Antarabangsa
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine dakwa Russia culik kanak-kanak untuk khidmat seks
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets semalam, mendakwa Russia menculik dan menjual kanak-kanak negara itu bagi khidmat seks.
- Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets semalam, mendakwa Russia menculik dan menjual kanak-kanak negara itu bagi khidmat seks.
- Bercakap menerusi aplikasi Telegram, beliau berkata, saluran aplikasi itu mendedahkan rakyat Russia menculik kanak-kanak Ukraine dan menghasilkan video seksual.
- Beliau turut menyiarkan petikan perbualan di aplikasi WhatsApp membabitkan dua pihak didakwa berbincang untuk menggunakan seorang budak lelaki bagi pornografi kanak-kanak.
- “Mereka menawarkan 250,000 rubel (RM15,089) bagi seorang kanak-kanak lelaki yatim piatu warga Ukraine yang akan mula bersekolah tidak lama lagi.
- Dmytro bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana beliau memperoleh petikan perbualan itu, namun menggesa polis, polis siber dan pendakwa raya Ukraine mengambil ‘langkah sesuai untuk mencari dan menghukum pihak berkaitan’.
KYIV: Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets semalam, mendakwa Russia menculik dan menjual kanak-kanak negara itu bagi khidmat seks.
Bercakap menerusi aplikasi Telegram, beliau berkata, saluran aplikasi itu mendedahkan rakyat Russia menculik kanak-kanak Ukraine dan menghasilkan video seksual.
Beliau turut menyiarkan petikan perbualan di aplikasi WhatsApp membabitkan dua pihak didakwa berbincang untuk menggunakan seorang budak lelaki bagi penggambaran pornografi kanak-kanak.
“Mereka menawarkan 250,000 rubel (RM15,089) bagi seorang kanak-kanak lelaki yatim piatu warga Ukraine yang akan mula bersekolah tidak lama lagi.
“Satu pihak dalam perbincangan itu menjelaskan: ‘kanak-kanak ini tidak memiliki saudara dan dibawa dari rumah anak yatim di Ukraine, tidak mempunyai saudara mara. Mereka meminta satu siri video dengannya’.
“Pihak terbabit turut menyatakan: ‘Ini bukan kali pertama kami membawa masuk kanak-kanak bagi tujuan berkenaan’,” katanya.
Dmytro bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana beliau memperoleh petikan perbualan itu, namun menggesa polis, polis siber dan pendakwa raya Ukraine mengambil ‘langkah sesuai untuk mencari dan menghukum pihak berkaitan’.
“Russia secara licik menculik, membunuh, menghantar pulang dan merogol kanak-kanak kita. Bagaimana ini boleh berlaku? Tentera Russia didakwa menculik ribuan kanak-kanak, termasuk anak yatim dan membawa mereka ke wilayah dikuasai Moscow,” katanya.
Wanita Pertama Ukraine, Olena Zelenska, pada November lalu, menuntut ‘tindak balas global’ terhadap penggunaan keganasan seksual sebagai senjata perang.
Beliau berkata, pihak pendakwa Kyiv sedang menyiasat lebih 100 kemungkinan jenayah oleh tentera Russia.
Pada September lalu, penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Russia melakukan jenayah perang ‘berskala besar’ di Ukraine, termasuk penyeksaan dan keganasan seksual. – AFP
Sumber: Berita Harian