklumat yang pejuang Taliban bertindak dari pintu ke pintu, mengancam bidan dan mengarahkan semua farmasi untuk tidak menjual apa-apa ubatan atau peranti kontraseptif.

“Mereka datang ke kedai saya sebanyak dua kali dengan membawa pistol dan mengancam saya untuk tidak menjual pil perancang kehamilan. Mereka memeriksa setiap farmasi di Kabul dan kami telah hentikan penjualan produk itu,” kata seorang pengusaha kedai di bandar itu.

Seorang bidan veteran berkata dia telah diancam beberapa kali. 

Seorang komander Taliban memberitahunya, “Kamu tidak dibenarkan untuk keluar dan mempromosikan konsep barat yang mengawal populasi dan ini adalah kerja yang tidak penting”.

Ahli farmasi di Kabul dan Mazar-i-Sharif mendakwa mereka diarahkan untuk tidak menyimpan sebarang ubat kawalan kelahiran. 

“Produk seperti pil perancang kehamilan dan suntikan Depo-Provera tidak dibenarkan untuk dijual di farmasi sejak awal bulan ini, dan kami takut untuk jual stok yang masih ada,” kata seorang lagi pemilik kedai.

Sejak berkuasa Ogos 2021, Taliban yang memegang tampuk pimpinan Afghanistan menyekat pendidikan untuk wanita, menutup universiti kepada wanita muda, memaksa wanita berhenti kerja dan mengehadkan kebolehan mereka meninggalkan rumah.

Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan dakwaan larangan pil perancang itu dan wakil Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) juga tidak memberi sebarang komen.

Peronda Taliban di Kabul memberitahu sumber yang, “penggunaan kontraseptif dan perancang keluarga adalah satu agenda barat”. 

Seorang aktivis sosial kelahiran Afghanistan di United Kingdom, Shabnam Nasimi, berkata, “Taliban yang bukan hanya mengawal hak wanita untuk bekerja dan belajar, malah kini juga terhadap tubuh mereka, adalah keterlaluan”.

Sebelum Taliban berkuasa, satu laporan Human Rights Watch pada 2021 menyatakan maklumat paling asas tentang kehamilan dan perancangan keluarga tidak tersedia untuk kebanyakan wanita di negara itu.

“Akses kepada kontraseptif dan hak untuk merancang keluarga bukan sahaja soal hak asasi manusia, malah ia penting untuk pemerkasaan wanita dan mengeluarkan negara daripada kemiskinan,” kata Nasimi.

Pegawai Taliban di Kandahar, Ustad Faridoon memberitahu The Guardian beliau tidak menyokong larangan penjualan sepenuhnya. 

Sumber: The Guardian

Author