Terkini
Penerbit filem Sa Balik Baju disiasat SPRM terkait dana FINAS
Syarikat penerbitan filem Sa Balik Baju (2021) kini dalam siasatan SPRM, sementara khidmat penerbit filem yang juga ketika itu Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Lina Tan telah ditamatkan perkhidmatan pada 22 Mei 2022.
- Syarikat penerbitan filem Sa Balik Baju (2021) kini dalam siasatan SPRM, sementara khidmat penerbit filem itu yang juga ketika itu Lembaga Pengarah FINAS, Lina Tan ditamatkan perkhidmatan pada 22 Mei 2022.
- Menurut bebenang ciapan pemilik akaun @FilemKita, pada September 2022, FINAS memohon SPRM menyegerakan siasatan melibat kes tersebut.
- Penerbit dapat surat tawaran dana RM200 ribu dari FINAS pada Julai 2020 didakwa menjual filem itu kepada Netflix pada Ogos 2021 dengan bayaran RM400 ribu (kontrak 10 tahun) tanpa pengetahuan agensi kerajaan terbabit.
- “FINAS cadangkan adegan/dialog dengan “unsur lucah dan keterlaluan” dibuang supaya dapat lulus LPF tapi penerbit tidak buat.”
- “Pada 16 Sep 2021, penerbit buat tayangan perdana amal filem ini melalui internet (Vimeo) dengan kutipan (RM20 pelajar / RM50 bukan pelajar) disalurkan kepada Sisters In Islam.” – @FilemKita
KUALA LUMPUR – Syarikat penerbitan filem Sa Balik Baju (2021) kini dalam siasatan SPRM, sementara khidmat penerbit filem yang juga ketika itu Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Lina Tan telah ditamatkan perkhidmatan pada 22 Mei 2022.
Menurut bebenang ciapan pemilik akaun @FilemKita, pada September 2022, FINAS turut memohon SPRM menyegerakan siasatan melibat kes tersebut.
@FilemKita mendedahkan kes Sa Balik Baju yang diterbitkan Red Communications (milik Lina Tan) terdahulunya merupakan “supertele” di mana mengikut perjanjian ia akan ditayangkan di Astro First namun kini berstatus “filem Netflix”.
Ini berikutan, penerbit yang telah mendapat surat tawaran dana RM200 ribu dari FINAS pada Julai 2020 didakwa menjual filem itu kepada Netflix pada Ogos 2021 dengan bayaran RM400 ribu (kontrak 10 tahun) tanpa pengetahuan agensi kerajaan terbabit.
@FilemKita berkata, penerbit dapat bayaran pertama RM20 ribu dari FINAS pada Oktober 2020 dan RM40 ribu semasa penggambaran bermula Januari 2021.
Katanya, selepas filem itu siap disunting pada Mac 2021, penerbit sekali lagi mendapat RM80 ribu dari FINAS bagaimanapun ketika filem terbabit dihantar ke Lembaga Penapis Filem (LPF) ia tersangkut ekoran terdapat beberapa adegan/dialog kontroversi.
“FINAS cadangkan adegan/dialog dengan “unsur lucah dan keterlaluan” dibuang supaya dapat lulus LPF tapi penerbit tidak buat.
“Tanpa pengetahuan FINAS, penerbit jual filem ini kepada Netflix pada Ogos 2021 dengan bayaran RM400 ribu (kontrak 10 tahun).
“Pada 16 Sep 2021, penerbit membuat tayangan perdana amal filem ini melalui internet (Vimeo) dengan kutipan (RM20 pelajar / RM50 bukan pelajar) disalurkan kepada Sisters In Islam.
“Netflix menayangkan filem ini ke seluruh dunia mulai 21 Okt 2021,” ciap @FilemKita pada Isnin lalu yang memaklumkan bahawa dia baru selesai membaca Laporan Ketua Audit Negara tentang masalah Dana Kandungan Digital.
@FilemKita memberitahu juga, pada 15 Oktober 2021, FINAS yang tidak mengetahui filem yang dia dana itu telah menjadi hak Netflix, masih meneruskan semakan sama ada filem itu mendapat kelulusan LPF untuk pemberian dana akhir serta ditayangkan di Astro First.
Semakan itu mendapati filem itu belum mendapat kelulusan LPF, namun @FilemKita berkata tidak tahu bagaimana pada 9 November 2021 penerbit filem tersebut tetap berjaya mendapat dana akhir dari FINAS sebanyak RM60 ribu.
Pendedahan di bebenang itu berakhir dengan penerbit filem berkenaan yang dilantik jadi Lembaga Pengarah FINAS pada Mei 2020 berhadapan siasatan SPRM.
“Mengikut subseksyen 14(1) Akta FINAS 1981 [Akta 244], seseorang yang dilantik sebagai ahli Perbadanan, ahli jawatankuasa atau yang mempunyai hubungan dengan FINAS tidak boleh mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam mana-mana orang, badan, pertubuhan atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem serta mempunyai kontrak dengan FINAS.
“Subseksyen 14(4) pula menyatakan sekiranya ahli Perbadanan memperoleh mana-mana kepentingan itu, ia adalah terhenti daripada menjadi ahli Perbadanan atau jawatankuasa Perbadanan dan pelantikannya hendaklah terbatal serta-merta.
“Subseksyen 14(5) juga menyatakan “kepentingan secara tidak langsung” adalah termasuk mempunyai atau memperoleh apa-apa kepentingan sebagaimana yang tersebut dalam seksyen ini oleh suami isteri atau anak atau anak angkat (di bawah umur 21 tahun) seseorang atau seorang ahli, pegawai atau perkhidmat Perbadanan atau seorang ahli jawatankuasa Perbadanan, mengikut mana yang berkenaan,” kata laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021, Pembayaran Geran Dana Kandungan Digital. – The Merdeka Times
Sumber : Twitter