Antarabangsa
Parlimen Kanada setuju terima 10,000 pelarian Uyghur
Parlimen Kanada sebulat suara meluluskan usul untuk menerima 10,000 etnik Uyghur yang melarikan diri daripada China, namun kini dipaksa untuk kembali ke negara itu.
- Parlimen Kanada sebulat suara meluluskan usul untuk menerima 10,000 etnik Uyghur yang melarikan diri daripada China.
- Undian dibuat berdasarkan ‘February 2021 Move’ oleh kerajaan Kanada yang melabelkan layanan Beijing terhadap etnik Uyghur dan Muslim Turki di wilayah Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
- Sekurang-kurangnya 1,600 individu ditahan di negara lain dan dipaksa pulang atas arahan China – Ahli Parlimen Kanada, Sameer Zuberi.
- “Jelas sekali pihak kami menentang pencabulan hak asasi manusia yang terjadi kepada orang-orang Uyghur. Apa yang berlaku kepada mereka adalah suatu yang tidak boleh diterima,” katanya.
- 10,000 etnik Uyghur dicadangkan untuk ditempatkan semula di Kanada selama dua tahun bermula 2024.
Parlimen Kanada sebulat suara meluluskan usul untuk menerima 10,000 etnik Uyghur yang melarikan diri daripada China, namun kini dipaksa untuk kembali ke negara itu.
Undian itu dibuat berdasarkan gerakan pada Februari 2021 oleh kerajaan Kanada yang melabelkan layanan Beijing terhadap etnik Uyghur dan Muslim Turki di wilayah Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Puluhan ribu melarikan diri daripada wilayah itu dan menurut Ahli Parlimen Kanada, Sameer Zuberi, sekurang-kurangnya 1,600 ditahan di negara lain dan dipaksa pulang atas arahan China.
Beliau turut menyatakan Perdana Menteri, Justin Trudeau dan kabinetnya menyokong usul tersebut menandakan niat kerajaan untuk melakukan perkara itu walaupun ianya tidak bersifat mengikat.
“Jelas sekali pihak kami menentang pencabulan hak asasi manusia yang terjadi kepada etnik Uyghur,” kata Zuberi dalam satu sidang akhbar.
“Apa yang berlaku kepada mereka adalah suatu yang tidak boleh diterima.”
Pengarah Eksekutif Uyghur Rights Advocacy Project, Mehmet Tohti berkata, ia merupakan satu mesej yang bukan sahaja untuk China, malah seluruh dunia.
Usul itu menyatakan etnik Uyghur yang “melarikan diri ke negara dunia ketiga menghadapi tekanan daripada China untuk kembali ke negara itu” dan menuduh Beijing menggunakan tekanan diplomatik dan ekonomi kepada negara-negara tertentu untuk menahan dan memaksa pelarian Uyghur pulang.
10,000 etnik Uyghur dicadangkan untuk ditempatkan semula di Kanada selama dua tahun bermula 2024.
Sumber: The Guardian